I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


Fahaman Leninisme (mazhab komunisme)

Saturday, October 17, 2009

PENGENALAN


Fahaman Leninisme merupakan satu fahaman yang amat bermakna bagi semua pihak yang menganut mazhab komunisme sama ada di peringkat nasional mahu pun internasional. Fahaman yang menjadi teras kepada munculnya revolusi di Kesatuan Soviet ini juga jelasnya amat mempengaruhi persekitaran-persekitaran yang lain khususnya di China. Jelasnya, fahaman ini diasaskan oleh Lenin, yang mana nama asalnya adalah Vladimir Ilyich Ulyanov. Beliau adalah seorang revolusioner komunis Rusia, pemimpin parti Bolshevik serta juga Perdana Menteri Kesatuan Soviet yang pertama . Nama Lenin sebenarnya adalah sebuah nama samaran dan diambil dari nama sungai Lena, di Siberia. Ketika bekerja sebagai seorang pengacara di Saint Petersburg, ia mulai mempelajari karya-karya Karl Marx dan Friedrich Engels. Oleh kerana karya-karya Marxisme dilarang di Rusia, Lenin telah ditangkap dan dipenjara selama setahun dan kemudiannya dibuang ke Siberia. Pada tahun 1899, beliau menulis sebuah buku tentang perkembangan Kapitalisme di Rusia dan bermula pada tahun 1900, Lenin dibenarkan pulang dari Siberia, lalu beliau mengelilingi Eropah dan mengunjungi persidangan-persidangan Marxisme .
IDEA KOMUNISME: CETUSAN MARX DAN GARAPAN FAHAMAN LENINISME.
Komunisme adalah falsafah yang dirumuskan oleh Karl Marx pada akhir abad ke-19 yang mana pada waktu itu telah berkembangnya revolusi industri dan jumlah buruh di Eropah Barat juga semakin bertambah. Marx memperkatakan tentang wujudnya "kesedaran kelas" di dalam golongan proletariat yang kemudiannya terlibat di dalam "peperangan kelas" dengan golongan borjouis yang telah terkenal dengan peraturan-peraturan dan kebebasan politiknya. Sebaliknya, Lenin pula melihat satu perubahan pola baru daripada kapitalisme kepada imperialisme yang mana ketika Marx hidup, fenomena itu belum wujud lagi . Lenin menambah lagi bahawa perubahan menuju masyarakat sosialis secara pasif iaitu seakan-akan perubahan itu akan terjadi dengan sendirinya tidak boleh dilakukan. Kerana inilah Lenin menganggap bahawa adalah penting untuk mendirikan Parti Pelopor serta Parti Kelas Buruh di mana parti inilah yang nantinya akan berperanan aktif dalam memberi kesedaran kepada kelas buruh tentang penindasan dan bagaimana untuk mengatasi penindasan tersebut serta mengubahnya ke dalam masyarakat yang lebih baik, iaitu masyarakat sosialis dan akhirnya masyarakat komunis .
Falsafah Leninisme dan idea-ideanya oleh Lenin pula cuba untuk merumuskan penerapan Marxisme dalam usaha untuk mencapai tujuan pembentukan sebuah diktator ploretariat dan jelasnya untuk tujuan itu, segala cara telah dihalalkan. Menurut Lenin, diktator proletariat adalah peperangan yang paling tidak mementingkan diri dan paling tidak kenal rasa kasihan yang mana dilakukan oleh kelas baru dalam melawan musuh yang lebih perkasa. Apa yang pasti, disiplin yang sekeras-kerasnya dari proletariat merupakan salah satu syarat yang menjadi pokok bagi menentukan kemenangan yang ingin dicapai .

KOMUNISME DI CHINA: LATAR BELAKANG SERTA PERKEMBANGAN.

Empayar China musnah dengan penubuhan Republik China pada tahun 1912 oleh Sun Yat-sen. Semasa Sun Yat Sen menjadi presiden pada kali kedua oleh golongan revolusioner di selatan, beliau telah berusaha untuk mengukuhkan kedudukan Parti Kuomintang, sekaligus ingin menyatukan seluruh negeri China. Untuk mencapai tujuan itu, beliau telah meminta pertolongan daripada kuasa-kuasa Barat seperti Perancis, Amerika dan Britain tetapi gagal. Kegagalannya untuk mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa tersebut menyebabkan beliau mengalihkan pandangannya ke Rusia, kerana tiada pilihan lain baginya untuk merealisasikan cita-citanya. Pemimpin Rusia ketika itu adalah Lenin yang mana Lenin berpendapat bahawa tindakan Sun Yat Sen merupakan peluang baik bagi Rusia untuk mengembangkan pengaruhnya di negeri China. Sudah menjadi dasar kerajaan Rusia untuk membantu mana-mana kerajaan dan pertubuhan nasionalis yang dapat membantu mengambangkan fahaman komunis . Maka bermula daripada peristiwa inilah yang menyebabkan permulaan kepada penularan fahaman komunisme dan di China. Jelasnya, semakin hari, semakin ramai orang-orang China yang terpengaruh dengan idea komunis dan kemudiannya mewujudkan golongan komunis di China.
Era Parti Komunis China (PKC) pula bermula dengan usaha Mao Zedong (26 Disember 1893–9 September 1976) yang merupakan seorang ahli teori Marxisme, askar, dan negarawan Cina, yang mengetuai revolusi komunis China selepas pendudukan asing dan perang saudara selama berdekad-dekad pada abad ke-20 .
Wujudnya PKC ini jelas sekali telah juga menimbulkan persaingan sengit dari aspek politik, yang mana perkara ini berlaku antara PKC sendiri dan juga pengasas kepada Republik China iaitu Parti Kuomintang. Persaingan demi persaingan yang turut melibatkan pertempuran antara kedua-dua pihak menyaksikan kemenangan di pihak komunis semasa berlaku perang saudara di Gongchandang antara kedua-dua pihak. Selepas kemenangan tersebut, Mao mengumumkan pengasasan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949 di Dataran Tiananmen, Beijing .
GENERASI MAO: USAHA MELUASKAN PENGARUH KOMUNIS DAN MEMULAKAN REVOLUSI.

Pengenalan Mao kepada Marxisme muncul ketika dia berada di Beijing dan Shanghai pada 1918-1920. Semasa sampai di Beijing pada 1918, Mao mendapat pekerjaan sebagai penolong perpustakaan di Universiti Beijing di bawah ketua pustakawan, Li Dazhou (disebut juga sebagai Li Ta-chou dalam sesetengah buku). Jelasnya, Marxisme di China pertama kalinya dianjurkan Li, tujuh bulan selepas Lenin merampas kuasa di Moscow. Li yang kemudiannya tergolong dalam golongan komunis melihat bahawa Revolusi Bolshevik telah memberi janji bahawa Rusia boleh membawa kepada kemajuan manusia. Secara implisitnya, dia mengharap agar negara terkebelakang seperti China untuk melakukan perkara yang sama. Pada awal 1919, Li melihat nilai yang baik dalam melakukan “people movement” yang mana melihat bahawa revolusi di China amat bersesuaian dilakukan di kalangan petani. Li jelasnya merujuk kepada konflik kelas yang diajukan Marx dan melihat petani sering ditindas ketika itu . Li menegakkan bahawa sebarang revolusi yang berjaya di China perlu mengandungi aktiviti revolusionari oleh petani, dan bukan hanya bergantung kepada proletariat bandar . Kesemua ini turut mempengaruhi Mao kerana Li merupakan ketua perpustakawannya dan seringkali membincangkan perkara ini bersama Mao sendiri.

Mao membentuk idea-idea politik komunisnya melalui pembacaan mengenai karya-karya Marx dan Engels yang kemudiannya digabung oleh Lenin. Pandangan Mao mengenai revolusi dan Marxisme China sangat sedikit pada ketika ini. Tidak seperti Mao, ahli-ahli parti yang lain sedang hebat dipengaruhi oleh ideologi Marxisme dan lebih tepat lagi oleh interpretasi Leninist mengenai revolusi. Pengaruh Communist International (Comintern) sangat kuat pada ketika ini disuntik lagi dengan idea-idea revolusionari yang sangat meluas. Maka agen-agen Comintern seperti Voitinsky, Maring dan Otto Braun memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengorganisasi komunis di China. Pelajar-pelajar pintar juga dibawa masuk ke Moscow untuk penerimaan latihan ideologi dan hal-hal organisasi. Sekumpulan komunis China juga telah merantau ke Eropah dalam program pembelajaran seperti Zhou Enlai, perdana menteri China selepas revolusi yang mana telah pergi ke Perancis pada tahun 1920-an serta telah menganjurkan kumpulan perbincangan ruangan politik komunis China di kalangan pekerja China yang mana kemudiannnya dikorporatkan menjadi Parti Komunis Perancis .

Pada tahun 1920, Mao juga mengembangkan teorinya terhadap revolusi ganas. Mao menyimpulkan bahawa revolusi ganas harus dijalankan oleh golongan proletariat di bawah kepimpinan parti Komunis. Revolusi ganas Mao ini juga diilhami oleh idea Lenin yang mengatakan bahawa tiada jalan perdamaian untuk sesuatu perubahan. Setiap perubahan menurut Lenin tidak boleh dilakukan secara damai kerana kelas-kelas kapitalis tentunya akan menolak perubahan-perubahan yang merugikan kepentingan mereka. Untuk itu, suka atau tidak, satu-satunya jalan menurut Lenin adalah menerusi revolusi. Dengan berpandukan Marx, Lenin mengandaikan bahawa revolusi adalah “bidan bagi masyarakat lama yang sedang hamilkan masyarakat yang baru”. Ini semua jelasnya merupakan usaha Lenin bagi menghapuskan perbezaan antara kelas-kelas dalam masyarakat .

Pada sepanjang dekad 1920-an, Mao mengetuai beberapa perjuangan buruh, namun gagal. Beliau berfikir-fikir tentang kegagalan-kegagalan ini dan akhirnya sedar bahawa yang pertamanya, pekerja-pekerja tidak berupaya mengetuai revolusi kerana mereka merupakan sebahagian kecil jumlah penduduk China, dan keduanya, perjuangan-perjuangan buruh tanpa bersenjata tidak dapat mengatasi masalah-masalah penindasan imperialisme dan feudalisme . Dengan kata lain, penduduk China masih lagi mempunyai pemikiran tradisi yang bertunjangkan idea tamadun China tradisional. Namun, Mao tidak pernah putus asa dalam mencetuskan sebuah revolusi di China kerana perjuangannya turut diilhami oleh gerakan komunisme di Rusia oleh Lenin sendiri. Bagi Lenin, kewujudan revolusi haruslah dicapai dengan kadar yang sesegera mungkin kerana revolusi industri telah lama bergerak jauh di Eropah Barat. Maka, sebagai pencetus revolusi di Rusia sendiri, Lenin telah menyebarkan kumpulan-kumpulan kecilnya ke seluruh organisasi yang ada seperti buruh, petani, cendekiawan dan mahasiswa-mahasiswa secara senyap-senyap, dengan tujuan utamanya iaitu untuk mempercepatkan pencapaian revolusi itu sendiri dan usaha itu ternyata mendatangkan hasilnya . Perkara inilah yang menjadi pendorong kepada gerakan komunisme di China sendiri.

Mao mengejar cita-cita untuk menjadikan China sebagai sebuah negara yang kukuh dan makmur, dan berusaha untuk membina sebuah negara perindustrian yang moden serta untuk mengurangkan kemiskinan petani-petani yang merupakan sebahagian besar bilangan penduduk China. Justeru, ideologi komunisme sememangnya bersesuaian dengan cita-cita Mao ini kerana jelasnya, Leninisme sendiri merupakan adaptasi daripada idea Karl Marx terhadap keadaan ekonomi mundur (backward economy) yang mana memerlukan formulasi revolusi untuk para petani yang sebahagiannya adalah petani miskin .

Dalam perkembangan fahaman komunis China, hanya dua perkara yang penduduk China fahami mengenai ideologi komunis iaitu pembebasan China daripada imperialis asing dan tekanan daripada golongan kaya terutamanya tuan tanah. Oleh sebab itu, pihak komunis menggunakan slogan nasionalisme untuk mendapatkan sokongan penduduk tempatan yang mana penyebaran semangat perubahan perlu didahului oleh perubahan dari aspek teoritikal menurut komunisme sendiri. Buku Lenin dalam State and Revolution telah digunakan dalam kritikan terhadap teori borjouis yang yang mana menurut Lenin, perjuangan pada peringkat teori adalah amat penting kerana dia percaya bahawa,
“Without a revolutionary theory there can be no revolutionary movement.”
Apabila Jepun menyerang China pada tahun 1937, pihak komunis telah menggunakan idea Lenin ini dan mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan slogan anti-Jepun dan perpaduan di China. Selain itu, ideologi komunis telah menunjukkan keihkhlasan mereka untuk membahagikan tanah dan memperbaiki kehidupan petani. Hal ini telah ditunjukkan oleh pihak komunis di Yannan. Oleh sebab dua perkara inilah pihak komunis mendapat sokongan penduduk China sehingga mereka berjaya menegakkan Republik Rakyat China sehingga ke hari ini .

Mao merupakan salah seorang pemimpin komunis yang mencipta formula kemenangan komunis dengan berusaha untuk bekerjasama dengan golongan petani yang kemudian menjadi penyokong-penyokong kuat teori revolusi ganasnya. . Mao jelasnya ingin melakukan perubahan sosial terlebih dahulu di China yang mana idea ini juga datangnya dari Lenin sendiri. Menurut Lenin, meskipun jarang terjadi, namun revolusi sosial merupakan momentum penting dalam sejarah dunia moden. Revolusi telah melahirkan banyak negara yang sudah sedia memiliki kekuasaan dan autonomi untuk memiliki kekuasaan dan autonominya yang jauh lebih besar berbanding sebelum revolusi .
Sumbangan Mao terhadap perkembangan Marxisme-Leninisme bukanlah dari aspek teori sahaja malahan terbukti dari aspek praktikalnya. Mao telah menghasilkan sebuah negeri yang berpaksikan parti bersama sokongan tentera dan pihak massa (rakyat) dalam dasar wilayahnya. Menurut seorang ahli PKC, Lian Pao dalam laporannya mengenai Peole’s War, beliau ada menulis bahawa;
“...in this base areas, we built the party, ran the organs of State power, built the people’s armed forces and set up mass organizations...Our base areas were in fact a State in miniature...(and) became the springboard for the people’s war of liberation.”
Jelasnya, asas kawasan revolusi telah dibina Mao di dalam kawasan yang terkebelakang (backward areas) yang berasaskan kekuatan petani dan tenteranya sahaja dan nyata, Mao percaya bahawa revolusi ini hanya boleh berlaku di kawasan tersebut dan bukanlah di kawasan yang sudah maju dan dikuasai oleh golongan imperialis. Ini bersamaan dengan pandangan Lenin bahawa revolusi boleh berlaku bukanlah di kawasan yang sudah maju, namun ianya berlaku di kawasan “paling lemah” dalam rantai imperialis. Mao jelasnya sedar bahawa PKC tidak akan terus maju di kawasan utara dan barat yang tidak terpengaruh dengan revolusi demokratik, namun PKC boleh terus maju di kawasan tengah dan selatan yang mana rakyat yang terdiri daripada pekerja, petani dan tentera telah berkesedaran dan telah merasai kepayahan ekonomi dan politik .

PENGARUH IDEA-IDEA LENIN TERHADAP REVOLUSI BORJOUIS DI CHINA.


Kesatuan Soviet memberikan penentuan kepada sebuah order politik yang baru di China. Ini bukanlah bermakna bahawa mereka meniru model Soviet secara keseluruhannya, sebaliknya mereka berkongsi banyak prinsip yang turut dipegang oleh Kesatuan Soviet . Ketika Lenin memandu Bolshevik Rusia, teorinya membuatkan Marxism lebih mudah digunapakai kepada negeri-negeri seperti China. Idea baru ini menyatakan bahawa di dalam sebuah negara yang mana industri negara adalah pada tahap yang berbeza-beza, pasti akan ada golongan yang untung dan ada yang rugi .

Di China, perkara yang dijelaskan oleh Lenin di atas sememangnya sedang berlaku yang mana satu kurun telah berkisar mengenai pengalaman pahit akibat berada di bawah genggaman kuasa baru. Dalam terma Marxism, China sebahagiannya adalah feudal dengan tradisi sistem agrarianya dan sebahagian lagi adalah kolonial akibat gangguan imperialis. Masyarakat yang terbentuk adalah berkisar kepada dua kelas; golongan pertengahan dan juga “warlords” serta kapitalis imperialisme dan kedua pula adalah golongan borjouis dan juga petani serta buruh yang dikategorikan sebagai proletariat. Di belakang keseluruhan sistem ini adalah kerjasama dengan golongan imperialis, yang mana dilihatnya bertujuan untuk mengekalkan order demi kepentingan perdagangan di China .

Siapakah pula golongan borjouis di China sebenarnya dan apakah revolusi yang dilancarkan di China? Golongan borjouis China adalah golongan pedagang, mereka yang terlibat dalam industri bank, para industrialis dan golongan profesional moden yang lahir pada 1910 hingga 1920-an. Namun, mereka jelasnya telah gagal dalam mendapatkan kuasa dan negara China ketika itu terus dikuasai golongan warlords yang kebanyakannya korup . Namun, dalam masa yang sama, Lenin menegakkan bahawa revolusi demokratik borjouis di negara-negara terkebelakang seperti China perlulah diketuai oleh golongan proletariat iaitu para petani dalam “rupa” Parti Komunis .

Jelasnya, revolusi di China pada 1920-an adalah stratergi dual dalam memansuhkan sistem warlordisme di China dan juga keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh orang luar. Dalam terma Marxisme-Leninisme, terdapat kejahatan yang nyata iaitu feudalisme di China dan juga imperialisme dari orang luar. Pakatan Jepun bersama pemegang kuasa yang korup di Beijing mengilustrasikan kedua-dua pihak yang jahat ini bergabung dengan satu sama lain .

Jelasnya, misi golongan revolusioner pada ketika itu adalah untuk mengeluarkan “orang-orang luar” dan juga membuang despotisme lama (golongan yang menguasai industri). Jelasnya, di China ketika itu, warlords dan kapitalis imperialisme merupakan golongan yang sangat menguasai ekonomi sementara ramai petani di luar bandar terus-menerus menjadi miskin dan tertindas oleh tuan tanah. Pertentangan antara kelas-kelas sentiasa berlaku dan ini juga dijelaskan oleh Lenin sendiri. Apa yang pasti, stratergi Lenin di Asia pada ketika itu adalah membuat pakatan dengan revolusi borjouis-demokratik nasional menentang musuh mereka iaitu golongan kapitalis imperialisme . Selari dengan perkara ini, Lenin menyatakan ideanya bahawa sejarah umat manusia jelas sekali berkisar tentang sejarah pertentangan kelas. Sementara dalam setiap revolusi beliau kemudiannya menambah,

“Revolusi adalah festival dari kaum tertindas. Tidak pernah rakyat sanggup tampil ke depan, dan begitu aktif berperanan sebagai pencipta-pencipta sistem sosial yang baru, selain daripada waktu revolusi.”

Maka, pada ketika itu, apa yang perlu dilakukan orang China adalah menyelamatkan negara mereka daripada despotisme lama ini yang mana juga bererti menentang kekorupsian golongan kapitalis imperialisme dan juga warlords. Apa yang pasti, usaha pertama adalah pekerja mesti sedar akan keadaan mereka dan dalam hal ini, mereka seharusnya menyertai parti dan dalam perkara ini, jelas sekali mereka telah beramai-ramai menyertai PKC yang menjanjikan satu revolusi kepada masyarakat China sendiri.

Penglibatan para petani dalam parti ini jelas sekali merupakan salah satu idea Lenin yang amat diterima pakai oleh PKC sendiri. Teori yang digunapakai adalah “Uninterrupted Revolution” oleh Lenin yang mana menurut teori ini, wujud dua tahap dalam revolusi di Rusia sendiri. Tahap yang pertama adalah penglibatan kelas pekerja dan seluruh petani dalam penggulingan Tsar dan pembentukan sebuah republik demokratik. Yang kedua pula adalah tahap sosialis yang melibatkan buruh yang bersatu dengan para petani miskin untuk melawan para petani kaya . Segala yang dilakukan oleh Lenin di Rusia ini menjadi titik tolak pada pembaharuan di China yang mana revolusi itu bukanlah dalam penggulingan Tsar seperti yang berlaku di Rusia, sebaliknya adalah revolusi menentang golongan warlords dan golongan kaya yang menindas petani miskin.

Keterlibatan golongan proletariat iaitu petani ke dalam parti nyata memberi evolusi baru kepada revolusi PKC yang dicanangkan. Jelasnya, selepas itu, PKC menyatakan bahawa parti perlu melancarkan pembaharuan tanah melalui petani miskin dan buruh ladang yang membolehkan mereka untuk memainkan peranan dalam persatuan petani dan juga dalam pentadbiran kerajaan serta pejabat daerah sendiri. Peranan ini termasuklah dalam penempatan dan penyertaan golongan petani kelas pertengahan untuk tindakan-tindakan seharian dan bukanlah mengenepikan petani-petani dengan memonopoli kerja-kerja. Jelasnya, mengikut PKC, negara secara keseluruhannya meliputi pekerja, petani, pedagang, kapitalis pertengahan, kapitalis kecil, pelajar, guru, para intelektual, pekerja kerajaan serta nasionalis, kesemuanya bersatu di bawah kepimpinan kelas pekerja (melalui PKC) yang menguasai negara dan sepatutnya memerintah negara, bukannya kuasa itu hanya dikuasai oleh sesetengah golongan sahaja .

Pada tahun 1918, Lenin menulis:

“…bersama dengan kaum petani miskin, semi-proletariat, dan semua yang tereksploitasi, melawan kapitalisme, termasuk orang-orang kaya di desa, para lintah darat, dan semuanya itu meningkatkan revolusi ke tahap sosialis. Jika kita berusaha mendirikan sebuah tembok antara tahap pertama dan kedua, untuk memisahkan keduanya (tahap satu dan dua) dengan alasan selain tahap persediaan proletariat dan tahap persatuan atau kesatuan dengan para petani, ini bererti memindahkan liberalisme ke tempatnya semula ”.

Penjelasan Lenin di atas jelas sekali telah memberi satu garis panduan dalam memandu revolusi baru di China oleh PKC iaitu revolusi berlandaskan pembaharuan ekonomi yang mana mereka yang tertindas perlu bangkit. Bagi golongan Leninist dalam parti, keutamaan yang diberikan adalah kepada pemulihan ekonomi dan juga pembangunan. Ini bukanlah bermakna usaha mengubah gaya pemikiran manusia tidak penting, namun usaha mengubah ekonomi negara China yang sudah terkebelakang dan tidak membangun menjadi tujuan utama. Ini juga bermakna bahawa golongan komunis mahukan sebuah negara yang mana semua rakyatnya berkongsi kekayaan dan sumber-sumber yang ada . Jika perkara ini dapat disempurnakan, maka parti akan kemudiannya bergerak kepada tujuan tersebut. Jelasnya, tahap pertama komunisme diakui Marx sendiri sememangnya masih belum dapat memberikan keadilan kerana unsur-unsur perbezaan masih lagi ada. Namun, penindasan antara manusia akan luput kerana alat-alat yang dahulunya dikuasai segelintir orang untuk menindas orang lain telah dapat dikongsi bersama .

Namun, Mao dan juga golongan Leninist lain dalam parti juga saling tidak bersetuju dengan polisi-polisi tertentu. Golongan Leninist amat komited terhadap pengumpulan agrikultur dan pandangan mereka adalah pembangunan industrial bandar perlulah didahulukan. Mao juga risau jika ekonomi insentif digunakan untuk menaja pembangunan, mungkin rakyat berubah menjadi materialistik dan mementingkan diri sendiri yang mana merupakan satu percanggahan kepada tujuan kepentingan bersama yang diperlukan dalam membina negara komunis. Di Kesatuan Soviet, pemaksaan petani untuk terus memberi (dalam unsur kewangan dan bahan mentah) kepada negeri telah mempermudahkan perindustrian. Namun, golongan Leninist China tidak mahu memerah petani seperti mana yang berlaku di Soviet .

Namun, Mao sebagai pemimpin parti memiliki pandangan tersendiri yang mana baginya idea-idea pengikut Leninist dalam partinya mungkin boleh membawa kepada kerugian dalam masyarakat komunisme. Cara yang dirancangi mereka mungkin akan menjana sebuah bentuk penindasan yang baru iaitu kawalan dan autoriti yang mungkin meletakkan rakyat China menjadi tidak berkuasa seperti mana yang dilalui mereka sebelum revolusi lagi. Jika pengarah-pengarah dan pakar-pakar bertindak mengawal revolusi, maka mereka akan kembali melihat diri mereka sebagai superior terhadap golongan pekerja, sementara pekerja akan melihat diri mereka sebagai golongan yang lebih rendah . Dasar Mao ini jelasnya dipelajari melalui idea Lenin mengenai imperialisme. Menurut Lenin, dunia masih di dominasi oleh sebuah sistem yang terbahagi dalam dua pihak, kaya dan miskin, yang mengeksploitasi dan yang dieksploitasi yang mana fenomena ini tidak hanya berlaku di antara sesebuah bangsa, tapi juga diantara bangsa-bangsa itu sendiri. Sistem ini memaksa kelas pekerja atau proletariat untuk bekerja agar terus tetap hidup di bawah penguasaan kelas penguasa yang memiliki semua kunci kepada industri-industri iaitu golongan kapitalis imperialsme. Kelas penguasa dari berbagai bangsa yang berbeza-beza bersaing untuk mendapatkan keuntungan yang lebih besar dengan mengeksploitasi yang lainnya demi keuntungan. Watak dasar sistem inilah yang digelar Imperialisme menjadi pokok perkara yang dianalisa oleh Lenin di tahun 1916 dan kemudiannya diambil kira oleh Mao sendiri.






KESIMPULAN

Dalam usaha mewujudkan satu revolusi baru di China khususnya dalam menentang golongan warlords dan kapitalis imperialisme dan demi kemajuan rakyat secara umumnya, golongan komunis yang dikepalai oleh Mao Tse-tung telah banyak mengadaptasikan idea-idea Lenin yang juga mazhabnya dalam arena politik disebut sebagai Leninisme. Apa yang pasti, sumbangan Lenin sendiri dalam mencipta revolusi baru di Soviet Union telah menjadi pedoman dan contoh terbaik golongan komunis dalam menjalankan perubahan-perubahan di China sendiri. Jelasnya, terdapat banyak persamaan antara perjuangan di Rusia dan China ekoran persamaan ideologi yang dipeluk oleh pejuang di kedua-dua negara iaitu komunisme yang diasaskan oleh Karl Marx yang mana lebih bersifatkan keadilan dan perkongsian kehidupan dan sumber-sumber secara adil serta revolusi secara kekerasan. Kedua-dua negara Rusia dan China sememangnya memerlukan sistem seperti ini ekoran saiz wilayahnya yang amat besar yang mana sekaligus mewujudkan pelbagai golongan masyarakat yang berbeza sehingga wujud golongan yang terlalu kaya yang kemudiannya menjurus kepada penindasan mereka yang miskin. Idea komunisme menjadi penyuluh kepada era baru di China sendiri yang mana telah membawa kepada pemulihan kuasa “dalaman” di kalangan petani di China dalam mengadakan revolusi menentang penganiayaan yang selama ini ditanggung mereka. Apa yang pasti, Mao menjadi perintis kepada era baru di China yang mana sekali gus telah membawa perubahan besar dari sudut ekonomi, politik dan sosial sendiri dan seterusnya telah berjaya mewujudkan negara komunis yang hebat dan berkekalan sehingga ke hari ini.








BIBLIOGRAFI
Sumber buku:

Alan Lawrence, 2004. China Since 1919: Revolution and Reform, London: Routledge.

Christopher Hill, 1947. Lenin and the Russian Revolution, Middlesex: Penguin Books Ltd.

Collin Mackerras, Donald H. McMillen, Andrew Watson, 2001. Dictionary of the Politics of the People’s Republic of China, London, Routledge Taylor & Francis Group.

Craig Dietrich, 1998. People’s China: A Brief History, New York: Oxford University Press.

Edy Haryadi, 2000. Lenin. Pikiran, Tindakan dan Ucapan, Jakarta, Komunitas Studi untuk Perubahan.

Fitzgerald, C.P., 1952. The Birth of Communist China, Middlesex: Penguin Books Ltd.

Girling, J.S., 1969. People’s War, the Condition and the Consequences in China and in South East Asia, London, George Allen & Unwin Ltd.

John King Fairbank, 1986. The Great Chinese Revolution: 1800-1985, USA: Harper & Row.

Maswari Rosdi, 1983. Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955, Kuala Lumpur, Adabi Publishing Sdn. Bhd.

Nina Gourfinkel, 1961. Lenin, Connecticut: Greenwood Press.

Robert Service, 1985. Lenin: A Political Life, Hong Kong: McMillan Press Ltd.

Shaun Breslin, 1998. Mao, London, New York: Longman.

Suffian Mansor, 2003. Tamadun China Abad ke-20, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sumber internet:

The Russian Revolution and V.I. Lenin, Kathy Newnam and Marina Carman, diambil daripada laman web http://www.greenleft.org.au

Vladimir Lenin, diambil daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Lenin.

0 Comments: