I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


PERANAN AKHBAR

Sunday, November 15, 2009

PENGENALAN.

Akhbar memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat. Di Negeri-negeri Melayu (NNM) fungsi awalnya hanyalah melaporkan tentang berita dan peristiwa yang terjadi di serata tempat.[1] Perkembangan penerbitan akhbar pada peringkat pertama adalah dipelopori oleh orang Inggeris seawal abad ke-19 yang menerbitkan The Government Gazette[2] dan pada akhir abad tersebut barulah muncul akhbar berbahasa Melayu yang pertama iaitu Jawi Peranakan di Singapura. Namun akhbar ini juga bukannya diterbitkan oleh orang Melayu tetapi ia diterbitkan oleh golongan India Muslim di Singapura.[3] Pada abad ke-20, perkembangan penerbitan akhbar Melayu semakin pesat bagai tumbuhnya cendawan selepas hujan. Penerbit dan peneraju bagi akhbar-akhbar[4] Melayu ini adalah dari kalangan orang Melayu sendiri. Isu-isu yang dibincangkan juga semakin luas, meliputi peristiwa-peristiwa dari dalam dan luar negeri, isu-isu agama, golongan imigran, masalah orang Melayu, pendidikan dan politik. Ini menunjukkan peranan akhbar Melayu pada masa tersebut semakin besar dan semakin penting dalam membentuk proses komunikasi yang lebih berkesan dalam masyarakat Melayu.

AKHBAR MELAYU TAHUN 1900 HINGGA SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA.

Akhbar Melayu dalam tempoh 1900 hingga sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua memainkan peranan penting dalam mewujudkan kesedaran sosial dalam diri orang Melayu yang masih ’lena’ dan menyemarakkan lagi semangat orang Melayu yang telah sedar untuk membela nasib mereka. Peranan sebagai pewujud kesedaran sosial dapat dilihat melalui tujuan penerbitan akhbar Al-Imam itu sendiri iaitu ”mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menundukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan”.[5]

Awal abad ke-20, keadaan masyarakat Melayu adalah begitu daif dan mundur dalam semua aspek berbanding dengan masyarakat lain. Masyarakat penjajah (British) dan orang Cina hidup selesa dan lebih maju di atas ketidaksedaran dan ketidakmampuan orang Melayu itu sendiri. Untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang Melayu, akhbar-akhbar Melayu telah menyiarkan rencana-rencana pengarangnya yang menyentuh tentang keadaan dan nasib bangsa Melayu. Contohnya puisi yang bertajuk ”Tanahairku” oleh Ibrahim Hj. Yaakob telah disiarkan dalam Warta Negeri bertarikh 3 Februari 1930[6] yang berbunyi:

Ayuhai Semenanjung tanahairku,

Tempatku besar didiknya ibu,

Ilahi ra’bi-bi tolonglah bangsaku,

Tinggal di belakang memakan debu.

Ayuhai Semenanjung tanahairku,

Tempatku duduk setiap hari,

Bangsaku miskin sudahlah tentu,

Keadaannya lemah tidak berdiri.

Ayuhai Semenanjung tanahairku,

Tempat bermain di dalam puri,

Tidakkah belas amboi bangsaku,

Melihat harta terlepas di jari.

Puisi ini telah menggambarkan keadaan sebenar orang Melayu yang mundur dan miskin serta ketinggalan di belakang bangsa lain. Keadaan orang Melayu pada ketika itu diibaratkan seolah-olah ’hidup segan, mati tak mahu’. Puisi ini juga menimbulkan persoalan akan di manakah letaknya kesedaran orang Melayu yang sanggup melepaskan ’harta’ mereka ke tangan bangsa lain. Penyiaran penulisan-penulisan seperti ini di dalam akhbar-akhbar Melayu telah memberikan kesedaran di kalangan orang Melayu supaya bangkit membela nasib mereka yang tertindas dan mundur di tanah air sendiri.

Selain itu, banyak lagi akhbar-akhbar Melayu yang menyiarkan penulisan atau rencana-rencana yang menyentuh perihal orang Melayu, yang secara langsung telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu. Contohnya puisi ”Mempertahankan Hak Kita”[7] yang disiarkan dalam Warta Jenaka yang mengingatkan orang Melayu akan bahayanya orang asing di NNM. Akhbar Melayu seperti Pengasuh (1917-1940), Idaran Zaman (1925-1930), Warta Malaya (1930-1941) dan Majlis (1931-1941, 1945-1955) turut membicarakan isu-isu penting yang menyentuh kepentingan semasa dan masa hadapan orang Melayu dalam kemelut politik dan sosial yang sedang melanda.[8]

Akhbar-akhbar Melayu juga menjadi tempat serta alat kepada golongan terpelajar atau golongan intelektual menyebarkan pemikiran, idea, fahaman dan pendapat mereka terhadap isu dan permasalahan yang menyelubungi orang Melayu pada masa itu. Golongan ini dilihat cuba memecahkan ’kepompong bebalisme’ yang selama ini menyelubungi pemikiran orang Melayu pada masa tersebut supaya sedar akan kedudukan sebenar mereka yang semakin hari hak mereka semakin ’dirampas’ dan ’diragut’ oleh orang asing yang tidak mempunyai hak ke atas tanah air mereka.

Tokoh-tokoh seperti Muhammad Yunus bin Abdullah, Muhammad Yunus bin Abdul Hamid, Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Onn bin Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bertugas sebagai pengarang atau pembantu pengarang telah menggunakan peluang ini untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka dan serta menyeru orang Melayu bangun memperbetulkan keadaan dari setiap segi termasuklah politik.[9] Golongan ini juga turut menyertakan tuntutan orang Melayu terhadap kerajaan British. Sebagai contoh, Abdul Rahim Kajai yang bertugas sebagai pengarang akhbar Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu telah menggunakan ruangan rencana pengarang sebagai medan mengkritik penjajah British, orang asing dan membela nasib orang Melayu untuk mencapai kemajuan.[10] Selain para wartawan, guru-guru, pendakwah dan penggiat masyarakat juga turut menggunakan akhbar-akhbar Melayu untuk menyemarakkan kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu.

Di samping itu, akhbar Melayu turut memberi perhatian kepada isu pergerakan politik orang Melayu. Antara akhbar Melayu yang menyentuh hal ini ialah Idaran Zaman, Saudara, Warta Malaya, dan Majlis. Sebagai contoh pada 11 September 1926, Idaran Zaman melalui rencananya yang bertajuk ”Persatuan Melayu” telah bersetuju terhadap penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Rencana seperti ini turut memberi kesedaran kepada pembaca-pembaca terutamanya orang Melayu akan perlunya diwujudkan persatuan politik seperti KMS di NNM.[11] Akhbar Saudara pada tahun 1931, telah mencadangkan supaya diadakan kongres di kalangan orang Melayu di seluruh NNM[12] dan mencadangkan penubuhan Persekutuan Melayu.[13] Cadangan yang dikemukakan oleh akhbar Saudara ini telah mendapat respon yang positif daripada akhbar-akhbar Melayu yang lain, contohnya sebagaimana sokongan yang diberikan oleh akhbar Warta Malaya dan Majlis.[14] Keadaan ini jelas menunjukkan akhbar-akhbar Melayu telah menggunakan kelebihan mereka ini untuk berkomunikasi sesama mereka dan juga berkomunikasi dengan orang Melayu.

Kebebasan bersuara yang dimiliki oleh akhbar-akhbar Melayu telah memberikan ’tiket’ kepada mereka untuk menegur segala ’kepincangan’ kepimpinan yang wujud dalam mana-mana pihak tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Onn Jaafar yang merupakan pengarang Warta Malaya telah menyiarkan rencananya dalam akhbar tersebut, rencana yang membidas raja-raja Melayu yang telah gagal menjadi sebenar-benar pemimpin kepada orang Melayu. Dalam banyak hal, raja-raja Melayu tidak lagi melindungi ’rakyatnya’, tetapi bertindak menekan mereka. Onn menyatakan bahawa raja-raja Melayu sepatutnya melahirkan rasa hormat dan sayang mereka kepada ’rakyat’ dan bukan sebaliknya.[15] Penyiaran rencana seperti ini oleh akhbar Melayu setidak-tidaknya dapat menyedarkan orang Melayu bahawa pemimpin yang dipercayai dapat membela nasib mereka tidak dapat berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Golongan ini lebih suka berdiam diri dan mengikut telunjuk penjajah walaupun dalam keadaan terpaksa demi menjaga kepentingan mereka berbanding membela nasib ’rakyat’. Akhbar Al-Imam juga ada menyeru raja-raja dan orang-orang besar Melayu supaya menubuhkan persatuan dengan tujuan untuk meninggikan pelajaran, ekonomi dan kesedaran orang Melayu. Akhbar ini turut menggalakkan orang Melayu melanjutkan pelajaran keluar negeri.[16]

Begitu juga halnya dengan masyarakat Melayu. Mereka juga tidak kurangnya dikritik oleh akhbar-akhbar Melayu. Contohnya rencana-rencana Onn Jaafar dalam Warta Malaya yang membidas tindak tanduk dan sikap orang Melayu itu sendiri yang menghalang pembangunan masyarakat Melayu.[17] Tujuannya ini bukan sahaja sekadar untuk menarik para pembaca tetapi juga diharapkan dapat memberikan satu kesedaran kepada orang Melayu supaya berubah untuk memperbaiki nasib mereka.

Kerajaan British juga turut mendapat kritikan daripada akhbar-akhbar Melayu. Warta Malaya kerap kali membidas dasar politik, pentadbiran, pendidikan dan ekonomi British yang merugikan dan memundurkan orang Melayu. Kritikan secara langsung ini diharapkan dapat menyedarkan orang Melayu terhadap penindasan British yang telah dilakukan secara sengaja ke atas mereka.[18] Dasar British terhadap kemasukan imigran ke NNM juga turut dikritik dan ditentang hebat oleh akhbar Melayu. Hal ini kerana imigran yang datang bekerja di NNM telah mempengaruhi kemiskinan dan kemunduran orang Melayu di tanah air sendiri. Imigran-imigran ini juga lama-kelamaan semakin berani menuntut hak mereka sebagai penduduk di NNM dan hak politik daripada kerajaan British. Keadaan ini telah mengundang kepada kritikan dan tentangan daripada orang Melayu umumnya dan akhbar Melayu khususnya.[19]

Akhbar-akhbar Melayu juga turut menyentuh isu pendidikan orang Melayu yaang berada pada tahap yang paling rendah. Onn Jaafar dalam rencana-rencananya telah membangkitkan dasar pelajaran British terhadap orang Melayu. Kerendahan mutu pelajaran sekolah Melayu, ketiadaan nilai ekonomi dan keengganan British mengajar bahasa Inggeris di sekolah Melayu menjadi isu penting yang diutarakannya dalam Warta Malaya.[20] Ketiadaan nilai ekonomi dalam pelajaran Melayu dan agama menyebabkan orang Melayu tidak berupaya untuk mengejar perkembangan ilmu pengetahuan yang lebih tinggi. Dengan kata lain, pengetahuan teknologi moden serta pengetahuan moden lainnya yang tidak dapat diperoleh oleh orang Melayu telah menyebabkan timbulnya penindasan psikologi dari penjajah dan juga dari orang asing.[21] Kritikan terhadap dasar British ini adalah kerana pendidikan dilihat sebagai alat yang amat penting untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu.

Di samping itu, akhbar-akhbar Melayu juga berperanan sebagai alat menyebarkan ilmu pengetahuan[22] dan menyampaikan maklumat semasa kepada para pembaca. Akhbar-akhbar Melayu dalam penerbitannya turut menyelitkan berita-berita dan peristiwa yang berlaku di dalam dan di luar negeri. Ia juga membincangkan tentang hukum-hakam agama, memberikan nasihat berunsur agama, membicarakan tentang dunia Islam dan umatnya yang ketinggalan dan mundur berbanding dengan orang lain, cerita-cerita nabi dan rasul dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan agama.[23] Idaran Zaman sebagai contohnya telah menekankan perpaduan melalui agama.[24]

Berita-berita dan rencana-rencana yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Melayu telah memberikan maklumat semasa kepada para pembaca akhbar tentang dunia di luar kawasan orang Melayu. Orang yang tidak tahu membaca juga tidak ketinggalan dalam mengikuti peristiwa-peristiwa semasa. Bagaimana mereka mengikutinya? Tentulah melalui bantuan orang yang tahu membaca. Mereka yang boleh membaca akan membacakan berita-berita yang disiarkan dalam akhbar di hadapan orang-orang yang tidak tahu membaca. Golongan yang tidak tahu membaca dan menulis ini akan mendengarnya dengan teliti seterusnya sama-sama berbincang dan memberikan pendapat mereka dengan golongan yang tahu membaca.[25] Hal ini dapat menghindarkan setiap golongan orang Melayu tidak ketinggalan dalam mengikuti arus perkembangan semasa dan dapat mempelajari sedikit sebanyak akan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

Akhbar-akhbar Melayu juga menjadi salah satu sumber ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar Melayu. Hal ini kerana terdapat beberapa akhbar Melayu yang menjadi rujukan dan bahan tambahan pelajaran di sekolah-sekolah Melayu. Pembacaan pelajar-pelajar Melayu terhadap akhbar-akhbar Melayu dapat memberikan pengetahuan kepada mereka terhadap isu-isu semasa yang menjadi tumpuan pada masa tersebut. Penggunaan akhbar-akhbar ini di sekolah-sekolah Melayu juga dilihat dapat dijadikan tapak permulaan untuk mewujudkan kesedaran dan menyemai semangat kebangsaan di kalangan pelajar Melayu. Matlamat ini tidak akan berjaya jika guru-guru tidak memainkan peranan mereka. Boleh dikatakan bahawa prinsip ”melentur buluh biarlah dari rebungnya” menjadi pegangan guru-guru Melayu pada masa tersebut untuk mencapai matlamat mewujudkan kesedaran dan menyemai semangat perpaduan di kalangan anak-anak Melayu.

PENUTUP.

Demikianlah antara peranan-peranan yang dimainkan oleh akhbar-akhbar Melayu sejak awal abad ke-20 sehinggalah sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. Isu-isu penting yang dibincangkan di atas adalah saling berkaitan antara satu sama lain yang berakarumbikan kepada masalah kemunduran masyarakat Melayu dalam semua aspek termasuklah dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan hak orang Melayu. Dapat dinyatakan bahawa hubungan akhbar dengan orang Melayu adalah ”bagai aur dengan tebing” yang tidak dapat dipisahkan. Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu yang agak malap pada awalnya akhirnya menjadi semakin bersemarak dan merebak ke seluruh NNM. Seperti kata pepatah Melayu, ”selembap-lembap puntung di dapur, akhirnya api menyala jua”.



[1] Lihat Azmah Abdul Manaf, (2001), Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan

Publications & Distributors Sdn.Bhd., Hlm. 313.

[2] Akhbar berbahasa Inggeris ini telah diterbitkan pada tahun 1806 di Pulau Pinang. Ia diusahakan oleh

pencetak berbangsa Inggeris iaitu A.B. Bone. Ibid, Hlm. 314.

[3] Akhbar ini diterbitkan pada tahun 1876 yang merupakan perintis dalam kegiatan penerbitan akhbar

Melayu di Negeri-negeri Melayu. Lihat Kassim Thukiman, (2002), Malaysia: Perspektif Sejarah dan

Politik, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia. Hlm. 59. Melalui akhbar ini berita-berita dari luar dan

dalam negeri dimuatkan di samping menggalakkan pendidikan Melayu dan pembicaraan tentang Bahasa

Melayu. Lihat juga Yahaya Ismail, (1986), Ke Mana Melayu Pulau Pinang?, Kuala Lumpur: Dinamika

Kreatif Sdn. Bhd., Hlm. 18.

[4] Contohnya seperti akhbar Chahaya Pulau Pinang oleh Abdul Ghani Muhd. Kassim, Utusan Melayu oleh

Mohd. Yunus Abdullah, akhbar Suara Melayu, Lembaga Malaya dan Utusan Zaman.

[5] Lihat Abdullah Zakaria bin Ghazali, (1988), (disunting oleh Adnan Haji Nawang), Perak, 1651-1955:

Satu Tinjauan Mengenai Perjuangan Orang Melayu dalam Perak Dahulu dan Sekarang, Kuala Lumpur:

Persatuan Muzium Malaysia, Hlm. 165. Ada yang menganggap Al-Imam ini adalah merupakan sebuah

majalah Melayu.

[6] Lihat Abdul Latiff Abu Bakar, (1991), Peranan Penulisan Dalam Gerakan Kebangsaan di Malaysia

dalam Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur: Kerjasama (Persatuan Sejarah

Malaysia Cawangan Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka), Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme

Malaysia dan Penerbit Universiti Malaya, Hlm. 103.

[7] Puisi ini dikarang oleh Harun Mohd. Amin yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan sikap tauke-

tauke dan wakil-wakil Cina dalam majlis-majlis mesyuarat. Mereka mendakwa bahawa merekalah yang

telah banyak berjasa dan memberikan kemakmuran kepada NNM. Oleh itu, mereka menuntut persamaan

hak seperti kerakyatan, tanah, dan kemudahan lain dengan alasan mereka telah membantu penjajah

British memajukan NNM. Harun juga beranggapan bahawa orang Cina gembira kerana orang Melayu

ketinggalan dalam semua aspek akibat kedatangan orang asing di NNM. Ibid, Hlm. 103-104.

[8] Lihat Abdul Rahman Hj. Ismail, (2005), Cabaran dan Tindak Balas (1896-1946) dalam Malaysia,

Sejarah Kenegaraan dan Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm. 229.

[9] Ibid, Hlm. 300.

[10] Lihat Abdul Latiff Abu Bakar, Op.Cit, Hlm. 105.

[11] Ibid, Hlm. 105-106. Lihat juga Azmah Abdul Manaf, Op.Cit., Hlm. 337.

[12] Tiap-tiap negeri dikehendaki menghantar wakil-wakil mereka di perhimpunan besar kongres Melayu.

Dalam perhimpunan ini, orang Melayu dikehendaki mengemukakan masalah yang mereka dihadapi.

Abdul Rahim Kajai sebagai pihak Saudara mencadangkan supaya Kongres Melayu ini diadakan di Johor

Bharu kerana merupakan kawasan yang maju dan moden.

[13] Persekutuan Melayu yang dicadangkan ini adalah ‘berhaluan kanan’ iaitu mengikut undang-undang

negeri dan patuh kepada raja-raja Melayu dan kerajaan British. Persekutuan ini cuba membantu kerajaan

British memajukan orang Melayu dan cuba mengatasi kemajuan bangsa asing di NNM. Lihat Abdul

Latiff Abu Bakar, Op.Cit, Hlm. 107.

[14] Cadangan ini turut mendapat sokongan daripada majalah Malaya melalui rencananya yang bertajuk

”Kongres Bagi Umat Melayu Dalam Negeri”. Ibid, Hlm. 107.

[15] Kenyataan ini ada disiarkan dalam Warta Malaya pada tahun 1930-an. Untuk keterangan lanjut sila lihat

Ramlah Adam, (1994), Dato’ Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Hlm. 42.

[16] Lihat Abdullah Zakaria bin Ghazali (disunting oleh Adnan Haji Nawang), Op.Cit., Hlm. 165-167.

[17] Op.Cit., Hlm. 42.

[18] Ibid, Hlm. 34.

[19] Untuk keterangan lanjut sila rujuk Azmah Abdul Manaf, Op.Cit., Hlm. 335. Lihat juga Yahaya Ismail,

Op.Cit., Hlm. 21-22 dan Ramlah Adam, Op.Cit., Hlm. 41-42.

[20] Rencana Onn Jaafar yang bertajuk ‘Sekolah Melayu’ menyentuh akan kerendahan mutu pelajaran

‘vernakular’ Melayu yang diperkenalkan oleh British pada abad ke-19. Sistem ini memastikan setiap

kanak-kanak Melayu bersekolah selama lima tahun sebelum memasuki sekolah Inggeris. Sukatan

pelajarannya sangat asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Ilmu pertukangan, anyaman dan pertanian

kemudiannya diperkenalkan supaya sesuai dengan kehidupan luar bandar.

[21] Lihat Yahaya Ismail, Op.Cit., Hlm. 18.

[22] Lihat William R. Roff, (2003), Nasionalisme Melayu, (diterjemah oleh Ahmad Boestamam), Kuala

Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, Universiti Malaya, Hlm. 174.

[23] Lihat Azmah Abdul Manaf, Op.Cit., Hlm. 326.

[24] Lihat Abdullah Zakaria bin Ghazali (disunting oleh Adnan Haji Nawang), Op.Cit., Hlm. 167.

[25] Untuk keterangan lanjut sila lihat William R. Roff, Op.Cit., Hlm. 177 dan 184.

0 Comments: