I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


revolusi komunis Rusia, pemimpin Parti Bolshevik, Perdana Menteri Soviet Union pertama, dan pengasas fahaman Leninisme (Komunisme)

Saturday, October 17, 2009

PENGENALAN

Vladimir Illich Lenin atau nama aslinya Vladimir Ilyich Ulyanov merupakan seorang ahli revolusi komunis Rusia, pemimpin Parti Bolshevik, Perdana Menteri Soviet Union pertama, dan pengasas fahaman Leninisme (Komunisme). Nama Lenin ini sebenarnya adalah satu nama samaran dan diambil dari nama sungai Lena, di Siberia. Peranan Lenin dalam menggerakkan Komunisme di Rusia sememangnya penting. Beliau bukan sahaja bertindak sebagai pemimpin, bahkan turut menulis buku berkenaan perjuangannya itu. Buku yang ditulis ini kebanyakannya menyentuh tentang fahaman dan idea-idea Komunisme. Dalam Revolusi Borjois, golongan Komunis ini merupakan penentang terkuat yang akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan sementara yang dipegang oleh golongan Borjois. Semasa revolusi berlangsung di Rusia dalam tahun 1917, golongan Komunis ini diwakili oleh Parti Bolshevik, dan dipimpin oleh Lenin sendiri. Revolusi ini mencapat matlamatnya pada 25 Oktober 1917, setelah Lenin memimpin pengikutnya untuk mengadakan satu pemberontakan bersenjata yang akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan sementara.

Vladimir Illich Lenin (Gambar)
Komunisme
Komunisme adalah salah satu ideologi di dunia, selain kapitalisme dan ideologi lainnya. Ideologi yang digunakan oleh parti komunis di seluruh dunia ini sering pula dicampuradukkan dengan Marxisme. Percikan ideologi ini berasal dari pemikiran Lenin sehingga dapat pula disebut "Marxisme-Leninisme". Komunisme yang lahir sebagai reaksi terhadap kapitalisme pada abad ke-19 ini menentang sikap mementingkan pemilikan individu dan meletakkan buruh sebagai sampingan. Sebagai anti-kapitalisme, komunisme menggunakan sistem sosialisme sebagai alat kekuasaan, yang menghadkan pemilikan modal ke atas individu. Secara prinsipnya, segala hasil dan pengeluaran adalah milik rakyat dan dikuasai oleh negara untuk kemakmuran rakyat secara sama-rata.
Istilah Komunisme merujuk kepada fahaman politik di mana rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk mentadbir negara dan segala produk keluaran negara menjadi milik bersama rakyat. Antara pengasasnya yang paling penting termasuklah Karl Marx dan Friedrich Engels. Karl Marx melihat komunisme sebagai tahap tertinggi dalam sejarah yang akan melenyapkan penindasan, dan mengemaskan orang bekerja dengan cara yang lebih kreatif, serta negara yang menekan kuasanya akan musnah. Sebagai teori sistem sosial, komunisme menjurus kepada sistem sosial egalitarian iaitu tanpa kerajaan, harta dan kelas.



Salah satu sumber dalam teori komunis ini ialah berkenaan teori evolusi yang menerapkan persaingan spesis ke dalam pertarungan kelas evolusi sosial. Parti komunis menganggap perjuangan kelas adalah satu-satunya penggerak dalam kemajuan perkembangan sosial. Maka pertarungan dalam memperolehi kekuasaan politik dan mempertahankan kuasa tersebut diperlukan bagi pengekalan kelas yang benar-benar kuat dan mampu memerintah.
Dalam komunisme perubahan sosial harus dimulai dengan peranan Parti Komunis. Logiknya, perubahan sosial dimulai daripada buruh, namun pengorganisasian buruh hanya dapat berhasil jika bernaung di bawah dominasi parti. Di Rusia, komunisme yang dipimpin oleh Lenin ini memperlihatkan pertentangan antara golongan proletariat dalam usahanya menentang golongan Borjois. Lenin percaya, kelas pekerja perlu memperbaiki keadaan mereka dan untuk mencapai pembebasan ini adalah dengan mengutarakan perjuangan menentang pihak kapitalis dan kelas pemilik kilang yang diciptakan oleh kilang-kilang besar dan masyarakat borjois.


Dalam usaha mengembangkan ideologi komunisme ini, Lenin memperkenalkan banyak idea dan pendapat beliau. Malah beliau juga menulis dan menghasilkan banyak buku terkenal seperti One Step Forward, Two Step Backward (ditulis antara bulan Spetember 1903 hingga Julai 1904), Two Tactics of Russian Social Democrats, Revolution Teaches (dihasilkan pada bulan Julai 1905), dan What Have To Be Done? (ditulis pada tahun 1902). Hasilnya, idea komunis Lenin diterima bukan sahaja dalam kalangan kelas pekerja dan golongan terpelajar di Rusia, bahkan penduduk di negara-negara lain di seluruh dunia, termasuklah negara China. Idea dan konsep penting dalam ideologi komunis Lenin ini pula merangkumi pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial.
Konsep Perjuangan Kelas (Class Struggle)
Konsep kelas merupakan aspek utama dalam pemikiran Lenin. Beliau berusaha untuk membebaskan kelas pekerja demi menamatkan eksploitasi terhadap golongan ini yang berlaku sejak sekian lama.
Dalam mana-mana masyarakat, keperluan pertama adalah bahawa manusia mengeluarkan dan mengeluarkan semula cara-cara kewujudannya. Maka, hubungannya kepada cara cara pengeluaran adalah penting, dan menentukan setiap aspek daripada kehidupannya. Dalam pengeluaran, manusia berhubung dengan satu sama lain dengan cara yang berbeza, iaitu sama ada kerjasama atau konflik. Manusia yang berdiri dalam hubungan yang sama dengan cara-cara pengeluaran berkongsi kepentingan dan dikatakan membentuk sebuah kelas yang menjadi dasar pertubuhan kolektif untuk mempertahankan dan melanjutkan kepentingan-kepentingan mereka. Dengan itu, mereka memasuki konflik dengan kumpulan-kumpulan lain dengan kepentingan-kepentingan lain, dan bangkitlah perjuangan kelas.
Menurut Marx pula, pertentangan kelas yang berlaku ini adalah antara mereka yang menguasai sumber cara pengeluaran ekonomi dengan mereka yang tidak menguasai kedua-duanya. Pertentangan ini akan berlaku dalam setiap peringkat perkembangan sejarah manusia, iaitu daripada masyarakat yang dikatakan sederhana sehinggalah kepada kemunculan masyarakat sosialisme dan komunisme yang dianggap ideal dan kekal. “Sejarah kesemua masyarakat yang sedia ada adalah sejarah perjuangan kelas.” Dalam masyarakat kapitalis, perjuangan dua kelas pada masa bergantungnya perkembangan masyarakat adalah antara pihak borjois (kelas kapitalis) dan proletariat (kelas pekerja). Terdapat juga kelas-kelas lain dalam masyarakat kapitalis (misalnya, kaum petani, kelas menengah) tetapi akhirnya kepentingan mereka bergantung pada cara mereka berdiri berkenaan dengan dua kelas yang asas tersebut.
Golongan Borjois merupakan golongan kelas pertengahan (middle class) yang berkembang dari segi kekayaan dan kekuasaan seiring dengan kepesatan perindustrian. Seterusnya, golongan borjois muncul menjadi kelas pertama di sesebuah negara itu, sekaligus merangkul kuasa politik ke dalam tangannya sendiri dan mengambil tempat kelas pemerintah, yakni kelas bangsawan, pemimpin kesatuan tukang dan wakil-wakil mereka, dan pemerintahan beraja mutlak.
Kelas Proletariat semasa era komunis Lenin pula merupakan kelas pekerja abad ke-19, yang menjelma semasa revolusi perindustrian di England pada penghujung abad ke-18, dan diulangi pula di setiap negara bertamadun di seluruh dunia. Kelas ini hanya menjual tenaga kerjanya dan tidak menarik keuntungan dari mana-mana jenis kapital. Kebuluran dan kesengsaraan mereka, hidup dan mati mereka, kewujudan semata-mata mereka bergantung kepada keperluan tenaga pekerja. Oleh kerana itu, Proletariat ini bergantung kepada keadaan perniagaan yang sentiasa berubah, dan ketidaktentuan persaingan yang tidak terkawal. Perkembangan revolusi perindustrian yang dijana oleh penciptaan enjin stim, mesin menenun mekanikal dan pelbagai peralatan mekanikal yang lain amat mahal sekali dan hanya mampu dibeli oleh kapitalis besar. Keadaan ini seterusnya mengubah cara pengeluaran dan mengambil tempat bekas pekerja, kerana mesin-mesin tersebut menghasilkan komoditi yang lebih murah dan lebih baik daripada yang dapat dihasilkan oleh para pekerja dengan roda penenun dan penenun tangan mereka yang tidak memadai. Mesin-mesin tersebut menghadiahkan bidang indutsri ke dalam tangan kapitalis besar dan menghancurkan nilai harta para pekerja (peralatan, alat penenun dan sebagainya). Akibatnya, pihak kapitalis berjaya merangkul kesemuanya dalam tangan mereka dan tidak terdapat apa-apa yang tinggal untuk para pekerja.
Maka perjuangan kelas yang berlaku ini sebenarnya merupakan tindakbalas oleh kelas Proletariat terhadap dasar kapitalisme Borjois yang amat menekan masyarakat Proletariat ketika itu. Konsep ini amat sejajar dengan pendapat Lenin yang melihat perjuangan kelas sebagai perjuangan politik dan ekonomi. Justeru, perjuangan kelas dianggap sebagai satu-satunya kekuatan penggerak dalam kemajuan perkembangan sosial. Keadaan ini seterusnya mewujudkan kepercayaan ‘pertarungan melalui kekerasan’ sebagai usaha bagi memperolehi kekuasaan politik dan kemudian mempertahankan kewujudan sesebuah kelas yang berkuasa itu.



Kewujudan Parti Komunis Rusia
Russian Social Democratic Labaour Party (RSDLP) yang ditubuhkan pada tahun 1898 di Switzerland, merupakan sebuah gerakan bawah tanah yang berkiblatkan Marxis. Lenin merupakan salah seorang anggota pertubuhan ini yang aktif dan menonjol pada awal abad ke-20. Walau bagaimanapun, berlaku perbalahan dalam kalangan anggota parti berkaitan dengan keahlian parti, pemilihan pemimpin dan kaedah yang perlu digunakan untuk perubahan politik dan menamatkan kuasa autokratik Tsar di Rusia. Kemelut dalaman RSDLF yang berterusan ini akhirnya membawa perpecahan dalam parti tersebut. Kesannya wujud dua puak yang berasingan dalam parti ini iaitu Bolshevik yang beerti majoritarians atau majoriti, yang dipimpin oleh Lenin, serta Menshevik, atau minoritarians yang bermaksud minoriti, di bawah pimpinan Plekhanov.
Parti Bolshevik (Kongres Parti komunis) berkembang hingga menjadi satu-satunya parti politik dalam negeri yang mempunyai perancangan yang tepat dan jelas. Semasa era revolusi, keanggotaan parti ini mencapai 200,000 anggota khasnya dalam kalangan pekerja. Lenin yang percaya terhadap kewujudan sebuah kelas sebagai pemerintah cuba meletakkan parti ini sebagai vanguard yang akan memimpin kelas pekerja dalam revolusi Rusia.

Idea Revolusi dan Kekerasan
Lenin komited untuk menggunakan kekerasan dan revolusi dalam perjuangannya, sementara pihak yang satu lagi, iaitu di bawah pimpinan Plekhanov condong memberi kesedaran dan mendidik kelas pekerja tentang hak mereka. Plekhanov percaya, dengan kesedaran, penindasan dan pemerasan tenaga oleh majikan akan dapat dihapuskan. Idea dan pemikiran Lenin ini kemudiannya telah mempengaruhi perjalanan politik di Rusia sekaligus mengubah sejarah politik dan sosial di negara tersebut.
Dalam buku Lenin bertajuk What Is To Be Done? (1902), Lenin menulis, “Give us an organization of revolutionaries, and we shall overturn the whole Russian. Kenyataan ini membuktikan kepercayaan Lenin bahawa hanya revolusi yang akan mengubah nasib Rusia yang amat bergolak ketika itu. Dalam pada itu, Lenin mengumumkan perjuangan dan keamanan akan bergerak seiring. Bagi menyempurnakan cita-cita revolusi, kekerasan akan digunakan. Sejarah juga pernah membuktikan, tanpa revolusi paksaan, kemenangan tidak akan dicapai. Dalam hal ini, Proletariat berhak menggunakan kekerasan bagi mencapai matlamat revolusi.
Pada musim gugur tahun 1917, satu pemogokan massa dilancarkan oleh golongan pekerja. Mogok ini kemudiannya bertukar menjadi perjuangan bersenjata yang bangkit menentang pemerintah sementara yang dikuasai golongan Borjois. Tentera revolusi yang terdiri daripada Pasukan-pasukan Tentera Merah diwujudkan bagi mempertahankan revolusi dan bersedia untuk mengadakan pemberontakan bersenjata bila-bila masa. Dalam bulan Oktober 1917, revolusi yang dipimpin oleh Lenin ini telah berjaya menjatuhkan kerajaan sementara (Borjois), dan menaikkan kepimpinan Komunis di Rusia.

Professional Revolutionaries.
Lenin merupakan seorang pemimpin yang berdisiplin dan tegas dalam mencapai cita-cita revolusi. Maka tidak hairanlah jika beliau amat berhati-hati dalam memilih keanggotaan parti yang dipimpinnya itu.
Keahlian Parti Bolshevik (komunis) hanya terbuka kepada kumpulan elit politik yang diistilahkan oleh Lenin sebagai professional revolutionaries. Elit politik ini haruslah sanggup mengorbankan masa, tenaga, wang, malah menggadai nyawa untuk bertindak sebagai seorang revolusioner. Hal ini bermakna, Lenin mahukan anggota parti yang aktif, terdidik dengan teori Marx, dan turut mengambil bahagian dalam kegiatan mana-mana bahagian atau organisasi parti.
Dalam bulan Jun 1918, Lenin pernah memberitahu kepada seorang rakyat Amerika bahawa rakyat Rusia belum lagi bersifat revolusioner. “Jika rakyat jelata tidak menjadi revolusioner dalam masa tiga bulan,” dia berkata, “Revolusi akan gagal.” Kenyataan ini membuktikan betapa Lenin memandang tinggi terhadap ciri-ciri yang harus ada pada seorang ahli revolusi yang ’sejati’. Tanpa ciri-ciri ini, Lenin percaya, rakyat Rusia tidak mungkin akan berjaya dalam perjuangan revolusi mereka.

Democratic Centralism
Democratic Centralism merupakan satu konsep bahawa pemimpin tertinggi parti mestilah dipilih secara undi oleh delegasi pada setiap peringkat. Delegasi ini pula bebas menyatakan hasrat dan kritikan mereka terhadap sesuatu dasar yang berkaitan dengan parti. Namun begitu, sekiranya keputusan diambil oleh pemimpin tentang dasar parti, ahli parti yang lain mestilah menerima dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi parti.
Konsep ini sebenarnya digunakan oleh Lenin sebagai satu cara untuk mengetatkan keanggotaan parti. Hal ini selari dengan hasrat beliau untuk mendisiplinkan anggota parti dan membina kekuatan dalaman parti yang diterajui ahli revolusi profesional.

Pembentukan Sebuah Kerajaan Yang Ideal
Menurut Marx, kerajaan adalah hasil dan perluahan percanggahan-percanggahan kelas yang tidak dapat didamaikan. Kerajaan bangkit apabila, di mana dan sejauh mana percanggahan-percanggahan kelas tersebut tidak dapat didamaikan secara objektif. Dan, sebaliknya, kewujudan kerajaan membuktikan bahawa percanggahan-percanggahan kelas tidak dapat didamaikan.
Berdasarkan kenyataan Marx ini, perjuangan kelas tidak berakhir selepas rampasan kuasa secara revolusioner oleh kelas pekerja. Segala bukti bersejarah menunjukkan bahawa malah selepas revolusi, kaum borjois dan kumpulan-kumpulan lain yang mempunyai kepentingan untuk mempertahankan sistem kapitalis akan berjuang bagi menghancurkan kerajaan pekerja baru. Maka kumpulan pemerintah baru, iaitu kelas pekerja perlu mengatur dirinya untuk menghancurkan segala tentangan reaksioner, termasuklah dengan menggunakan kekerasan dan paksaan.
Seperti juga Marx, Lenin cuba menghuraikan bentuk kerajaan yang ideal menerusi Komunisme ini. Berikut adalah antara ciri-ciri kerajaan Komunis pimpinan Lenin:
(1) Rakyat bersenjata – yang menggantikan ‘badan-badan manusia bersenjata yang khas.’
(2) Penghapusan birokrasi – kesemua pegawai akan dilantik dan tertakhluk kepada panggilan kembali serta-merta, sambil menerima gaji pekerja.
(3) Parlimen akan digantikan oleh soviet-soviet – iaitu majlis-majlis pekerja – yang akan menggabungkan kawalan ke atas keputusan-keputusan politik dan ekonomi, dan yang akan menguasai pengeluaran.
(4) Pengawalan ke atas cara-cara telekomunikasi – akhbar dan sebagainya akan berada dalam tangan soviet-soviet.
Komunis seperti yang telah dijelaskan, menekan penguasaan kelas tertentu, yang kemudiaan akan mempertahankan kedudukan kelas tersebut, hingga ke akhirnya. Lenin percaya, dengan dengan kewujudan sebuah kelas iaitu kelas Proletariat atau pekerja sebagai pemerintah, maka akan dapat mengawal segala bentuk pertelingkahan dalam masyarakat komunis yang dicipta itu. Kawalan ini termasuklah menggunakan bentuk kekerasan demi memastikan kerajaan yang dibentuk itu ideal penciptaannya, jauh dari pertelingkahan dan percanggahan yang akan menjatuhkan sesebuah kerajaan. Maka, kerajaan telah menjadi alat penguasaan kelas, iaitu alat penindasan satu kelas oleh kelas yang lain; matlamatnya adalah penciptaan ‘susunan’ yang membolehkan dan meluaskan penindasan dengan mengawal pertempuran-pertempuran di antara kelas-kelas. Fakta ini diperkukuhkan oleh Marx dalam tulisannya yang berbunyi:
“Di antara masyarakat kapitalis dan Komunis terletaknya zaman perubahan revolusioner masyarakat kapitalis menjadi masyarakat Komunis. Dengan ini, juga adalah selari sesuatu zaman peralihan politik, di mana kerajaan hanya dapat menjadi pemerintahan diktator oleh proletariat.”
Lenin telah menambah visi baru dalam teori komunisme Marx iaitu mewujudkan parti sebagai pemimpin masyarakat. Dalam jentera pentadbiran kerajaan, kelas pekerja yang terdiri daripada golongan Proletariat bertindak sebagai pemimpin bagi seluruh masyarakat Rusia tersebut. Istilah pemimpin ini dijelaskan oleh pengikut Marx aliran Sosialis sebagai Komunis, sebagaimana maksudnya dalam Communis Manifesto, iaitu sebuah karya Marx yang dihasilkan pada tahun 1848. Realitinya, parti pemerintah ini dikawal kuasanya oleh seorang ketua. Dalam erti kata lain, kawalan kerajaan sebenarnya berpindah kepada one-man rule, sebagaimana yang terdapat pada kerajaan Soviet Union iaitu dari Lenin kepada Mikhail Gorbachev, dan di China dari Mao Zedong kepada deng Xiaoping, serta di negara-negara Komunis lain.
Sebagai sebuah negara yang mengalami zaman peralihan dari Kapitalisme kepada komunisme, persoalan demokrasi turut dimuatkan. Semasa Kapitalisme mengusai Rusia, demokrasi ini wujud kepada golongan kapitalis yang kaya, sementara golongan miskin terus tertindas, dibawah demokrasi yang bersifat hipokit dan palsu itu. Maka, pemerintahan diktator oleh proletariat, zaman peralihan menuju Komunisme, akan, buat kali pertama, menghasilkan demokrasi bagi rakyat, bagi majoriti, berserta dengan penindasan golongan minoriti, iaitu pihak pengeksploitasi. Demokrasi, yang membawa makna kesamarataan adalah sangat penting bagi kelas pekerja dalam perjuangannya demi kebebasan menentang pihak kapitalis. Tetapi demokrasi sama sekali bukanlah batasan yang tidak patut dilintasi; ia hanyalah salah satu tahap dalam aliran perkembangan dari feudalisme ke kapitalisme, dan dari kapitalisme ke Komunisme.

War Communism dan New Economy Policy (NEP)
Parti Boleshevik yang dipimpin oleh Lenin mengambil alih ekonomi negara yang hampir runtuh. Maka, masalah pertama yang perlu diselesaikan oleh parti komunis yang memerintah itu adalah memastikan ekonominya akan dapat terus berlangsung. Boleshevik bercita-cita untuk menghapuskan pemilikan harta persendirian dan juga pasaran bebas, dan kemudian mengagihkan hasil tersebut. Sebaliknya, polisi ini menjadi semakin radikal apabila pihak pemerintah cuba meluaskan bidang kuasanya bagi mengawal ekonomi negara.
Dalam tahun 1917, Lenin telah mengemukakan idea berkenaan elektrifikasi Rusia (GOELRO) yang kemudian telah diluluskan oleh Kongres Soviet. Menurut beliau elektrifikasi inilah yang akan menjadi asas bagi pemulihan dan pembinaan semula ekonomi nasional yang musnah disebabkan campurtangan imperialis dan perang saudara. Rancangan ini membayangkan pembinaan 30 buah stesen elektrik yang besar dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, yang akan menampung industri berat, pengangkutan dan pertanian. Lenin menyifatkan rancangan elekstrifikasi ini penting bagi kewujudan dan ‘survival’ Komunis di Soviet.
Sebelum ini, iaitu ketika masa revolusi berlangsung, Lenin memperkenalkan polisi ekonomi perang yang dikenali sebagai War Communism. Melalui polisi ini, segala hasil kilang dan ladang akan diletakkan di bawah kawalan kerajaan, dan perdagangan persendirian dirampas. Makanan disita dan diagih kepada tentera dan pekerja bandar. Polisi yang diharapkan dapat meringankan beban perang saudara, sebaliknya telah mewujudkan lebih banyak masalah kepada penduduk dan pemerintah komunis di Rusia sendiri. Kemarau yang memanjang di wilayah Volga menyebabkan kematian hampir lima juta penduduknya. Pengeluaran industri terus merosot kepada 15 peratus berbanding tahun 1913. Kekurangan makanan dan hasil industri menyebabkan inflasi berlaku. Kelemahan ekonomi ini telah membawa kepada satu pemberontakan pada bulan Mac 1921 yang dipimpin oleh kelasi Krondstadt (juga pernah membantu Lenin dalam tahun 1917 semasa revolusi), sebaliknya secara kejam ditahan oleh satu unit rahsia polis yang dikenali sebagai CHEKA.
Pemberontakan yang berlaku membuktikan betapa buruknya ekonomi Rusia ketika itu. Justeru Lenin kemudiannya mencadangkan satu bentuk ekonomi baru yang boleh memperbaiki ekonomi Rusia serta mengembalikan kepercayaan masyarakat massa kepada kepimpinan komunis. Idea berkenaan New Economic Policy (NEP) atau Dasar Ekonomi Baru telah dibentangkan oleh Parti Komunis dalam satu kongres yang diadakan pada 10 Mac 1921. Dasar ini dibentuk bagi menggantikan dasar ekonomi ‘Komunis Perang’ yang berlangsung sepanjang perang saudara. Dasar ini meletakkan kerajaan sebagai penguasa sepenuhnya ke atas ekonomi, merangkumi industri-industri berat, pengangkutan, komunikasi, perbankan, dan perdagangan luar. Sementara itu, industri ringan dan pertanian tetap dibawah kawalan individu. NEP ini kemudiannya berjaya menaikkan semula ekonomi Rusia. Dalam tahun 1928, pengeluaran hasil dan industri meningkat semula berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ramai dalam kalangan petani dan peniaga menjadi kaya.
Walau apa jua langkah yang diambil oleh Lenin, hakikat berkaitan kuasa negara dan ekonomi tetap dipegang oleh golongan pekerja dan kaum tani. Hakikat ini penting bagi memastikan kelangsungan politik Rusia di tangan peneraju idea komunisme iaitu kelas pekerja.

Revolusi Kebudayaan
Revolusi kebudayaan merupakan salah satu aspek yang ditekankan oleh Lenin sebaik sahaja kejayaan revolusi komunis di Rusia. Langkah pertama yang dilakukan oleh beliau adalah ‘memulihkan’ sistem pendidikan negara.
Sebelum ini, berjuta-juta rakyat Rusia ‘haus’ akan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang rata-rata dikuasai oleh beberapa orang yang ‘terpilih’ sahaja. Justeru, kerajaan Soviet berusaha bersungguh-sungguh untuk membasmi buta huruf dalam kalangan penduduk Rusia itu. Dalam bulan Disember 1919, Lenin menandatangani sebuah dikri mengenai penghapusan buta huruf di Rusia, di mana semua penduduk Rusia yang berumur 8 hingga 50 tahun yang tidak tahu membaca dan menulis hendaklah belajar membaca dan menulis. Menjelang tahun 1940, 80% penduduk Rusia sudah tahu membaca dan menulis. Pusat-pusat pelajaran, sekolah-sekolah tinggi, serta universiti ditubuh serta diperbanyakkan, manakala halangan yang tidak adil mengenai penerimaan masuk ke universiti dan institusi dihapuskan.
Selain itu, teater juga sudah boleh dikunjungi oleh semua rakyat Rusia, manakala gaji pelakonnya dibayar dengan lebih adil. Perpustakaan-perpusatakaan dijadikan perpustakaan umum, istana-istana lama yang kaya dengan hasil-hasil seni dan tinggalan kebudayaan dijadikan muzium. Karya-karya lengkap Tolstoi, Turgenev, Chekhov, Dostoyevsky, dan penulis-penulis agung lainnya diterbitkan dalam jumlah 100,000 naskah tiap satu dan dijual dengan harga yang dapat dibeli oleh rakyat jelata. Semua langkah yang dijalankan oleh pentadbiran komunis ini menandakan kehidupan kebudayaan rakyat yang sedang mengalami perubahan yang radikal.

Idea Keagamaan Dalam Komunis
Secara umum komunisme sangat membatasi agama pada rakyatnya, dengan prinsip agama adalah racun yang menghalang rakyat daripada pemikiran yang rasional dan nyata dalam pelbagai aspek. Sebelumnya, Marx, pernah mengistilahkan agama sebagai candu masyarakat. Agama itu dianggap kolot dan penuh tahyul kerana hanya melayani golongan penindas dalam penghisapannya terhadap rakyat.
Lenin yang turut berpegang kepada fahaman marxis dan komunis secara tidak langsung juga terpisah daripada amalan keagamaannya. Lenin melihat pemisahan agama dari konsep pemerintahan dan kehidupan ini sesuatu yang perlu sebagai satu cara yang dapat menghalalkan tindakan kekerasan dan keganasan dalam ideologi komunis yang dipegangnya itu. Umumnya kita mengetahui agama tidak pernah menganjurkan segala bentuk kekerasan dan keganasan digunakan bagi mencapai tujuan tertentu termasuklah politik. Maka, Lenin sedaya upaya cuba membatasi agama dalam setiap aspek kehidupan rakyat Rusia itu demi memastikan cita-cita komunis itu tercapai. Kesannya, ramai dalam kalangan rakyat Rusia mula berpaling dari agama mereka (khasnya agama Kristian) dan berpegang kepada konsep komunis yang jauh daripada sifat-sifat seorang manusiawi beragama seperti belas kasihan, gembira, sedih, sayang dan sebagainya.
Sepanjang era pemerintahan komunis di Rusia, dianggarkan hampir 20 juta kematian berlaku sebagaimana yang dilaporkan dalam buku The Black Book of Communism. Pelbagai bentuk tindakan kejam dilakukan bagi menentang musuh-musuh komunis termasuklah hukuman bunuh dengan berbagai-bagai cara, seperti skuad menembak, gantung, lemas, pukul, dan di dalam kes-kes tertentu gas, racun atau "kemalangan kereta". Berlaku juga kemusnahan populasi melalui kelaparan, kebuluran yang dibuat-buat, menyekat makanan, atau kedua-duanya; pengasingan, di mana kematian boleh berlaku di dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat (sama ada disebabkan fizikal letih atau dikurung di tempat tertutup), atau melalui kerja berat (keletihan, sakit, kelaparan, kesejukan). Segala bentuk kekejaman ini membuktikan betapa kuatnya pengaruh idea Lenin yang telah menafikan hak seorang manusia yang ingin hidup aman dan bebas, tanpa disekat dengan pelbagai bentuk keganasan, sebagaimana yang dituntut oleh setiap agama di dunia ini.

Perkembangan Komunisme di Negara China
China merupakan negara yang berpenduduk teramai di dunia. Bahkan secara purata, satu perlima daripada penduduk dunia ini adalah bangsa Cina. Justeru, adalah tidak menghairankan jika China menjadi kekuatan Komunis dalam tahun 1947 di bawah pimpinan Mao Zedong.
Kehadiran fahaman Komunis di China dikaitkan dengan Gerakan 4 Mei 1919, yang juga menjadi titik tolak penting dalam melahirkan Revolusi Kebudayaan dan Revolusi Kesusasteraan di China. Kesan terpenting daripada gerakan yang terhasil sebagai membantah Perjanjian Versailles ini adalah kemasukan idea-idea baru dalam pemikiran intelektual China seperti Pragmatisme, Guild Socialism New Village, Anarkisme, dan Marxisme. Daripada keempat-empat fahaman ini, hanya Marxisme memberi kesan mendalam bagi sejarah China. Fahaman ini dianggap paling efektif kerana dapat mengembalikan kedaulatan negara yang telah mengalami kemerosotan sebelumnya. Tokoh utama yang bertanggungjawab membawa aliran ini masuk ke China ialah Li Ta-chao. Pelbagai usaha dijalankan oleh beliau bagi menyebarkan ideologi ini khasnnya dalam kalangan pelajar seperti menulis artikel berkenaan komunis, melahirkan pendapat beliau dalam akhbar, serta mewujudkan kelas malam. Pada 1 Julai 1921, organisasi komunis yang lebih teratur dan bercirikan Leninisme ditubuhkan iaitu Parti Komunis China (PKC).
Parti Komunis China semasa ditubuhkan sudahpun menjadi cabang Komunis Antarabangsa Ketiga yang dikawal oleh Parti Komunis Soviet. Maka, idea kekerasan yang diterapkan dalam Komunis itu turut menjadi tradisi dalam PKC. Semasa perang saudara pertama antara Komunis dan Kuomintang dari tahun 1927 hingga 1936, jumlah penduduk daerah Jiangxi menurun daripada 20 juta kepada 10 juta. Kemusnahan yang diakibatkan oleh PKC dengan penggunaan kekerasan boleh dilihat dari angka tersebut. Walaupun dalam tahun damai iaitu sejak tahun 1949, angka kematian akibat pembunuhan kejam oleh PKC tetap melebihi jumlah kematian semasa perang 30 tahun sebelumnya (1921-1949).
Salah seorang tokoh komunis yang terkenal di China adalah Mao Zedong. Beliau berasal dari sebuah keluarga petani dari Hunan. Mao telah memimpin China mencapai kemerdekaan pada tahun 1949 dan kemudian mewujudkan sebuah kerajaan totalitarian. Kesan pengamalan sistem ini telah menyebabkan munculnya kepimpinan individu dan secara dominen menguasai politik yang secara langsung mengamalkan pemerintahan diktator sesebuah kerajaan. Seperti juga dalam konsep class struggle oleh Marx dan Lenin, Mao telah melantik golongan-golongan tertentu (subleader) yang diberi kepercayaan untuk menghadapi persaingan kuasa dan penentangan dalam mengekalkan sistem totalitarian yang menjadi inti pemerintahan Komunis Mao itu.
Kerajaan Komunis Mao ini amat terkenal dengan Revolusi Kebudayaannya yang diadakan setiap tujuh atau lapan tahun. Berulang-ulang melakukan kekerasan merupakan tujuan utama parti komunis dalam mempertahankan kekuasaan politiknya. Tujuan menggunakan kekerasan adalah bagi mencipta suasana ketakutan. Maka setiap gerakan pergelutan adalah untuk membuat latihan ketakutan, agar rakyat gentar dan tertakhluk sehingga menjadi hamba ketakutan di bawah PKC.
Pendidikan turut menjadi medan bagi mempertahankan idea komunisme ini. Seorang komunis biasanya mempunyai sifat parti yang sangat kuat menguasainya. Keadaan ini disebabkan latihan jangka panjang oleh organisasi parti komunis tersebut. Misalnya, dalam pendidikan zaman kanak-kanak, walaupun standard jawapan yang diberikan tidak padan dengan pengetahuan umum dan sifat kanak-kanak, namun memenuhi standard penilaian parti, merupakan standard bagi memperoleh keputusan cemerlang. Pendidikan politik yang bermula dari sekolah menengah hingga universiti, yang dipelajari adalah harus mematuhi jawapan standard yang diberikan oleh parti. Jika tidak, maka tidak akan lulus mahupun memperoleh ijazah.
Parti Komunis tidak percaya kepada tuhan, bahkan tidak menghargai segala makhluk alam yang lain. Motto parti ini semasa revolusi Kebudayaan ialah, “menentang alam, menentang bumi, menentang manusia, penuh dengan keseronokan tiada taranya”. Dalam Komunisme ini juga, tidak ada standard sifat umum seperti belas kasihan, baik, rakus serta jahat. Hanya undang-undang dan prinsip yang menjadi standard dan boleh diubahsuai mengikut kehendak parti. Tidak boleh membunuh orang kecuali musuh yang telah ditentukan oleh parti. Hormat kepada orang tua, melainkan orang tua adalah musuh kelas. Jelasnya, kemuliaan, kesopanan, etika, kebijaksaan dan kepercayaan, adalah baik tetapi tidak berlaku ketika parti tidak ingin atau tidak mahu. Hakikatnya, komunisme memang menentang kemanusiaan, tetapi kebenaran itu diputarbelitkan.
Komunisme yang meresap di China berkembang dengan mencedok idea komunis Marxisme-Leninisme, dan kemudian digaul bersama idea Mao Zedong, telah menghasilkan Komunisme dengan ciri yang berbeza. Jika Komunisme Marxisme-Leninisme menentang amalan kapitalis, Mao pula mengajak kapitalis masuk parti. Prinsip Mao ini selalu berubah, tetapi tujuan Komunis itu sebagaimana idea marx dan Lenin, sangat jelas pula, iaitu merampas dan mempertahankan kekuasaan politik, dan tetap menguasai masyarakat secara mutlak. Hakikatnya, Komunisme yang diwujudkan di negara China itu adalah mengikut acuan pemimpinnya sendiri, di samping mempertahankan idea Komunis asal khasnya berkaitan pengekalan kuasa melalui tindakan kekerasan.



KESIMPULAN
Sepanjang penglibatan Lenin dalam dunia politik di Rusia, beliau telah mengemukakan banyak idea berkaitan prinsip dan konsep-konsep penting dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Setiap aspek ini pula seringkali dikaitkan dengan falsafah serta ideologi komunisme yang mula berkembang pesat di Rusia akhir abad ke-19.
Pada 30 Ogos 1918, Lenin ditembak oleh Fanya Kaplan, seorang wanita revolusi, sebanyak tiga kali. Kaplan menganggap Lenin telah mengkhianati Revolusi Rusia. Walaupun terselamat, sisa luka akibat tembakan tersebut telah menjejaskan kesihatan Lenin. Serangan stroke sebanyak empat kali, beserta kesan luka tembakan yang dialami Lenin pada tahun 1918, telah membawa kepada kematian beliau pada 21 Januari 1924. Seluruh negara berkabung di atas kematian pengasas Parti Komunis itu.
Namun, kematian Lenin bukanlah penamat bagi sebuah kerajaan Komunis di Rusia. Semasa hayatnya, Lenin telah meniupkan semangat yang tiada batasnya kepada rakyat Rusia bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Walaupun Parti Komunis tidak berpengalaman, tetapi telah berjaya mencipta keadaan-keadaan yang perlu bagi mencapai matlamat-matlamat yang ditentukan. Visi dan misi Komunisme Lenin ini diteruskan pula oleh pengganti Lenin yang berikutnya iaitu Stalin, tetapi dengan cara yang lebih keras berbanding Lenin sendiri.












BIBLOGRAFI


Dovring, Folke, 1996. Leninism-Political Economy As Pseudoscience. London: Westport,
Connecticut.

Ebrey. P. Buckley, 1996. China. New York: Cambridge University Press.

Fitzpatrik,Sheila, 1994. The Russia Revolusion. New York: Oxford University Press

K. Ramanathan Kalimuthu, 1987. Asas Sains Politik. Kuala Lumpur: penerbit Fajar bakti.

Lane, Peter dan Lane, Christopher, 1997. GCSE World History 1870 To The Present Day.
London: Letts Educational.

Lee, Stephen J. 2003. Lenin and Revolutionary Russia. London: Routledge.

McCauley,Martin, 1998. The Longman Companion To Russia Since 1914. United State:
Addison Wesley Longman Limited.

Micheal, Franz et al, 1990. China and The Crisis Of Marxisme-Leninism. Oxford:
Westview Press.

Pashuto, Vladimir et al, 1980. Sejarah KRSS Bergambar. Petaling Jaya: Agency
Penerbitan Nusantara.

Rusdi Omar dan Mohd Ainuddin Iskandar, 2006. China dan Politik Asia Timur.
Singapore: Thomson Learning.

Rybacek, Irina, 1993. Negara dan Bangsa. Jakarta: Grolier International, INC.

Suffian Mansor, 2003. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkarnain Abdul Rahman, 2002. Tamadun Rusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka..

0 Comments: