I made this widget at MyFlashFetish.com.

PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


Ilusi Perpaduan Dalam Islam

Wednesday, October 21, 2009

Sering kali, isu banyak mazhab dan perbezaan amalan antara gereja-gereja Kristian dibangkitkan sebagai alasan mengapa agama Islam ialah agama yang benar. Logik di sebalik kesimpulan ini ialah bahawa agama yang benar dari Allah yang esa adalah agama yang mempunyai kesatuan dan perpaduan ummah. Bersandarkan fahaman ini, Islam banyak kali dipaparkan sebagai agama yang mempunyai ajaran yang jelas dan umat yang bersatu padu manakala umat Kristian digambarkan sebagai berpecah-belah dan mempunyai ajaran-ajaran yang bertentangan. Namun, apabila fakta-fakta sebenar dikemukakan, adalah jelas pandangan-pandangan tersebut jauh berbeza daripada keadaan sebenar. Artikel ini adalah satu usaha sederhana untuk membawa satu perspektif yang lebih seimbang kepada isu kesatuan dan perpaduan dalam Islam dan Kristian.

Mazhab-mazhab dan Perbezaan Pendapat Dalam Islam

Islam bukan satu kesatuan yang kukuh. Sejarah Islam dan komposisi Islam hari ini menjadi saksi kepada kenyataan saya ini.

Perpecahan yang pertama terjadi kira-kira 29 tahun selepas wafatnya Muhammad. Perbezaan pendapat mengenai siapa dan bagaimana khalifah baru harus dipilih telah memecahkan orang Islam kepada beberapa kumpulan. Perpecahan ini juga menyebabkan terjadinya perpecahan akidah dan aliran pemikiran dalam Islam. Kumpulan-kumpulan yang terhasil saling kafir-mengkafiri atau sekurang-kurangnya menganggap kumpulan lain sebagai munafik.

Dua aliran utama telah timbul dari perpecahan ini dan masih wujud hingga hari ini:

Syiah

Pengaruh kumpuan ini tertumpu di Iran dan Iraq. Mereka merupakan pengikut-pengikut 12 Imam yang merupakan keturunan Muhammad dan percaya bahawa hanya keturunan Muhammad sahaja yang berhak memimpin umat Islam. Mereka menganggap Ali bin Abu Talib sebagai khalifah pertama yang sah dan walaupun Imam keturunan Muhammad yang terakhir telah hilang tanpa meninggalkan kesan, mereka percaya dia akan kembali pada akhir zaman sebagai Imam Mahdi. Untuk sementara waktu, kepimpinan umat Syiah disandang oleh para ulama Syiah.

Golongan Syiah juga terbahagi kepada beberapa aliran yang berlainan – terdapat perbezaan pendapat tentang silsilah Imam-imam yang sah dan sifat Khalifah Ali bin Abu Talib.

Pada amnya ajaran Syiah tidak diterima oleh orang Islam Sunni kerana dianggap terpesong dan tidak tepat pada Islam yang asli.

Kedudukan golongan Syiah dalam Islam mirip kedudukan golongan Roman Katolik dalam agama Kristian. Kedua-duanya menekankan isu-isu kepimpinan umat.

Sunni

Perkataan sunni bermaksud pengikut-pengikut Al-Sunnah (Al-Hadis). Aliran ini merupakan kumpulan Islam yang terbesar.

Berbeza dengan golongan Syiah, persoalan utama kumpulan ini ialah bagaimana kepemimpinan Islam harus dijalankan, sama ada berdasarkan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis atau tidak. Penekanan mereka adalah kepada prinsip-prinsip Al-Quran dan Al-Hadis sebagai autoriti yang tertinggi dalam Islam.

Golongan Sunni ini pula terpecah kepada empat mazhab:

1. Hanafi – pengasasnya Imam Abu Hanifah Numan bin Thabit yang berasal dari Iraq. Mazhab yang paling liberal ini mempunyai pengikut di tempat-tempat seperti Turki, Pakistan, Afghanistan, Cina dan Rusia.

2. Maliki – pengasasnya Imam Malik bin Anas dari Madinah. Dia terkenal kerana karyanya yang berjudul Al-Muwatta. Pengaruh mazhab ini mencapai tempat-tempat seperti Utara Afrika dan Kuwait.

3. Shafi’i – diasaskan oleh Imam Muhammad Idirs al-Shafi’i yang juga dikenali sebagai Bapa Perundangan Islam. Mazhab yang terbesar ini menumpukan pengaruhnya ke tempat-tempat seperti Palestin, Mesir, Arab Saudi, India dan Asia Tenggara.

4. Hambali – diasaskan oleh Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal yang telah menulis buku berjudul Al-Musnad. Pengikut-pengikutnya didapati di Arab Saudi, Lubnan dan Syria. Mazhab ini ialah yang paling konservatif.

Keempat-empat mazhab ini juga berbeza dalam banyak segi. Contohnya:

o Mazhab Hanafi dan Maliki menerima amalan sahabat-sahabat Muhammad sebagai asas perundangan Islam mana kala mazhab Shafi’i menolaknya kerana tidak mendapatkan pengesahan Muhammad.

o Mengikut mazhab Maliki, Ijma adalah hak para ulama dan penduduk Madinah sahaja. Mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa setiap ulama yang layak boleh mengambil bahagian dalam Ijma. Sebahagian dari mazhab Hambali sebaliknya berpendapat hanya Ijma empat khalifah yang pertama adalah sah.

o Perbezaan-perbezaan lain termasuk peraturan-peraturan cara menunaikan sembahyang, menguruskan mayat, haram-halalnya makanan, hal-hal perkahwinan, puasa dan pembayaran zakat.

Walaupun berbeza (dan ada masanya bercanggah), kesemua ajaran-ajaran dan amalan-amalan mazhab-mazhab ini diterima sebagai sah dan benar. Seorang Islam Sunni boleh menukar mazhabnya tanpa menjejaskan imannya.

Adakah Keadaan Ini Mencemaskan?

Umat Islam Sunni tidak khuatir dengan perbezaan-perbezaan serta perpecahan yang wujud antara mereka kerana Muhammad pernah mengatakan bahawa perbezaan pendapat (ikhtilaf) merupakan berkat bagi ummahnya. Tanpa interaksi mazhab-mazhab ini, syariah tidak mungkin ditafsirkan dan dihuraikan dengan lengkap.

Untuk orang Islam, kebenaran ialah satu perkara yang mempunyai banyak aspek. Maka tidak hairan wujudnya mazhab yang berbeza hasil dari pandangan yang berbeza. Perbezaan-perbezaan ini dikatakan terhad kepada perkara-perkara kecil (furuat) dan tidak menyentuh usul atau dasar kepercayaan Islam sebenar.

Bagaimana Dengan Mazhab-mazhab Kristian?

Sebenarnya pendapat-pendapat yang baru sahaja dibentangkan di atas tidak jauh bezanya daripada pandangan orang Kristian mengenai mazhab-mazhab mereka. Mazhab-mazhab Kristian biasanya tertubuh kerana keperluan kebudayaan dan bangsa, perbezaan bahasa dan struktur sosial serta pengamalan yang berlainan sesuai dengan keadaan satu-satu masyarakat. Mazhab-mazhab ini tidak berbeza langsung dari akidah-akidah Kristian yang asas dan utama yang termasuk keesaan Allah, keilahian Isa Al-Masih dan kesahihan Alkitab sebagai Firman Allah.

Meskipun begitu, mesti diakui bahawa ada mazhab-mazhab yang walaupun dianggap Kristian oleh pemerhati bukan-Kristian, sebenarnya telah terpesong dari ajaran Isa Al-Masih yang benar contohnya gerakan Saksi Jehovah dan Gereja Mormon. Mereka ini harus dianggap terpesong atau sesat sebagaimana kebanyakan orang Islam menganggap golongan Ahmadiya atau Al-Arqam telah terpesong dan tidak boleh dianggap Islam.

Penelitian yang sewajarnya akan menunjukkan bahawa perbezaan-perbezaan dalam mazhab-mazhab Kristian yang beratusan itu bukanlah dari segi kepercayaan dan penerimaan ajaran-ajaran Isa Al-Masih dan Alkitab tetapi dari segi aplikasinya. Kebebasan mengaplikasikan prinsip-prinsip Allah dari Alkitab sememangnya satu keistimewaan agama Kristian yang sihat dan akan terus diamalkan.

Juga perlu ditegaskan di sini bahawa kehadiran mazhab-mazhab Kristian yang berlainan tidak menjejaskan ajaran-ajaran Isa Al-Masih yang asal. Sesungguhnya ajaran-ajaran beliau boleh diperoleh dengan jelas dan tepat hari ini.

Kesimpulan

Apakah Islam patut diterima sebagai agama benar dari Allah kerana kesatuan dan perpaduan ummah? Saya rasa tidak kerana kesatuan dan perpaduan yang diagungkan itu sebenarnya tidak wujud. Apakah isu banyak mazhab dan perbezaan amalan antara gereja-gereja Kristian patut diterima sebagai alasan untuk menolak ajaran Isa Al-Masih? Saya percaya tidak kerana walaupun terdapat banyak mazhab Kristian, tidak ada banyak Isa Al-Masih apa lagi ajarannya yang hidup dan kekal itu. Dalam Isa Al-Masih ada kesatuan yang benar – kesatuan yang dihasilkan oleh Isa Al-Masih dengan semua orang yang percaya kepadanya

0 Comments: