I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


PERANAN TARIQ BIN ZIYAD DAN MUSA IBNU NUSAIR TERHADAP PEMBUKAAN PERADABAN ISLAM DI ANDALUSIA

Thursday, October 22, 2009

BY Ali dan Fidah
Pengenalan

Sejarah peradaban Andalusia melingkari satu perjalanan jatuh bangun yang panjang. Sejarah awal Andalusia yang terletak di Eropah melihat peralihan kuasa diantara banyak bangsa di dunia. Sebenarnya perkataan Andalusia itu sendiri timbul pada abad pertengahan. Andalus atau disebut juga al-Andalus ialah istilah yang digunakan oleh ahli geografi Islam abad pertengahan, merujuk kepada wilayah pemerintahan Islam di Semenanjung Iberia yang meliputi negeri Portugal dan Sepanyol moden. Asal usul perkataan ini tidak diketahui dengan jelas. Besar kemungkinan ia berasal dari perkataan “Vandalusia” yang bererti tanah Vandal, iaitu satu suku bangsa Eropah yang mendiami rantau tersebut disekitar abad kelima Masihi .

Menurut catatan sejarah, sejak dari zaman awal lagi suku kaum Eropah dan Barbar telah mendiami negeri tersebut. Orang Phonecia dilaporkan menubuhkan sebuah kerajaan mereka di Andalus pada awal kurun kesepuluh sebelum Masihi. Berikutnya pada kurun pertama Masihi datang pula orang Romawi dan diikuti pula oleh suku kaum Visigoth yang meneraju politik Andalus hingga ke tahun 92 H/711 M. Pembukaan peradaban Islam di Andalus di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair membuka satu lembaran baru sejarah Andalusia . Adalusia telah membangun dengan pesat dan terkenal di seluruh dunia.


Latar belakang Musa ibnu Nusair
Musa ibnu Nusair ibnu Abdul Rahman ibnu Zayd al-Lakhmi atau bergelar Abu Abdul Rahman (19-98H/640-717M) pada peringkat awalnya hanya bertugas sebagai pemungut cukai tanah di Basrah pada zaman Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan. Kemudian Musa dilantik menjadi gabenor Ifriqiyah (Afrika) untuk mengantikan Hassan ibnu Nu’man pada tahun 79H/698M. Sejak itu, beliau telah bergiat aktif dengan kegiatan penaklukan termasuk terlibat dengan penaklukan Afrika Utara dan Andalus.

Latar belakang Tariq bin Ziyad
Tariq ibnu Ziyad ibnu Abdullah pula adalah berketurunan Parsi dari Hamadzan. Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa beliau berketurunan Barbar . Tariq bin Ziyad dikatakan seorang hamba kepada Musa yang dilantik oleh Musa sebagai panglima tenteranya. Selain kesetiaan Tariq kepada tuannya itu, kebijaksanaannya serta keberaniannya tidak dapat dinafikan. Setelah berjaya melakukan pendaratan melalui Selat Gibraltar bersama-sama tenteranya dengan menggunakan kapal-kapal yang dibekalkan oleh Julian, Tariq mengarahkan kapal-kapal itu dibakar. Kemudian beliau berpidato :

“ Wahai sekalian manusia, kemanakah kamu hendak lari? Laut di
belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada lagi bagi kamu
demi Allah selain kebenaran dan kesabaran… Ketahuilah kedudukan
kamu di pulau ini lebih terbiar (lemah) dari anak yatim dalam
cengkaman binatang buas. Kamu tidak mempunyai makanan
kecuali apa yang kamu rebut daripada musuh kamu.
Kalau keadaan berpanjangan, sedangkan kamu berada dalam
kekurangan dan kamu tidak berjaya mencapai matlamat kamu,
maka akan luput kekuatan kamu, dan perasaan takut kamu, dan
perasaan takut kepada kamu akan bertukar menjadi berani
menentang kamu…”

Dengan pidato Tariq ini, para tenteranya tiada pilihan lain selain berjuang untuk agama. Malah dalam pidatonya Tariq berjaya menyemarakkan semangat orang Islam untuk terus berjuang tanpa perasaan berbelah bahagi kerana mereka menyedari bahawa mereka sekarang berada di suatu tempat dengan keadaan yang kritikal dan berbahaya. Mereka berada di tengah-tengah dunia Eropah yang dikelilingi oleh orang-orang Kristian. Oleh itu, pidato yang disampaikan oleh Tariq bin Ziyad ini bertujuan untuk menanam semangat kecekalan dan keazaman serta keimanan dan keberanian dalam diri tenteranya.


Rentetan Peristiwa Penaklukan Tariq dan Musa
Keadaan Andalusia sebelum kedatangan Islam
Andalus sebelum kedatangan Islam berada dalam keadaan yang tidak stabil dalam semua aspek iaitu sosial, politik dan juga ekonomi. Penaklukan yang dilakukan oleh Raja Byzantine iaitu Raja Roderick semakin memburukkan lagi keadaan di Andalus. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Roderick telah menimbulkan kekacauan dan pertelingkahan antara golongan bangsawan. Raja Roderick merupakan seorang raja yang kejam. Dia suka menindas rakyat dan melakukan sesuka hati terhadap rakyatnya. Raja Roderick amat suka kepada gadis sunti. Setiap hari ada sahaja gadis yang dirogolnya. Raja Roderick mempunyai tentera yang ramai hinggakan mencecah ratusan ribu orang. Semasa berperang dengan tentera Tariq sahaja, bala tentera Roderick mencecah 100 000 orang. Hal inilah menjadikan Raja Roderick berkuasa dan boleh berbuat sesuka hati. Dengan jumlah tentera yang ramai, dia boleh mengawal rakyatnya.

Sikap Raja Roderick ini telah menimbulkan dendam kepada banyak pihak. Hal ini jugalah yang akan menjatuhkan beliau. Peluang untuk menakluki Andalusia muncul apabila salah seorang gabenor Roderick belot. Gabenor yang bernama Julian ini menaruh perasaan dendam kepada Raja Roderick atas beberapa sebab. Peristiwa dimana Roderick telah mencabul kehormatan Florinda, anak gadis Julian iaitu gabenor di Ceuta telah menimbulkan perasaan dendam yang akhirnya membuka peluang kepada orang Islam untuk menakluk Sepanyol. Selain itu Julian bermusuh dengan raja Roderick kerana Roderick telah membunuh kawan baiknya iaitu Witiza. Witiza merupakan pemerintah Andalusia sebelum Raja Roderik. Roderick telah merampas kuasa daripada Witiza lalu membunuh beliau.

Oleh kerana dendam yang membara ini, Julian sendiri berjumpa dengan Musa Ibnu Nusair untuk membuat tawaran. Dari Sinilah bermulanya penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam apabila panglima Julian telah bekerjasama dengan Musa Ibnu Nusair yang menjadi Gabenor di Afrika Utara untuk menakluki Andalusia . Julian sendiri telah menemui dan menghadap Musa Ibnu Nusair untuk membuat tawaran dan meminta pertolongan tentera Islam bagi menentang Roderick di Andalus . Julian juga telah menawarkan pertolongan dalam usaha untuk menakluki Andalus dengan cara memberi segala kemudahan yang diperlukan oleh tentera Islam seperti kapal, jurupandu dan sebagainya .

Langkah awal
Setelah Musa Ibnu Nusair meyakini kejujuran Julian, Musa telah meminta keizinan daripada Khalifah al-Walik Ibn Abdul Malik yang berada di Damsyik untuk melaksanakan rancangan menakluk Andalus. Setelah Khalifah al-Walid memberi kebenaran untuk meneruskan rancangan tersebut, Musa tidak terus menggerakkan angkatan tenteranya secara besar-besaran sebaliknya mengutuskan satu pasukan peninjau untuk melihat dan menyelidik terlebih dahulu keadaan di Andalus bagi menjamin keselamatan angkatan tentera Islam.

Sebagai langkah awal, Musa telah menghantar seorang sahabatnya iaitu Abu Zora Tarif ke Sepanyol bersama-sama 400 orang tentera dan 100 tentera berkuda . Tentera ini seterusnya merentasi selat dengan 4 buah ‘vassels’ yang dibekalkan oleh Julian pada bulan Julai 710M (Ramadhan 91H) dan mendarat di sebuah pulau berhampiran dengan tanah besar bernama “Isla de Las Palomas”. Mereka berjaya menguasai selatan Andalus dengan mudah dan berjaya mendapatkan harta rampasan perang yang banyak. Setelah Tarif dan angkatan tentera peninjaunya berjaya membuat peninjauan dan mengenalpasti daripada aspek-aspek politik, pertahanan dan geografi maka angkatannya pulang ke Afrika Utara dengan membawa berita gembira kepada Musa .

Musa Ibnu Nusair kemudiannya mengutuskan pula angkatan tentera yang lebih besar iaitu seramai 7000 orang tentera Islam yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Barbar dan orang-orang Mawali. Angkatan tentera ini telah diketuai oleh panglima tenteranya iaitu Tariq bin Ziyad yang sebelum ini bertindak sebagai wakil pemerintah di Tanjah. Pasukan tentera yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad ini kemudiannya merentasi selat Gibraltar. Penyeberangan Selat Gibraltar oleh Tariq dicatatkan dalam banyak buku. Misalnya Jackson J. Spielvogel menyatakan dalam bukunya yang bertajuk Western Civilization:

“After sweeping across North Africa, the muslim crossed the Strait
Of Gibraltar and moved into Spain around 710”.

Tariq dan tenteranya menyeberangi Selat Gibraltar dengan 4 buah kapal yang diberikan oleh Julian. Tariq telah mengumpulkan tentera-tenteranya diatas gunung yang kemudian dinamakan sempena namanya iaitu ‘Jabal Tarik’ atau ‘Gibraltar’ .

Permulaan yang baik
Apabila kemaraan tentera Islam sampai kepada pengetahuan Roderick, mereka terus mengumpul bala tenteranya yang dianggarkan berjumlah 100 000 orang bersiap sedia untuk menghadapi tentera Islam. Menyedari bilangan tentera Islam yang terlalu kecil, Tariq bin Ziyad dengan segera menghantar utusan untuk meminta bantuan daripada Musa ibnu Nusair yang kemudiannya mengerahkan 5000 orang tentera bagi membantu angkatan tentera Tariq. Kehadiran mereka menjadikan kesemua jumlah tentera Islam ketika itu berjumlah 12 000 orang . Namun, jumlah ini masih kecil berbanding tentera Roderick yang berjumlah 100 ribu orang .

Pasukan tentera Islam bertembung dengan tentera Roderick di suatu lembah yang dikenali sebagai “Wadi Lakkah” berhampiran dengan Medina Sidonia di dalam Wilayah Cadiz. Peristiwa ini berlaku pada 7 Rabiulawal 93 H. Setelah bertempur dengan sengit akhirnya tentera ‘the Gothic’ telah kalah dalam pertempuran pada bulan julai dan Roderick sendiri telah terbunuh . Kematian raja Roderick bukanlah dibunuh oleh tentera Islam. Sebaliknya beliau mati lemas selepas terjatuh kedalam sungai Barbat.

Kemenangan demi kemenangan
Setelah kemenangan ini Tariq bin Ziyad dan tenteranya kemudiannya meneruskan perjuangan ke Utara dan dapat menawan sebuah demi sebuah Bandar dan wilayah di Sepanyol. Bermula dengan Euja dan seterusnya menawan Cordova (Qurtubah), Archidona, Malaga, Murcia (Tudmir) dan Elvira. Tentera Islam juga dapat menawan Guadalajara dan Toledo (Tulailulah) iaitu pusat pemerintahan Visigoth yang bersebelahan dengan Perancis. Tariq juga menjadikan Toledo sebagai ibu negeri bagi wilayah taklukan Islam. Dan menjadi markas yang mana dia memulakan penaklukan di wilayah-wilayah utara Sepanyol .

Misi diteruskan
Kejayaan cemerlang yang dicapai oleh Tariq bin Ziyad telah mendorong Musa ibnu Nusair untuk terlibat secara langsung dalam pembukaan Andalus Musa dan kemudiannya telah mengambil keputusan untuk menyertai Tariq dan ingin menguasai Sepanyol. Beliau memimpin satu pasukan tentera seramai 18 000 orang yang terdiri daripada orang-orang Arab, menyeberangi Selat Gibraltar menuju ke Andalus. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab/Jun tahun 93H/712M . Musa ibnu Nusair dan tenteranya berjaya mendarat di suatu kawasan pergunungan di pinggir Laut Mediterranean. Tempat itu kemudiannya dikenali sebagai Jabal Musa sempena nama beliau. Musa kemudiannya mara ke Medina Sidonia, Carmonia dan Beuja . Musa Ibnu Nusair kemudiannya berhasrat untuk menakluki Seville, namun untuk menakluki Seville adalah lebih sukar berbanding bandar-bandar yang lain kerana ia adalah bandar yang terbesar di Sepanyol dan memerlukan beberapa bulan sebelum berjaya menawan bandar tersebut. Selepas itu, melalui Sungai Guadiana, Musa berjaya menawan Bandar Merida iaitu pada 1 Jun 713M. Musa seterusnya bergerak ke Toledo dan di situ beliau bertemu dengan Tarik bin Ziyad .

Mereka kemudiannya, menghabiskan musim sejuk di sini dan mengatur strategi seterusnya dengan menggabung tenaga untuk menakluki daerah-daerah lain yang belum ditakluki oleh orang Islam. Mereka kemudiannya berjaya menawan Saragossa tanpa menghadapi banyak tentangan. Mereka kemudiannya terus membuka daerah-daerah Huesca, Lerida dan Tarragona. Mereka kemudiannya berpecah dan meneruskan gerakan ke Utara Semenanjung Iberia iaitu daerah banjaran Gunung Pyreness. Tariq bin Ziyad kemudiannya berjaya menakluk Amayana, Astora dan Lyon. Manakala Musa pula berjaya menawan Alava, Castila, Asturias dan Gijon .

Menjelang tahun 95H/714M, angkatan tentera Islam telah berjaya menguasai seluruh Andalus dan Musa ibnu Nusair bercita-cita untuk terus mara untuk menakluk negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis, Itali, Constantinople, Yugoslavia, Bulgaria dan Turki sehingga membolehkan beliau tiba di Damsyik (untuk menghadap khalifah) dengan menggunakan jalan darat, iaitu melalui Constantinople dan Asia Minor . Walau bagaimanapun hasrat Musa tidak tercapai, kerana beliau dan Tariq telah dipanggil ke Damsyik oleh Khalifah al-Walid bin Abd. Malik. Mereka berdua telah dipanggil pulang kerana khalifah al-Walid bimbang keselamatan tentera Islam di sana . Ini kerana penaklukan yang dilakukan oleh Musa ibnu Nusair dan Tariq bin Ziyad telah terlalu jauh dari Damsyik dan Afrika Utara sendiri. Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini maka amat sukar untuk khalifah memberi bantuan kepada mereka .
Orang Islam telah menguasai seluruh Semenanjung Iberia dan membentuk pemerintahan yang tersendiri. J.M. Robert menyatakan:

“Outsides area, the Arab ware established in much of Spain as well
as in Sicily, Corcica, Sardinia and the Balearicks”

Kehebatan orang Islam memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan keimanan yang kukuh mereka berjuang habis-habisan walaupun kekuatan tentera Islam amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera Goth. Kemenangan tentera Islam yang mengejutkan ini membuka ruang kepada penduduk Andalusia memeluk Islam. Namun dari mana datangnya kekuatan tentera Islam masih menjadi perssoalan bagi kebanyakan pihak seperti Emilio garcia Gomez yang menyatakan:
“The Question of how and why the muslim Invaded Spain at
all remain unanswered.”
Sebenarnya kekuatan tentera Islam Itu datangnya dari kepatuhan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t Begitulah keadaan tentera Tariq bin Ziyad. Mereka dengan sepenuh hati menyerah diri kepada Allah s.w.t dan mengharapkan mereka mati syahid ketika perang. Jadi mereka tanpa rasa takut akan menggempur musuh. Berlainan pula dengan tentera Goth yang berjuang kerana takutkan raja Roderick. Jadi masih ada perasaan takut untuk berperang. Selain itu pimpinan tentera Islam sendiri iaitu Tariq juga seorang yang berpegang teguh kepada agama. Setiap langkah diiatur adalah berlandaskan alquran dan sunnah Rasulullah s.a.w.



Peranan Tariq bin Ziyad dan Musa ibnu Nusair


Sebagai Perintis Kepada Pembukaan Islam Di Eropah

Tariq bin Ziyad dan Musa ibnu Nusair merupakan perintis kepada pembukaan dan penyebaran Islam di Eropah terutamanya di Sepanyol. Walaupun sebelum ini, terdapat rancangan untuk menakluki Eropah iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan , namun ia hanya berjaya dilakukan oleh Tariq dan Musa. Pembukaan peradaban Islam di Sepanyol ini bermula apabila Tariq bin Ziyad yang dihantar sebagai Panglima tentera Islam yang memimpin kira-kira 12 000 orang tentera berjaya mengalahkan Raja Roderick dan tenteranya yang berjumlah 100 000 orang. Tariqlah orang Islam pertama yang berjaya mengalahkan orang Eropah.
Sebagai perintis, kewibawaan dan kejayaan Tariq bin Ziyad dan Musa Ibnu Nusair ini, telah membuka mata banyak pihak tentang kehebatan umat Islam dan semangat tentera Islam juga membawa kepada kejayaan penaklukan ke atas Sepanyol. Hal ini secara tidak langsung telah membantu kerajaan Umayyah meluaskan wilayah takluk dan membantu menyebarkan Islam di Andalusia . Selain daripada kewibawaan Musa ibnu Nusair dan Tariq ibnu Ziyad dalam menakluki Andalusia, kejayaan ini juga turut dibantu oleh semangat tentera Islam yang berjuang habis-habisan dan sanggup untuk mati syahid demi kejayaan Islam.

Kejayaan penaklukan Islam di Sepanyol juga dibantu oleh faktor-faktor lain seperti kelemahan pemerintahan Visigoth itu sendiri sama ada dari segi politik seperti perebutan kuasa golongan atasan, ekonomi yang membebankan golongan bawahan dan keadaan sosial yang teruk serta penindasan terhadap golongan Yahudi. Perkara ini menyebabkan rakyat yang tertindas sentiasa menunggu-nunggu satu pemerintahan lain yang menggantikan Visigoth untuk menamatkan penderitaan mereka. Lebih-lebih lagi mereka yang mengetahui Afrika Utara memperolehi sistem kehidupan yang teratur dibawah pemerintahan Islam, khususnya Bani Umayyah yang mendapat sokongan rakyat tempatan .
Pertolongan daripada Julian sendiri tidak dapat dinafikan kerana beliau sendiri meminta Gabenor Afrika Utara iaitu Musa ibnu Nusair untuk menakluk Andalus dan menyediakan kapal-kapal kepada tentera Islam bagi menyeberangi Selat Gibraltar. Julian juga telah bersama-sama dengan tentera Islam sejak dari awal, apabila beliau dengan sukarela menjadi juru pandu kepada tentera Islam tentang selok-belok dan keadaan Andalus memandangkan beliau mahir dengan kawasan tersebut .
Kemantapan dan kestabilan politik Islam di bawah Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan penaklukan tersebut. Semasa negara Islam di bawah pemerintahan bapanya Khalifah Abdul Malik ibn Marwan terdapat kemantapan politik yang membawa kepada kestabilan aspek-aspek lain termasuk ekonomi dan sosial. Oleh itu apabila Khalifah al-Walid mengambil alih pemerintahan, beliau tidak menghadapi banyak masalah dalam negara, maka beliau dapat menumpukan perhatian kepada ekspedisi penaklukan ke Sind, Afrika Utara dan Andalus .

Mengetuai Ekspedisi Pembukaan Islam Di Andalusia

Tariq bin Ziyad dan Musa ibnu Nusair adalah individu yang bertanggungjawab mengetuai ekspedisi terawal bagi menakluki Andalusia. Angkatan tentera Tariq bin Ziyad adalah angkatan yang dihantar oleh Musa ibnu Nusair ke Andalusia, selepas Musa menghantar Tarif bin Malik al-Ma’afiri dan dibantu oleh 400 orang tentera dan 100 tentera berkuda sebagai pasukan peninjau . Setelah Musa ibnu Nusair yakin terhadap keadaan dan keselamatan di sana, barulah Musa ibnu Nusair mengutuskan angkatan tentera Islam yang lebih besar yang diketuai oleh panglima tenteranya iaitu Tariq bin Ziyad.

Kemudian apabila Tariq bin Ziyad berjaya menguasai bandar-bandar seperti Cordova, Elura dan Guadalajara, Musa ibnu Nusair telah menyusul untuk membantu dan menyertai perjuangan di samping Tariq bin Ziyad. Musa ibnu Nusair pula telah berjaya menakluk bandar-bandar seperti Beja, Merida, Carmona dan Seville iaitu bandar yang terbesar dan terpenting di Sepanyol.

Sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab dan bijaksana, Musa ibnu Nusair juga berperanan dalam mengawal setiap pergerakan tentera Islam ke Andalusia. Pada peringkat permulaan, Musa telah menghantar pasukan peninjau yang berjumlah 500 orang, kemudian beliau telah menghantar angkatan yang lebih besar iaitu 7000 orang tentera yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad. Dan apabila Tariq meminta tentera tambahan bagi melawan tentera Roderick yang berjumlah 100 000 orang, Musa telah mengutuskan tentera tambahan seramai 5000 orang .

Peranan Musa sebagai ketua memerlukan beliau membuat keputusan yang besar. Namun setiap keputusan yang diambil bukanlah keputusan mutlak Musa sendiri. Musa meminta pendapat pembesar dan penasihat beliau. Keputusan untuk menakluki Andalusia dibuat mengambil masa yang panjang. Musa mengambil kira semua pendapat pembesarnya sebelum membuat keputusan. Hal ini menunjukkan beliau seorang ketua yang bijak dan bertoleransi.



Pengatur Strategi Dalam Setiap Peperangan Bagi Menakluk Sepanyol

Dalam rancangan untuk menakluk Sepanyol, Tariq bin Ziyad dan Musa ibnu Nusair merupakan pengatur strategi yang sangat bijak. Apabila Julian iaitu Gabenor di Ceuta meminta bantuan Musa ibnu Nusair untuk menakluk Andalusia, Musa ibnu Nusair tidak terus mempercayai Julian dan bertindak terburu-buru untuk menakluk Andalusia. Musa sebaliknya, telah menghantar pasukan tentera peninjau terlebih dahulu. Angkatan yang diketuai oleh Tarif bin Malik al-Ma’afiri bersama-sama 400 orang tentera dan 100 tentera berkuda. Tentera ini seterusnya merentasi selat dengan 4 buah ‘vassels’ yang dibekalkan oleh Julian . Setelah Tarif berjaya membuat peninjauan dan mengenalpasti dari aspek-aspek politik, pertahanan dan geografi, serta berjaya merampas kawasan Algeciras dan Tarif kembali semula ke Afrika . Setelah benar-benar yakin dengan kejujuran Julian dan keselamatan tentera Islam, Musa telah menghantar panglimanya itu, Tariq bin Ziyad beserta 7000 orang tentera muslim untuk menakluk Andalus dengan bantuan Julian .
Selain itu, dalam setiap peperangan yang disertai oleh Musa ibnu Nusair, beliau sentiasa mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Dalam penulisan Sarjana Arab, Saiyid Riyasat Ali mengatakan bahawa Musa ibn Nusayr memberi arahan kepada tenteranya untuk keselamatan nyawa dan harta orang-orang kristian seperti :
1. Jangan memusnahkan negara yang diserang.
2. Sebuah ekspidisi ketenteraan hanya boleh dilakukan demi menguasai negara tersebut.
3. Hormati idea-idea keagamaan masyarakat negara yang dikuasai.
4. Jangan merompak dan menindas masyarakat tersebut.

Arahan-arahan tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa strategi Musa ibnu Nusair yang mahukan supaya negeri yang ditakluk dan dikuasai itu tidak musnah dan penduduknya mudah untuk menerima Islam.

Manakala Tariq bin Ziyad juga ialah seorang panglima tentera yang sangat berani dan bijak dalam mengatur strategi peperangan dalam usaha untuk memastikan kejayaan milik Islam. Sebagai contoh memandangkan terlalu ramai anggota tentera yang mahu pergi berperang bersama-sama dengan Tariq bin Ziyad, beliau telah bertindak memilih anggota tentera yang tidak pernah meninggalkan solat fardu lima waktu. Selain untuk mengelakkan perasaan ketidakpuasan hati para tentera dan sifat pilih kasih, cara ini adalah sangat relevan memandangkan para tentera yang tidak meninggalkan solat lima waktu ini sudah semestinya sangat taat kepada perintah Allah s.w.t dan mereka pasti akan berjuang bersungguh-sungguh dan sanggup mati syahid untuk Islam .
Dalam strategi peperangan pula, Tariq bin Ziyad telah memecahkan tentera-tentera Islam kepada tiga bahagian iaitu pasukan pemanah, pasukan bersenjata tombak dan pasukan yang bersenjatakan pedang. Tariq juga telah mengatur strategi yang mana telah mengelirukan tentera musuh dengan menggunakan taktik dimana tentera Islam diarahkan bertukar pakaian dan kedudukan dari tempat tentera tersebut melancarkan serangan agar tentera musuh menyangkakan terdapatnya tentera tambahan .

Srategi dalam sesebuah peperangan amat penting kerana kekuatan sahaja tidak menjamin kemenangan. Strategi yang digunakan Tariq telah berjaya mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih ramai daripada tentera beliau. Jika merujuk kembali semasa peperangan khandak, tentera Islam telah menggali parit untuk menyekat kemaraan tentera Quraisy yang ramai. Hal ini jelas menunjukkan Rasulullah juga menggunakaan taktik untuk mengalahkan musuh. Jadi peranan Tariq dan Musa sebagai pengatur strategi amatlah penting untuk menjamin kemenangan tentera Islam.



Membebaskan Penduduk Andalusia Daripada Pemerintahan Visigoth

Kedatangan Musa ibnu Nusair dan Tariq bin Ziyad ke Andalusia secara tidak langsung telah membebaskan penduduk-penduduk di Andalusia daripada cengkaman dan kekejaman pemerintahan kerajaan Visigoth. Hal ini kerana, penduduk Andalusia sendiri sangat membenci pemerintahan Visigoth yang sering bertindak sesuka hati dan kejam tanpa memikirkan keadaan rakyatnya sendiri. Sebagai contoh, pemerintah Visigoth telah melakukan penindasan terhdap golongan bawahan seperti petani yang dikenakan pajakan tanah yang tinggi, mengenakan syarat yang berasaskan sistem kasta dan melakukan penindasan terhadap golongan Yahudi .

Kedatangan tentera Islam amat dialu-alukan oleh penduduk Andalusia. Contohnya semasa tentera Islam tiba di kampung maktum. Walaupun pada mulanya penduduk kampung Maktum ketakutan, namun selepasa tentera Islam tidak melyan mereka dengan baik, mereka dapat menerima Islam dengan mudah. Semasa tentera Islam berada di kampung ini, tentera Islam dilayan dengan baik. Mereka diberi makan dan minu serta dilayan dengan baik. Sebagai balasan, tentera Islam melindungi mereka daripada kekejaman tentera Goth. Malah tentera Islam telah mengajar mereka abgaimana untuuk mempertahankan diri sekiranya diserang. Ramai juga penduduk kampung maktum yang memeluk agama Islam kerana kagum dengan akhlak umat Islam yang terpuji .


Membawa Imej Islam Yang Baik Ke Andalusia

Jika sebelum ini, penduduk Andalusia hanya mendengar sahaja tentang kebaikan pemerintahan Islam terutama pemerintahan Islam di Afrika Utara, namun setelah Islam berjaya menakluk Andalusia melalui Musa Ibnu Nusair dan panglima tenteranya iaitu Tariq bin Ziyad, ia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa Islam sangat toleransi dan tidak melakukan kekejaman. Penaklukan Andalusia oleh orang Islam juga mendorong timbulnya revolusi di mana kebebasan beragama benar-benar diakui. Malah orang-orang Kristian juga dibenarkan untuk memiliki hakim sendiri untuk memutuskan perkara-perkara yang berkaitan dengan komuniti mereka .

Pemerintahan Islam di Andalusia juga sangat menjaga kebajikan orang-orang bukan Islam dan layanan yang diberikan antara orang Islam dan bukan Islam adalah secara sama rata tanpa pilih kasih. Sebagai contoh, dalam jangka waktu yang singkat sahaja agama Islam telah tersebar luas dikalangan penduduk tempatan Andalus. Bagi penduduk Kristian, mereka tidak dipaksa memeluk agama Islam tetapi hanya dikehendaki membayar cukai Jizyah kepada pemerintah Islam menurut kadar kemampuan mereka. Golongan kaya dikenakan cukai sebanyak 48 dirham, golongan kelas menengah 24 dirham dan golongan artisan sebanyak 12 dirham. Kaum wanita, kanak-kanak, paderi, orang tua, orang cacat, orang sakit, orang miskin dan hamba dikecualikan daripada cukai .

Selain itu, ketika awal kedatangan Islam di Andalusia juga telah mendapat sambutan daripada penduduk Andalusia kerana mereka tertarik dengan keperibadian Tariq. Misalnya ketika Tariq bin Ziyad dan para tenteranya menyerang sebuah kampung iaitu kampung Maktum, Tariq telah melayan dengan baik penduduk kampung yang tidak menentang tentera Islam dan penduduk di sana dengan senang hati telah menerima kedatangan tentera Islam.

Memulakan Pengaliran Tamadun Islam Dari Timur ke Barat

Kedatangan Islam ke Andalusia yang telah dipelopori oleh Musa ibnu Nusair dan Tariq bin Ziyad ini telah menandakan bermulanya pengaliran peradaban Islam ke Eropah dan seterusnya membawa cahaya kepada Eropah yang ketika itu mengalami ‘zaman kegelapan’. Kepelbagaian tamadun Islam telah diserapkan ke Eropah melalui pelbagai cabang seperti seni binaan iaitu Masjid Al-Qurtuba di Cordova. Masjid ini terkenal dengan gerbang-gerbang dalaman yang ketara. Seni bina Moor mencapai puncaknya dengan pembinaan Alhambra yang merupakan istana/kubu Granada yang indah dan mengagumkan, dengan ruang-ruang dalaman yang terbuka dan berangin dan yang dihias dengan warna merah, biru, dan emas. Dinding-dindingnya dihias dengan motif-motif dedaun, inskripsi-inskripsi Arab, dan reka-reka bentuk awan larat, dengan dinding-dindingnya dilitupi oleh jubin-jubin berkaca .

Selain itu, sepanjang sejarah pertapakan Islam di Sepanyol, terutama ke Andalusia. Tamadun Islam dengan cepat menyebar dan membangun peradaban tinggi hingga Sepanyol mencapai puncak kejayaannya. Hal ini kerana Islam tidak memisahkan antara imu pengetahuan, etika dan ajaran agama . Penjelajahan dan penaklukan Islam di Andalusia juga telah melahirkan pelbagai cabang ilmu yang telah dipelopori oleh para ilmuan dan sarjana Islam. Perkembangan ilmu amat pesat semasa zaman pemerintahan Islam. McKay Hill Buckler mengambarkan:

“In Urban Area, Muslim made Significant advances in Thought.
Toledo, for example, become an important center of learning,
through which arab intellectual achieve entered and influenced
western Europe. Arabic Knowledge of science and mathematics,
from the chinese, greek and hindus was sophisticated.”

Antara cabang ilmu yang berkembang sewaktu Islam memerintah Andalusia adalah matematik, astronomi, perubatan, kimia, sejarah, geografi, falsafah dan sebagainya . Sebagai contoh, Ibnu Rusyd (1126-1198) yang terkenal di Barat dengan nama Averous, diakui sebagai ilmuwan yang hebat di bidangnya. Ibnu Rusyd adalah ahli falsafah , doktor, dan ahli fikih Andalusia. Bukunya yang terpenting dalam bidang kedoktoran ialah al-Kulliyat yang merupakan kajian ilmiah pertama mengenai saraf-saraf dalam kelopak mata. Bukunya dalam bidang fikih pula adalah Bidayatul Mujtahid.
Selain daripada Ibnu Rusyd, Tokoh lain yang popular pada tahun 780-850M adalah al-Khawarizmi. Dicatatkan, beliau meninggal dunia antara 220M dan 230M. Ada yang mengatakan al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad kesembilan. Dalam bidang pendidikan terbukti bahawa beliau ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas meliputi bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia. menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada hari ini. Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang mula-mula memperkenalkan algebra dan Ilmu hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang .
Terdapat juga seorang lagi tokoh perubatan yang sangat terkenal ketika Islam menguasai Andalusia ialah Al-Zahrawi iaitu orang pertama yang memperkenalkan teknik pembedahan manusia. Al-Zahrawi juga telah berjaya menghasilkan ensiklopedia pembedahan yang telah dijadikan rujukan utama dalam bidang pembedahan di semua universiti di Eropah selama ratusan tahun.
Berdasarkan perkembangan ilmu yang pesat pada masa pemerintahan Islam, jelas menunjukkan Islam telah membawa cahaya yang bersinar ke Andalusia. Permulaan tamadun Islam ini tentulah dibawa oleh Musa dan tariq bin Ziyad yang bersungguh-sungguh menegakkan agama Islam di andalusia.


Kesimpulan
Dalam 3 tahun sahaja orang Islam berjaya menakluki Sepanyol secara keseluruhan. Mulai detik itu, bahagian semenanjung dikenali sebagai Andalusia dan untuk 750 tahun, sebahagian besar Sepanyol berada dibawah tangan orang-orang Islam. Kesemua ini bermula daripada Gibraltar dan bermula daripada Tariq bin Ziyad dan juga Musa Ibnu Nusair yang menjadi kunci kejayaan kepada penjelajahan dan penaklukan ke atas Sepanyol. Penaklukan ini juga telah menandakan bermulanya peradaban Islam di Sepanyol. Keadaan ini juga menjadikan Sepanyol akhirnya mencapai zaman kemuncak apabila kota-kota seperti Andalusia dan Cordova menjadi “Centre Of Excellent” bagi peradaban dunia.

0 Comments: