I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


Ahmad Boestamam

Sunday, November 15, 2009

Latar Belakang Ahmad Boestamam

Dalam sejarah politik tanah air, nama Ahmad Boestamam begitu dikenali sebagai salah seorang daripada pejuang gerakan nasionalisme terutamanya sejak tahun 1930-an sehingga 1970-an. Dalam kata lain, penglibatan beliau dalam politik tanah air begitu dikagumi kerana kegiatan aktif sejak sebelum merdeka, semasa merdeka, dan selepas merdeka. Penglibatan beliau dalam politik bermula pada permulaan 1940. Malahan tidak salah seandainya saya mengatakan bahawa beliau ini merupakan orang penting yang mewarnai situasi politik tanah air Malaysia sebelum negeri-negeri melayu memperolehi kemerdekaan. Melalui tugasan ini, fokus kajian adalah mengenai perjuangan politik Ahmad Boestamam dalam politik tanah air. Saya cuba memberikan sejarah penglibatan Boestamam dalam pertubuhan parti-parti politik seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Rakyat Malaya (PRM) dan seterusnya pengembalian Boestamam ke dunia kewartawanan dan penulisan iaitu pekerjaan beliau sebelum berjinak-jinak ke dalam arena politik.
Ahmad Boestamam dilahirkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjong Malim, Perak pada 30 November 1920. beliau merupakan anak kepada Raja Kechil, seorang perantau dari Tanah Datar Minangkabau dan bapanya ini bertanggungjawab membuka perkampungan di Behrang Ulu. Sebagai orang yang membuka perkampungan di Behrang Ulu, bapa Ahmad Boestamam dianggap sebagai ketua kampung dan secara tidak langsung, kedudukan keluarganya dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. Nama Ahmad Boestamam diilhamkan daripada nama Subhas Chandra Bose, pemimpin Liga Kemerdekaan India. Nama itu, bahkan lebih kuat daripada nama asalnya, atau Ruhi Hayat yang juga muncul dalam karya-karyanya yang awal. Tertarik dengan gaya Chandra Bose, Boestamam kemudiannya menyusun barisan pemuda Malaya di dalam Angkatan Pemuda Insaf (API). Kekentalan semangat yang ditiup oleh Subhas Chandra Bose turut membakar jiwa Ruhi Hayat sehingga beliau sanggup mengabadikan nama popularnya sebagai Boestamam.
Beliau memasuki sekolah Inggeris ini pada tahun 1933 semasa berumur sebelas tahun. Di sini, beliau belajar sehingga Tingkatan Tiga (Junior Cambridge). Kegagalan beliau dalam peperiksaan telah menyebabkan beliau terpaksa menamatkan alam persekolahannya. Kegagalan ini berlaku berikutan tumpuannya yang terlalu banyak dalam bidang penulisan di akhbar Saudara. Keadaan ini terus mengheret Ahmad Boestamam terus ke dalam bidang kewartawanan. Namun begitu, beliau telah bangkit mengukir nama dipersada politik tanah air melalui sentuhan-sentuhan penanya yang tajam sehingga memberi kesan mendalam terhadap sejarah hidupnya dengan pelbagai kisah suka duka sebagai seorang pejuang.

Perjuangan Awal Ahmad Boestamam dalam bidang penulisan.
Ketajaman pena Boestamam telah membawa kepada keterlibatan awalnya dalam bidang politik yang dapat dilihat dengan jelas menerusi buku yang ditulis bertajuk Merintis Jalan ke Puncak. Khalayak dapat menelusuri buah tangan pertama pengarang sewaktu menggali dan membongkar bahan-bahan sejarah tanah air dalam gelanggang perjuangan menentang penjajahan dan memperjuangkan Kemerdekaan. Beliau juga salah seorang perintis utama dalam gelanggang ini semenjak era 30-an dan dirasakan pembaca dapat bertemu dengan sumber asli dari pelaku utamanya sendiri.
Karya beliau lebih tertumpu kepada pergolakan dalam satu kehidupan yang sarat dengan perjuangan, pengorbanan dan penderitaan yang pernah ditanggungnya. Lewat naskhah Tujuh Tahun Malam Memanjang, Boestamam lebih memberikan tumpuan tentang kisah suka duka pengalaman silamnya yang berkali-kali ditahan dan merana dengan kehidupan hitam di sebalik tirai besi. Siang dan malam serasa tiada bezanya. Tembok besi menjadi rakan setia dan pemisah kehidupannya dengan dunia luar. Beliau mengenang dan terus mengenang nasibnya sepanjang berada di situ. Putaran kehidupannya terus mewarnai bab ini.
Melalui satu memoir yang dihasilkan iaitu Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, Boestamam telah disemadikan sebagai salah seorang tokoh yang cukup gemilang dalam eranya. Manisnya memoir ini kerana mendapat sentuhan kata pengantar oleh Tan Sri A. Samad Ismail. Beliau juga sahabat karibnya yang sama-sama tajam mata penanya. Rentetan kehidupan Boestamam yang gemilang dan tragis dapat dikesan menerusi penulisannya. Hal ini boleh dilihat melalui sumbangan besar Boestamam ialah dengan menyusun Testament Politik API. Merdeka dengan darah yang menjadi tema dokumen tersebut begitu sinonim dengan perjuangan hidupnya yang selalu membara. Beliau turut menggariskan dasar perjuangan API untuk merdeka dengan darah di dalam testament politiknya. Pada zaman perjuangannya, testament ini cukup dikenali. Tambahan pula, kelebihan testament ini cuba menerangkan tentang kebangkitan pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya dan di seluruh dunia. Testament ini siap disusun olehnya pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak.
Saya begitu tertarik dengan kata-kata testament halaman 3 dimana Boestamam memberikan kata-kata semangat kepada pemuda-pemuda di negeri-negeri Melayu untuk mencontohi pemuda-pemuda di Indonesia. Melalui kata-katanya,
“Semboyan yang dipakai oleh pemuda-pemuda Indonesia itu ialah;- “Kita menghadapi penjajah dengan revolutie. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah”. “Pemuda biar hancur, asal tanah air tak hancur”.
Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa Boestamam ingin mewujudkan satu angkatan pemuda yang bersedia untuk mengorbankan jiwa raga mereka untuk berjuang menuntut kemerdekaan tanah air. Kebangkitan semangat pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya serta di seluruh dunia digambarkan sebagai sama-sama berjuang demi kemerdekaan Tanah Air masing-masing berlandaskan keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.
Selain dari terkenal sebagai seorang tokoh nasionalis yang cukup tersohor dengan kebolehan dan bakat kepengarangannya, beliau juga dikenal sebagai penterjemah, novelis, penyajak dan juga dianggap penulis yang cukup disegani. Idea Boestamam boleh dikesan mengalir di pelbagai wadah penerbitan bagaikan air mengalir kerana kepekaannya dengan keadaan di sekelilingnya. Rata-rata kejayaan hebatnya terkesan setelah berjaya membongkar bahan-bahan sejarah tanah air dalam bentuk perjuangan dan diterapkan menerusi tulisan-tulisannya yang masih boleh dirujuk sehingga kini. Menyedari cabaran dan perjuangan dalam kehidupannya, beliau terus menggilap bakat seninya menerusi dunia penulisan. Kebanyakan isu yang disentuh melalui buku-bukunya lebih tertumpu kepada riwayat hidup dan perjuangannya dalam memberikan kesedaran kepada orang-orang melayu untuk keluar daripada kepompong pemikiran yang mengikut telunjuk pihak British.
Dalam hubungan lain, saya juga begitu tertarik dengan pandangan Professor Khoo Khay Kim dalam catatan anak Boestamam iaitu Rustam Abdullah Sani sewaktu kembalinya Ahmad Boestamam ke rahmatullah taala (Mingguan Malaysia: 23 Januari 1983). Khoo berkata:“Kini beliau telah pergi. Satu era dalam politik Malaysia telah tamat. Ramai berjuang dalam tahun empat puluhan dan lima puluhan namun tiada antara tokoh-tokoh zaman itu yang lebih berjaya melambangkan gaya dan corak perjuangan golongan radikal Melayu.”
Apakah ‘gaya dan corak’ pejuangan golongan tersebut yang terpancar pada kehidupan Ahmad Boestamam? Pada pandangan dan pembacaan saya, gaya dan corak itu tidaklah terlalu berbeza daripada gaya dan corak perjuangan para pemimpin dan gerakan-gerakan nasionalis lainnya yang banyak muncul di seluruh rantau Asia dan Afrika pada tahun-tahun empat puluhan dan lima puluhan itu iaitu gerakan-gerakan yang telah mengakhiri pemerintahan kolonial dan melahirkan sebilangan negara-negara bebas di rantau yang kita kenal hingga ke hari ini. Hanya satu matlamat yang ingin diperjuangkan iaitu menuntut kemerdekaan dan mengusir anasir penjajah yang menduduki tanah airnya dengan slogan yang memperjuangkan jiwa dan raga serta bersaksikan darah jika ianya perlu dilakukan. Kebanyakan gerakan tersebut merupakan gerakan anti-kolonial dalam ertikata yang visionary (berwawasan). Penolakan mereka terhadap kuasa penjajahan itu tidaklah didorong oleh rasa benci yang bersifat perkauman, tetapi didorong oleh fahaman tentang keadilan, demokrasi dan kesamarataan yang amat kuat. Jika Ahmad Boestamam menerapkan gaya yang demikian dalam perjuangannya, maka hakikat itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh gaya perjuangan yang biasa dilakukan dalam kalangan teman-temannya di negara ini sendiri, seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Haji Mohamad, Taha Kalu, Abdullah Zawawi dan lain-lain.
Namun begitu, para pemimpin nasionalis rakyat seperti Ahmad Boestamam biasanya melihat usaha mencapai cita-cita fahaman nasionalisme yakni cita-cita membentuk sebuah nation (negara-bangsa) bagi kelompok rakyat yang diwakilinya sebagai suatu cabaran kecendekiawanan untuk mencari dan merumuskan kembali gagasan jati diri bangsa itu dari hakikat sejarahnya, bukannya sekadar suatu usaha mudah untuk meneruskan ‘pentadbiran kolonial’ wilayahnya oleh anak negeri yang dipimpin oleh golongan kanan seperti UMNO pada ketika itu yang dilabelkan sebagai anak emas British.. Dalam hal inilah saya berpendapat bahawa beberapa gagasan yang telah mereka kemukakan misalnya konsep ‘Melayu Raya’ perlu kita kaji dan kita fahami dalam pengertian ideologi nasionalisme yang lebih mendalam dan tidak sekadar menanggapnya sebagai kesan ‘pengaruh Indonesia’ seperti yang sering dikemukakan oleh beberapa ahli sejarah yang amat berbeza perspektifnya.
Ahmad Boestamam dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
Kesan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jepun, telah mendorong kepada Parti Komunis Malaya (PKM) dan tenteranya Malayan People Anty Japanese Army (MPAJA) memerintah selama 13-14 hari. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan berlaku keterlibatan Ahmad Boestamam apabila beliau didesak untuk bersama-sama PKM menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang bersifat radikal. PKM mahu menguasai Negeri-negeri Melayu dengan cara berperlembagaan. Pada mulanya parti ini dinamakan dengan Parti Sosialis Malaya, namun bagi mengelakkan imej kekirian yang terlalu menonjol, pertukaran dilakukan Ahmad Boestamam menjadi PKMM. Ahmad Boestamam telah menggunakan kesempatan ini untuk memasukkan dasar iaitu untuk membentuk Melayu Raya dalam PKMM. Namun begitu, ianya tidak mendapat pengaruh atau kesan yang baik kerana pada masa itu, United Malay National Organisation (UMNO) lebih mempengaruhi orang Melayu terutamanya ianya dipimpin oleh golongan elit tradisional, tambahan pula pertubuhan ini beraliran kanan.
Dalam Kongres yang diadakan pada tahun 1946 atau lebih dikenali sebagai ‘Kongres 1946’ , PKMM telah menyertai UMNO. Tetapi oleh kerana persamaan taraf oleh Dato’Onn Ja’afar PKMM dengan pertubuhan-pertubuhan kecil lain, telah menimbulkan kemarahan kepada Ahmad Boestamam serta pemimpin PKMM yang lain. Sekaligus telah membawa PKMM keluar daripada UMNO pada bulan Jun 1946. Selepas itu, Ahmad Boestamam dalam PKMM telah menjalankan dasar berbaik-baik dengan Kerajaan British apabila menyokong Malayan Union, tambahan pula selain menyokong Malayan Union, Ahmad Boestamam juga mahukan sebuah negara yang dibentuk berasaskan Melayu Raya. Jadi, walaupun sokongan diberi terhadap Malayan Union, tetapi Kerajaan British tetap bimbang tambahan pula PKMM berada di bawah pengaruh PKM.
Penentangan terhadap UMNO berlaku apabila Ahmad Boestamam bersama-sama PKMM yang dipengaruhi oleh PKM menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Ianya merupakan sebuah badan radikal yang bergabung dengan All Malayan People Council of Joint Action (AMCJA) menjadi PUTERA-AMCJA. Pertubuhan gabungan ini tetap menyokong prinsip-prinsip Malayan Union dengan beberapa tambahan yang tertentu seperti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan perlindungan serta galakan bagi kemajuan ekonomi, sosial, pendidikan dan agama Islam. Hal ini sekaligus menunjukkan bahawa PKMM tidak menyokong UMNO menumbangkan Malayan Union, tetapi sebaliknya menentang UMNO dan bekerjasama dengan bukan Melayu dan PKM bagi melemahkan UMNO.

Ahmad Boestamam dalam Angkatan Pemuda Insaf (API)
Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan salah satu pertubuhan kecil yang ditubuhkan pada bulan Februari 1946 dan pada asalnya merupakan sayap pemuda PKMM. Ahmad Boestamam merupakan Ketua 1 bagi API atau dalam PKMM sebagai Ketua Bahagian Pemuda PKMM. Pada awal penubuhannya, ianya hanya mempunyai tiga orang ahli sahaja termasuk Ahmad Boestamam iaitu A. Rahman Abdul Rahim dan A. Bakar Thareek Mereka telah mengumpulkan bilangan anggota sehingga beribu-ribu orang. Di serata Negeri-negeri Melayu terdapat cawangan API yang ditubuhkan untuk pemuda yang mempunyai semangat yang radikal.
Dalam perjuangan bersama-sama API, Ahmad Boestamam telah cuba menonjolkan diri sebagai salah seorang pemimpin yang berkebolehan. Hal ini dilihat dalam satu Kongres yang diadakan pada tahun 1946, Ahmad Boestamam menyelar kepimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy kerana sokongan terbuka terhadap Kongres 1946 serta tidak bersetuju dengan pencapaian kongres tersebut. Ahmad Boestamam mahukan orang Melayu menubuhkan Kongres API bagi mencari pencapaian yang lebih sosialistik daripada Kongres 1946. Tambahan pula, perjuangan radikal PKMM akan terus tenggelam jika ia terus bersekutu dengan UMNO yang bersifat sederhana dan konservatif itu. Selepas dua bulan penubuhan API, Ahmad Boestamam telah membawa API keluar daripada pentadbiran PKMM dan telah menjadi badan tersendiri dan bekerjasama dengan PKMM sebagai sebuah parti. Maknanya, ianya telah membentuk satu gabungan yang mempunyai kepimpinan yang berlainan. Dengan itu, Ahmad Boestamam dapat bertindak dan merancang sebarang kegiatan API sebagai satu badan yang lebih berkesan daripada PKMM tambahan pula ianya lebih bersifat radikal daripada PKMM sesuai dengan mottonya iaitu ‘Merdeka Dengan Darah’.
Ahmad Boestamam berjaya menjadikan API lebih ditakuti oleh Kerajaan British terutama dengan dasar terbukanya menentang penjajahan British dan menuntut kemerdekaan dengan darah, serta cita-cita mencantumkan Negeri-negeri Melayu dengan Indonesia. Tindakan British menahan Ahmad Boestamam kerana penerbitan Testament Politik API tidak mampu untuk mengawal Ahmad Boestamam. Demikian dengan keadaan ini, British terpaksa mengharamkan API sebagai sebuah organisasi politik. Ahmad Boestamam telah dipenjarakan selama tujuh tahun bermula dari Julai 1948 hingga Jun 1955 kerana dianggap sebagai merbahaya kepada keselamatan politik British Negeri-negeri Melayu serta sekitarnya.

Ahmad Boestamam dalam Parti Rakyat Malaya
Parti Rakyat Malaya (PRM) telah menjadi parti politik pertamanya setelah dibebaskan daripada penjara pada tahun 1955. Beliau menggunakan ideologi sosialisme marhaenisme ciptaan Sukarno dalam memimpin parti ini. Dengan kerjasama Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau merupakan pengerusinya yang pertama.
Ahmad Boestamam juga telah menggunakan kedudukan dalam PRM untuk memajukan orang Melayu dan bukan Melayu. Konsep gabungan Ahmad Boestamam dengan bukan Melayu telah membolehkan ia menjadi seorang pemimpin ‘Malayan’ dalam erti kata sebenarnya. Pelantikan beliau sebagai Pengerusi SF juga adalah satu strategi menjadikan SF bersifat ‘Malayan’ dengan pemimpinnya adalah orang Melayu. Keadaan ini membolehkan SF mendapat sokongan semua kaum dalam pilihanraya dan pembentukan kerajaan. Namun begitu, kerjasama ini kelihatannya gagal dalam beberapa pilihan raya umum di Malaya kerana perjuangan sosialis tidak diminati oleh orang melayu.
Apa yang menjadi persoalan, apakah sebenarnya identiti politik yang ingin dibawa Ahmad Boestamam pada masa itu. Di kala negeri-negeri Melayu telah mencapai kemerdekaan, masih terdapat perbalahan parti politik Melayu yang seakan-akan melihat kepada perjuangan kebanggaan diri. Bukankah negeri-negeri melayu pada masa itu tidak lagi dibawah kongkongan penjajah seperti mana yang ditentang oleh Ahmad Boestamam selama ini, tetapi dengan jelas boleh dilihat ada kemahuan invidu untuk berkuasa di negeri ini yang kononnya memperjuangkan orang melayu dan bukan melayu.
Kesimpulan
Sebagai seorang yang disegani sepanjang hidupnya, Ahmad Boestamam telah menunjukkan sifat nasionalis yang sukar diganti kerana semangat radikal beliau untuk memajukan orang Melayu dan bukan Melayu tiada tolok bandingnya. Di samping itu, perkembangan politik Ahmad Boestamam juga menggambarkan satu tempoh atau keadaan politik yang begitu penting dalam era peralihan kepada proses kemerdekaan negeri-negeri melayu. Tapi kini, sejarah perjuangan Ahmad Boestamam bagaikan terkubur bersama jasadnya. UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat mahu memonopoli sejarah kemerdekaan negara, pejuang-pejuang yang tak sehaluan dengan mereka dipinggirkan. Tambahan lagi dengan “momok” anti komunis yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar rakyat Malaysia. Ini lebih memudahkan bagi mereka untuk menguasai sejarah kemerdekaan negara. Namun, ianya perlu diperbincangkan secara lanjut dalam bahagian yang lain dan saya tidak dapat membincangkan sebab-musabab terpinggirnya pejuang-pejuang ini.
Ahmad Boestamam mengakhiri sisa-sisa hidupnya sebagai penulis bebas dan meninggal dunia akibat sakit barah paru-paru. Maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik, menarik serta berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Januari 1983 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gombak, Kuala Lumpur.


0 Comments: