I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


Siapa Tariq dan Musa.

Saturday, October 17, 2009

1.0 PENDAHULUAN
Peranan dua orang tokoh Islam iaitu Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair sangat penting kerana peranan kedua-dua tokoh tersebutlah yang bertanggunjawab dalam membawa kepada pembukaan peradaban Islam di Eropah terutamanya Afrika Utara dan semenanjung Iberia dengan jayanya walaupun sebelum itu telah terdapat individu-individu tertentu yang melakukan aktiviti perluasan wilayah Islam. Hal ini kerana Bani Umaiyyah di Andalus adalah rentetan peristiwa dari Bani Umaiyyah di Damsyik apabila kerajaan Islam di bawah khalifah al-Walid ibn Abdul Malik , khalifah Bani Umaiyyah yang kelima berjaya menakluki bumi Andalus melalui gabenornya iaitu Musa Ibn Nusair dan panglima tenteranya iaitu Tariq Ibn Ziyad. Walaupun kekhalifahan Islam yang tersendiri dan berpusat di Andalus hanya bermula pada 138 H/756 M iaitu setelah Abdul Rahman Ad-Dakhil memerintah Andalus.
Untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas adalah memudahkan jika kita membahagikan kepada tiga skop iaitu melihat kepada peranan yang dimainkan oleh Tariq Ibn Ziyad dalam melakukan ekspedisi ketenteraan, peranan Musa Ibn Nusair dan akhir sekali ialah melalui kerjasama kedua-dua orang tokoh tersebut dalam meneruskan penaklukan ke wilayah-wilayah di Eropah. Kaum muslim telah berada atau hadir di Eropah sejak awal kedatangan Islam. Sejarah kehadiran Islam secara kukuh di benua ini dikatakan bermula di Sepanyol pada abad ke-7. Kemudiannya barulah berlaku beberapa gelombang pasang-surut islamisasi Eropah dan yang terakhir serta terbesar adalah imigrasi kaum muslim bekerja di negeri bekas penjajah mereka.
Oleh itu, memang tidak boleh dinafikan bahawa penerokaan dan penaklukan yang dilakukan oleh orang Islam di luar kepulauan Arab sehingga ke Eropah adalah bertitik-tolak kepada peranan yang dimainkan oleh dua orang tokoh Islam yang disegani iaitu Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair yang membawa kepada pembukaan dan perkembangan Islam itu sendiri. Penaklukan dan penerokaan yang bertitik-tolak dari Maghribi yang merupakan sebuah negeri di utara Afrika mempunyai peranan besar dalam sejarah Islam, terutama dalam menyebarkan Islam di wilayah Afrika Utara dan sebagai pintu gerbang masuknya Islam ke Andalus. Afrika Utara menjadi wilayah penghubung untuk penaklukan Andalus. Segala persiapan ekspedisi penaklukan Islam ke daratan Eropah dilakukan melalui negeri ini.

2.0 PERISTIWA-PERISTIWA MASUKNYA PENGARUH MUSLIM DI
ANDALUS.
Terdapat beberapa peristiwa yang membawa kepada kemasukan peranan kaum Muslim terutama Muslim di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair yang seterusnya membawa kepada pertapakan Islam di Eropah terutamanya di Andalusia. Peristiwa perebutan kekuasaan oleh Raja Roderick yang merebut singgahsana kerajaan Visigoth. Hal ini menyebabkan putera-putera raja lama, Witiza, mengadakan pemberontakan kepada Raja Roderick. Sebahagian daripada mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika Utara dan mengadakan persetujuan dan pakatan dengan kaum muslimin untuk melawan dengan Roderick.
Peristiwa ini juga menyebabkan Count Julian, pemerintah Queta (Sabtah) menaruh perasaan dendam kepada Roderick kerana beliau bersahabat baik dengan Witiza. Tambahan pula selepas itu Roderick telah mencabul kehormatan anak gadisnya, Florinda yang dihantar ke istana di Toledo untuk mempelajari adat-istiadat bangsawan di Andalus yang menyemarakkan lagi dendam Julian. Oleh sebab itu, Julian bersumpah untuk memerangi Roderick sampai musnah dan menggulingkan pemerintahan haram raja Roderick.

Pada masa yang sama di Afrika Utara, di Selatan Andalus telah dikuasai oleh orang Islam di bawah pemerintahan gabenor Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik. Khalifah pada masa itu ialah Al-Walid Ibn Abdul Malik dari keturunan Marwan Ibn Al-Hakam. Khalifah Al-Walid ( 86-96 H/705-715) banyak membuat ekspedisi penaklukan termasuk Sind melalui gabenor Muhammad Ibn Al-Qasim dan Afrika Utara oleh Musa Ibn Nusair.
Bermulanya peristiwa penaklukan orang Islam di Andalus apabila Julian menulis surat kepada Musa Ibn Nusair, gabenor Afrika Utara yang berada di Qayarawan supaya menakluki Andalus dan menjatuhkan Roderick dari takhtanya. Perkara ini memang banyak disepakati oleh ahli sejarah yang mencatat bahawa Julian sendiri meminta Tariq Ibn Ziyad panglima tentera Musa Ibn Nusair menakluki Andalus. Julian menyatakan kekagumannya terhadap pemerintahan Islam dan ingin berbaik-baik dengan orang Islam. Musa Ibn Nusair meminta keizinan khalifah Al-Walid di Damsyik untuk menakluki Andalus.
3.0 TARIQ IBN ZIYAD.

3.1 LATAR BELAKANG
Tariq Ibn Ziyad merupakan seorang panglima muda yang bertindak menggepalai dan memimpin pasukan muslim dari Daulah Umaiyyah dalam penaklukan Andalusia (Semenanjung Iberia). Nama lengkap beliau ialah Tariq bin Ziyad bin Abdullah adalah berketurunan Parsi dari Hamadzan. Sebahagian sejarahwan mengatakan bahawa Tariq bin Ziyad berasal dari bangsa Barbar suku Nafza, sebahagian lagi mengatakan berasal dari bangsa Barbar suku Zanata. Ibnu Khaldun menyebutnya dengan tambahan nisbah Al-Laisi. Tetapi ada juga yang mengatakan Tariq berasal dari Hamadan, Persia. Walaupun Tariq Ibn Ziyad dikatakan berasal daripada kaum Barbar, namun jika dilihat dari nama ayahnya dapat dilihat bahawa Thariq mungkin sudah lama memeluk Islam. Tariq dikatakan seorang hamba kepada Musa Ibn Nusair yang dilantik oleh Musa sebagai panglima tenteranya. Pada peringkat awalnya, Tariq Ibn Ziyad hanya diangkat sebagai tentera biasa, namun hasil daripada kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam melakukan penerokaan pada tahap pertama menyebabkan beliau menjadi panglima agung. Namanya diabadikan untuk memberi nama sebuah semenanjung yang merupakan perbukitan karang setinggi 425 m iaitu Jabal Tariq (Gunung Tariq).

3.2 PERANAN
Peranan Tariq Ibn Ziyad dalam membawa kepada pembukaan peradaban Islam di Eropah memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Walaupun sejarah tentang peranannya seakan-akan mahu dilupakan dan semacam ingin diluputkan terus dalam ingatan, namun masih terdapat lagi beberapa pihak dan ahli sejarahwan yang tertarik dan berminat untuk mengkaji, meneroka dan menyelongkar tentang misteri dan seribu cerita di sebalik nama Tariq Ibn Ziyad. Hal ini kerana beliau memainkan peranan besar dalam membawa peradaban Islam keluar dari kepulauan negara Arab dan membawa sehingga ke Eropah dengan kejayaannya pasukan tentera Muslim dibawah pimpinannya berjaya menakluki beberapa kawasan di benua Eropah.

3.2.1 MENGETUAI INVASI ATAU EKSPEDISI KETENTERAAN.

Peranan yang paling besar dan menonjol Tariq Ibn Ziyad dalam membawa kepada pembukaan peradaban Islam di Eropah ialah dalam mengetuai pasukan muslim Umaiyyah dengan bertindak sebagai panglima tentera Islam dalam melakukan penerokaan atau ekspedisi ketenteraan menawan benua Eropah. Penyerangan yang dilakukan Tariq Ibn Ziyad dilancarkan setelah diadakan pengintipan oleh Tariq bin Abdul Malik An-Nakha’i. Pada tahun berikutnya barulah Musa Ibn Nusair memerintahkan Tariq Ibn Ziyad untuk meneruskan penerokaan dan penjelajahan secara besar-besaran dengan membawa bersama dengannya pasukan yang lebih besar. Kebetulannya di Andalusia sedang berlaku masalah dalaman iaitu perebutan kekuasaan. Raja Roderick (711) yang merebut singgahsana kerajaan Visigoth.
Keadaan ini memberi kesempatan kepada Tariq Ibn Ziyad untuk terus mara menakluki Andalusia dan mencapai sasarannya. Sehubungan dengan itu, pada Rejab 97 (Julai 711), Tariq Ibn Ziyad mendapat perintah dari Gabenor Afrika Utara iaitu Musa Ibn Nusair setelah mendapat keizinan daripada khalifah al-Walid untuk mengadakan penyerangan ke semenanjung Andalusia. Tariq Ibn Ziyad bersama dengan 7000 orang tentera yang kebanyakannya terdiri dari suku kaum Barbar yang mahsyur dengan sifat degil dan berani berperang. Kehadiran tentera Islam untuk kali kedua ini jiga telah mendapat bantuan dan kerjasama daripada Jullian. Orang Yahudi juga dilaporkan turut membantu kemasukan tentera Islam ke Andalus. Mereka telah menyampaikan rahsia kekuatan bala tentera Visigoth kepada pihak Islam sebagaimana yang terjadi semasa penaklukan kota Toledo. Ada juga di kalangan Arab berjaya mencipta sejarah yang di luar dugaan termasuk juga oleh Musa Ibn Nusair sendiri yang tidak menyangka bahawa tentera di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad berjaya menakluki beberapa wilayah dan kota di benua Eropah.

3.2.2 PENDARATAN DI JABAL TARIQ
Tariq Ibn Ziyad bergerak dengan menyeberangi selat Andalusia yang jaraknya hanya 13 meter dengan armada (kapal) yang diberikan oleh Count Julian. Pada 5 Rejab 92 H / 27 April 711 Tariq berjaya mendarat di pantai karang di suatu daerah kecil di bahagian terhujung selatan Eropah. Tempat ini akhirnya dinamai dengan nama Jabal-Tariq atau Gibraltar sebagai sempena dari nama pemimpin itu.
Antara taktik yang digunakan oleh Tariq Ibn Ziyad dapat dilihat iaitu sebaik sahaja berjaya melakukan pendaratan melalui Selat Gibraltar bersama tentera-tenteranya menggunakan kapal-kapal yang dibekalkan oleh Julian. Tariq Ibn Ziyad mengarahkan tenteranya membakar semua kapal-kapal yang dinaiki oleh mereka dengan tujuan untuk menaikkan semangat keperwiraan tentera Islam supaya maju ke hadapan. Kemudian Tariq Ibn Ziyad antara lain naik di atas bukit dan berpidato berapi-api, ”Wahai sekalian manusia, kemanakah kamu hendak lari? Laut di belakangmu dan musuh di depanmu. Tiada lagi bagi kamu demi Allah selain kebenaran dan kesabaran. Ketahuilah kedudukan kamu di pulau ini lebih terbiar (lemah) dari anak yatim dalam cengkaman binatang buas. Kamu tidak mempunyai makanan kecuali apa yang dapat kamu rebut dari musuh kamu. Kalau keadaan berpanjangan, sedang kamu berada dalam kekurangan dan kamu tidak berjaya capai matlamat kamu, maka akan luput kekuatan kamu, dan perasaan takut kepada kamu akan bertukar menjadi berani menentang kamu.

PERTEMPURAN DI LEMBAH LUGO.
Di Lembah Lugo, pasukan Tariq berhadapan dengan pasukan Roderick. Thariq bersiap-sedia dengan taktik-taktik yang pernah dilakukan oleh panglima Khalid bin al-Walid di lembah Sungai Yarmuk untuk menghancurkan pasukan Persia. Pada bulan Ramadhan 92 H/19 Julai 711 M, terjadilah pertempuran-pertempuran besar pertama antara pasukan Muslimin Arab dan barbar di satu pihak melawan pasukan Goth di pihak lain. Dalam pertempuran tersebut dua komander sayap kanan dan sayap kiri pasukan Goth ( dua orang ipar Julian ) iaitu Appa dan Sebsert sangat mengecewakan Roderick. Sebenarnya kekalahan dua pasukan Roderick ini adalah tidak wajar kerana jumlah tenteranya yang ramai berbanding dengan bilangan tentera pihak Tariq. Beberapa penulis menyatakan bahawa Sebsert dan Appa melakukan pengkhianatan. Kalau anggapan ini adalah benar, maka apa yang dikatakan ’pengkhianatan’ itu sebenarnya bukanlah suatu pengkhianatan yang lazim dibuat oleh komander pasukan yang berkomplot dengan lawan. Hal ini kerana, para penulis sejarah itu sendiri pada umumnya memastikan bahawa baik Sebsert mahupun Appa, kedua-duanya tidak mengetahui sama sekali bahawa iparnya, Jullian berada di pihak pasukan Muslim Arab dan Barbar.

PERANG GUADELETE

Apabila Roderick mendengar tentang berita kemasukan tentera Islam di selatan, beliau telah mengarahkan tenteranya seramai lebih kurang 100,000 orang untuk menghalang kemasukan tentera Muslim tersebut. Bagi memantapkan lagi pasukan ketenteraannya dan melancarkan ekspedisi ketenteraan agar tentera-tenteranya tidak gentar berhadapan dengan musuh dan membolehkannya berhadapan dengan Raja Roderick, Tariq Ibn Ziyad meminta pasukan ketenteraan tambahan yang juga dikatakan dari puak dan suku kaum Babar dari Musa Ibn Nusair. Kemudiannya seramai 5000 orang lagi tentera dari Musa Ibn Nusair berjaya disalurkan kepada Tariq Ibn Ziyad.
Roderick membawa tenteranya menuju ke Cordoba bertujuan untuk menyerang Tariq. Sebaik sampai berhampiran dengan kawasan pasukan Tariq, Roderick memilih salah seorang dari para pengikutnya yang teruji keberanian dan mempunyai pengalaman luas dalam urusan dan muslihat peperangan. Roderick memerintahkan orang tersebut untuk pergi mendekati khemah pasukan Tariq dengan cara menyamar untuk mengamati semua gerak-geri pasukan ini hingga boleh melaporkan kepadanya jumlah, penampilan dan kekuatan pasukan para musuh itu secara umum. Pasukan tentera Islam bertempur dengan tentera Roderick di Wadi Lakkah yang berhampiran dengan Medina Sidonoa dalam wilayah Cadiz pada Ramadhan 92 H/ 711 M selama lapan hari. Islam mencapai kemenangan yang besar. Pasukan Tariq Ibn Ziyad yang berhasil mengalahkan Raja Roderick yang tewas dalam pertempuran tersebut.
Dengan pidato ini, para tenteranya tiada pilihan lain selain berjuang untuk agama. Malah dalam pidatonya Thariq Ibn Ziyad berjaya menyemarakkan semangat orang Islam untuk terus berjuang tanpa perasaan berbelah bahagi, iaitu berani untuk berjihad di jalan Allah. Maka tidak ada jalan lain untuk kamu selamat kecuali mengkehendaki kamu berjuang habis-habisan agar kemenangan berpihak kepada pasukan kita. Selepas mendengar amanah daripada pemimpin mereka yang berani, bijak dan beriman kepada Allah itu, maka maralah tentera Islam mengempur tentera Roderick. Akhirnya pada 19 Julai 711, berlakulah pertempuran yang hebat sekali di Kuala Sungai Barbate (Salado) di mana tentera Islam mendapat kemenangan yang cemerlang. Tariq sendiri berjaya membunuh Roderick dengan pedangnya menyebabkan seluruh angkatan perang musuh itu lari bertempiaran melarikan diri.

Kemenangan yang cemerlang ini memberi dorongan yang kuat kepada Tariq untuk meneruskan perjuangannya. Beliau mara dengan penuh semangat menawan wilayah demi wilayah dan kota-kota kerajaan Visigoth di negeri Sepanyol pada waktu itu. Cara ini ternyata berjaya kerana pasukan tentera muslim di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad mampu mengalahkan pasukan Roderick walaupun jumlah tenteranya dua kali ganda lebih sedikit daripada jumlah bilangan pasukan tentera Raja Roderick. Hal ini secara tidak langsung memberi gambaran awal kepada kita bahawa bilangan tentera yang ramai tidak akan menjamin kemenangan tetapi bergantung kepada kewibawaan ketua yang akan menguruskan pasukannya dan strategi serta taktik yang digunakan adalah bijak dan berkesan.
Seterusnya Tariq berhadapan dengan 25,000 orang tentera berhampiran sungai Barbaret di bawah pimpinan Bishop Oppas, yang merupakan saudara Witiza. Tariq Ibn Ziyad melakukan beberapa taktik agar pasukan tenteranya tidak gentar menghadapi musuh yang dua kali ganda bilangan tenteranya. Tariq menggunakan taktik yang tersendiri yang secara tidak langsung menggambarkan kewibawaan dan kebijaksanaan Tariq Ibn Ziyad sebagai mengetuai angkatan tenteranya dalam menguruskan serta mentadbir angkatan tenteranya yang merupakan antara sebab yang membawa kepada kejayaan dalam mencapai misi selain daripada memiliki angkatan tentera yang berdisiplin.

3.2.3 MEMBUKA KOTA ISLAM DAN MELUASKAN WILAYAH ISLAM.
Setelah kemenangan ini Tariq Ibn Ziyad dan tenteranya bergerak ke Euja dan berjaya menduduki kota tersebut. Seterusnya dengan bantuan pasukan berkuda, Tariq kemudiannya menyerang kota dan seterusnya menawan Cordova (Qurtubah) setelah hanya mampu bertahan dua bulan. Cordova kemudiannya dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan Islam di Sepanyol. Archidona dan Elvira juga berjaya ditawan. Tentera Islam juga berjaya menawan Guadalajara dan Toledo (Tulaitulah) pusat pemerintahan Visigoth yang bersebelahan dengan Perancis. Tariq Ibn Ziyad juga berjaya menawan malaga, Granada dan Murcia (Tudmir) yang tidak memberi apa-apa penentangan.
Dengan demikian, Tariq yang hanya pada awalnya hanya menjadi sebagai seorang pemimpin tentera biasa telah menjadi pemimpin agung wilayah yang baru dibukanya. Hal ini menjadikan kemenangan tersebut sebagai modal atau platform baginya untuk menakluki kota lain. Keadaan ini membolehkan satu persatu kota di semenanjung itu berjaya dikuasai dan diduduki oleh pasukan Tariq Ibn Ziyad. Antaranya seperti Elvira, Granada, Cordoba dan Malaga, Archedona dan akhirnya Toledo yang merupakan ibu kota Visigoth. Dikatakan antara musim sejuk sehingga musim panas pada tahun 711, pasukan muslim Umaiyyah di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad mampu menguasai separuh daripada wilayah Andalusia.
Penaklukan orang Islam ke Andalusia menambah-luaskan lagi jajahan Islam ke luar dari dua benua ini dan berjaya bertapak di benua yang baru iaitu Eropah. Pemerintahan Islam mampu bertapak di benua Eropah ini agak lama iaitu bermula dengan kedatangan Tariq Ibn Ziyad pada 92 H/711 M sehinggalah kejatuhan kerajaan Bani al-Ahmar pada 897 H/1492 M. Keberadaan pemerintahan Islam di sini telah membina tamadunnya yang memberi faedah kepada banyak negara-negara lain termasuk negara Eropah sendiri. Negara Eropah telah banyak mengambil faedah daripada ketinggian bidang intelektual dan ilmu pendidikan di Andalusia. Sebahagian besar daerah di kawasan sekitar Andalus menyerah kepada kaum Muslim tanpa melalui peperangan. Keadaan ini dapat menjadikan Sepanyol sebagai sebahagian dari kawasan Arab Muslim.

3.3 PEMECATAN TARIQ IBN ZIYAD.
Setelah berjuang bermati-matian dalam melancarkan misi menakluki Sepanyol, bukan penghargaan yang diterima oleh Tariq Ibn Ziyad melainkan pemecatan oleh Musa Ibn Nusair. Tariq Ibn Ziyad dipecat sebagai panglima dengan alasan yang tidak munasabah iaitu dikatakan tidak taat terhadap perintah Musa Ibn Nusair. Hal ini kerana Tariq Ibn Ziyad dihukum kerana ketika diperintahkan untuk menghentikan serangan, Tariq Ibn Ziyad tidak mentaati perintahnya itu. Tetapi sebenarnya, hal ini terjadi adalah ekoran daripada perasaan iri hati dan dengki wujud dalam diri Musa Ibn Nusair itu sendiri di atas kejayaan yang dicapai oleh Tariq Ibn Ziyad.
Namun keadaan ini tidaklah sehingga mengganggu proses penaklukan Sepanyol yang seterusnya. Namun sebelum proses penaklukan Sepanyol lagi dikatakan bahawa di antara Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair kononya telah terjadi persaingan. Tetapi fenomena ini tidaklah sampai membawa kepada keadaan permusuhan. Tariq Ibn Ziyad dikatakan tetap menghormati Musa Ibn Nusair sebagai orang atasannya. Peristiwa pemecatan Tariq Ibn Ziyad akhirnya dapat diketahui oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik atau Al-Walid I (86 H/705 M hingga 97 H/715 M). Baginda memanggil keduanya pulang ke Damaskus dan menghentikan penaklukan dan perluasaan kuasa seterusnya. Khalifah Al-Walid nampaknya memberi lebih penghargaan kepada Tariq Ibn Ziyad berbanding dengan Musa Ibn Nusair.
Bagi menunjukkan kemenangan yang gemilang yang berjaya dicapai oleh Musa Ibn Nusair, beliau mempersembahkan berupa puteri-puteri dan budak-budak tawanan perang berserta barangan yang berharga. Musa Ibn Nusair juga mempersembahkan berupa meja antik ke hadapan Khalifah Al-Walid sebagai hadiah persembahan. Tetapi malangnya, meja antik itu dikatakan kakinya telah hilang. Tetapi pada waktu itu tampil Tariq Ibn Ziyad menyerahkan kaki meja yang hilang itu. Sebenarnya, meja antik dan sebahagian daripada barangan rampasan malahan sebahagian daripada kejayaan penaklukan sememangnya tidak dapat dinafikan adalah turut berhubung dengan sumbangan dan peranan yang dimainka oleh Tariq Ibn Ziyad selain daripada peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh Musa ibn Nusair. Setelah Khalifah Al-Walid wafat dengan anaknya Sulaiman sebagai pengganti baginda, nama Tariq seakan-akan tenggelam dan sejak dari hari tersebut tidak diketahui lagi hal berkaitan dengan Tariq Ibn Ziyad. Beliau dikatakan wafat pada tahun 720.

4.0 MUSA IBN NUSAIR.
4.1 LATAR BELAKANG
Nama sebenarnya ialah Musa Ibn Nusair Ibn Abdul Rahman Ibn Ziyad al-Lakhmi atau begelar Abu Abdul Rahman. Beliau merupakan seorang gabenor Dinasti Umayyah di Afrika Utara. Pada peringkat awalnya hanya bertugas sebagai pemungut cukai tanah di Basrah pada zaman Khalifah Abdul Malik Ibn Marwan. Bapanya termasuk pengawal terdekat Muawiyah bin Abi Sufiyan. Dilahirkan pada tahun 640 M/19 H di sebuah desa bernama Kafr Mitsri. Beliau menderita cacat badan dan berkaki pincang. Pada awalnya beliau merupakan hamba abdi yang telah dimerdekakan oleh Abdul Aziz bin Marwan. Musa Ibn Nusair pernah diberi jawatan oleh Walid bin Abdul Malik (al-walid I) sebagai pengumpul pajak di Basrah. Beliau telah dituduh melakukan penggelapan dan dipecat oleh ketua kewangan negara, Hajjaj bin Yusuf dan akan dikenakan hukuman. Beliau telah melarikan diri ke Mesir untuk meminta perlindungan daripada bekas tuannya Abdul Aziz bin Marwan, gabenor Mesir yang masih termasuk keluarga Khalifah. Kemudian, beliau telah dibawa ke Suriah. Pada tahun 79H/698 M beliau diangkat dan diberi jawatan sebagai gabenor di Afrika utara (Tunisia) oleh Abdul Aziz bin Marwan. Sepanjang beliau menjadi Gabenor kepada al-Walid bin Abdul Malik (86-96 H/705-715M), khalifah keenam kerajaan Bani Umayyah. Kemudian Musa dilantik menjadi Gabenor Ifriqiyah untuk menggantikan Hassan Ibn Nu’man pada tahun 79 H / 698M. Sejak daripada itu beliau telah bergiat aktif dengan kegiatan penaklukan termasuk terlibat dengan penaklukan Afrika Utara dan Andalus. Gabenor Musa Ibn Nusair ini juga lebih dikenali dengan panggilan Raja Qairawan.

4.2 PERANAN
Musa Ibn Nusair adalah nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat di Afrika Utara. Ini adalah kerana beliau mempunyai peranan yang besar dalam meluaskan wilayah di Afrika Utara. Selepas menjadikan Mesir sebuah negara Islam, Musa Ibn Nusair mengetuai angkatan menuju ke utara Afrika dan di sana beliau sempat menguatkan tenteranya. Musa Ibn Nusair dengan angkatan perangnya menyerang orang barbar dari suku Zaghwan dan Sajuma, setelah itu Hawwarah, al-Zanatah dan Kutamah dan berjaya menundukkan mereka serta dapat menyebarkan agama Islam sehingga ke seluruh negeri Maghribi (morocco). Dengan pertolongan mereka ini, Musa terus maju ke bahagian barat hingga sampai ke Tangier dan Sus. Dengan kejayan cemerlang Musa ibn Nusair dan Tariq ibn Ziyad itu, maka ramailah penduduk negeri utara Afrika itu memeluk agama Islam. Musa Ibn Nusair meneruskan perjuangannya di negeri Maghribi hingga tiba ke pantai Lautan Atlantik dan telah berjaya menghapuskan pengaruh kerajaan Byzantine di kawasan itu kecuali bandar Ceuta. Di samping kemenangan dalam peperangan, Musa Ibn Nusair turut mencapai kemenangan dalam menyebarkan agama Islam. Orang barbar mula memeluk agama Islam dan mereka mula membaca Al-quran. Dari semenjak 90 H lagi, seluruh negeri Utara Afrika tunduk di bawah pemerintahan orang Arab dan Nama Musa Ibn Nusair terkenal mashyur di seluruh kawasan itu.
Pemerintahan Islam dapat menguasai sepenuhnya Afrika Utara ialah setelah kejayaan ekspedisi penaklukan Islam yang dilakukan oleh Musa Ibn Nusair yang menjadi gabenor kepada Al-Walid bin Abdul Malik (86-96 H/705-715 M), khalifah keenam kerajaan Bani Umayyah. Hal-hal yang berlaku di Andalus telah memberi peluang baik kepada Musa Ibn Nusair untuk menjalankan tindakan dan penaklukan ke atas negeri Sepanyol. Lantas beliau meminta kebenaran daripada Khalifah al-Walid bin Abdul Malik di Damsyik. Setelah mendapat kebenaran tersebut, beliau memerintahkan Panglima Tariq Ibn Ziyad mengepalai tentera Islam untuk melakukan proses perluasan dan penaklukan. Kejayaan Tariq Ibn Ziyad dalam menakluki beberapa kawasan di benua Eropah telah memberi perangsang kepada Musa Ibn Nusair untuk turut menakluki Andalus untuk membantu Tariq Ibn Ziyad menakluki kawasan-kawasan yang belum ditakluki oleh Tariq Ibn Ziyad.

4.2.1 MENGETUAI EKSPEDISI KETENTERAAN
Musa Ibn Nusair sentiasa mencari peluang dalam meluaskan wilayah Islam terutamanya ke Eropah. Peristiwa-peristiwa dan masalah yang berlaku di Andalusia digunakan sebaik mungkin oleh musa untuk menjadikan alasan tersebut sebagai sebab untuk masuk campur dan keadaan ini mempercepatkan dan secara tidak langsung mempermudahkan lagi urusan penaklukan dijalankan. Dengan alasan tersebut juga, Musa Ibn Nusair telah meghantar Tariq Ibn Ziyad untuk memulakan penaklukan ke atas Andalus. Kejayaan cemerlang Tariq telah menaikkan semangat Musa Ibn Nusair untuk turut menyertai ekspedisi bagi meluaskan wilayah Islam di Andalus.
Musa Ibn Nusair menyambung kembali penjelajahan dan penerokaan di Afrika pada 86 H untuk meneruskan penerokaan yang dilakukan oleh Hassan bin Nu’man. Keadaan ini yang membolehkan beliau menguasai sepenuhnya wilayah yang sekarang dikenali sebagai Maroko. Pada masa yang sama, suku-suku kaum Barbar pada akhirnya memeluk agama Islam. Hal ini secara tidak langsung menjadi alasan dan menandakan penempatan kekuasaan penuh bangsa Arab di wilayah-wilayah pesisr utara Afrika.
Sebaik dilantik menjadi gabenor di Afrika Utara, Musa bertindak menguatkan angkatan tentera dan membahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melancarkan kegiatan penaklukan dan perluasan kuasa dan menyebarkan Islam. Sebagai contohnya anak Musa sendiri iaitu Abdullah bin Musa dikirim ke Pulau Majorca mengepalai satu pasukan muslim. Abdullah bin Musa kembali dengan membawa beberapa tawanan perang dan harta rampasa perang ( barang-barang ghanimah ). Anak Musa yang lain iaitu Marwan bin Musa pula dihantar ke daerah Sous ( Aljazair ). Manakal Musa sendiri bergerak dengan pasukan pimpinanya menuju ke Zaqwan, lebih kurang 50 KM sebelah Utara Turnisia. Musa Ibn Nusair berjaya menguasai Zaqwan dari sisa-sisa kekuasaan barber. Dari sinilah Musa melanjutkan operasi ketenteraan ke Sejuma, Thunba dan Sergemi ( sebuah kota dekat Fez yang sekarang dikenali sebagai Yergimi ). Kemudiannya Musa bergerak ke arau utara dan akhirnya sampailah ke Tanjah.
Setelah operasi ketenteraannya berhasil di Afrika Utara bahagian Barat, Musa Ibn Nusair bergerak pula ke bahagian selatan. Pada bulan Jun 712, Musa Ibn Nusair dengan bantuan yang disalurkan oleh Julian mengepalai pasukan tentera yang besar iaitu bersama 18,000 orang tentera Arab dan Barbar menuju ke Sepanyol untuk turut melibatkan diri dalam melakukan ekspedisi ketenteraan. Musa berjaya menduduki kota-kota yang belum disentuh oleh Tariq. Musa telah mengirimkan utusan terlebih dahulu memberitahu kepada Tariq supaya jangan terlebih dahulu meneruskan kemaraannya sehingga pasukannya sampai serta mengarahkan Tariq menunggunya di Cordova. Namun Tariq tetap meneruskan penaklukannya. Beliau sampai di Algeciras dengan panduan Julian pada 93 H/712 M dan mara ke Medina Sidonia, Carmona, Beja dan Serville. Kota Servelle ialah satu kota yang terbesar yang menjadi pusat intelek Sepanyol. Kota ini pernah menjadi ibu kota dalam zaman Romawi. Namun ia berjaya juga ditakluki oleh Musa pada akhir bulan Jun Tahun 713 setelah berlaku perlawanan yang hebat dan kepungan yang panjang masanya. Melalui sungai Guadiana, beliau berjaya menawan Merida dan bandar-bandar kecil berhampiran. Musa Ibn Nusair dan Tariq Ibn Ziyad kemudiannya bertemu di Toledo.
Selain daripada pernyataan ini, terdapat sumber yang mengatakan angkatan tentera yang dikepalai oleh Musa Ibn Nusair telah merentasi selat Gibraltar dan terus mara ke Seville. salah sebuah bandar penting Andalus yang cantik. Semasa berada di bawah kekuasaan visigoth Toledo telah dijadikan sebagai ibu negara. Bandar Seville ini mempunyai pertahanan yang kukuh menyebabkan beberapa bulan lamanya bandar ini dikepung hinggalah pada akhirnya dapat ditakluki. Setelah berjaya menawan Seville dan kawasan-kawasan sekitarnya, Musa mara pula ke Merida. Ketika berada di Merida, terdapat angkatan tentera Visigoth yang cuba bertahan di situ. Tetapi akhirnya pada bulan Jun 712 M. Tentera-tentera Visigoth telah menyerah kalah.
Akibat dari kebimbangan khalifah al-Walid tentang kegiatan penaklukan yang dilakukan oleh Musa Ibn Nusair yang semakin jauh dari Damsyik dan afrika Utara sendiri. Pada mulanya Khalifah al-Walid telah menghantar Mugith al-Rumi dan Ali Ibn rabi’ah untuk membawa perutusan menjemput Musa dan Tariq Ibn Ziyad pulang. Disebabkan Musa sedang sibuk untuk menyempurnakan ekspedisi penaklukkannya, beliau menangguhkan dulu permintaan khalifah untuk pulang.
Pada tahun 95 H/716 M, Musa Ibn Nusair kembali ke Damsyik setelah melantik anaknya Abdullah sebagai Gabenor Afrika. Manakala anaknya Abdul Aziz di Andalusia dan Abdul Malik di Tanjah. Akibatnya, setelah Khalifah Sulayman menaiki takhta dengan menggantikan Khalifah al-Walid, baginda telah memenjarakan Musa Ibn Nusair dan anak-anaknya diperintah bunuh. Musa Ibn Nusair dipenjarakan oleh Khalifah Sulayman kerana tidak mahu menurut perintahnya menyerahkan harta rampasan perang. Apabila Yazid bin Muhallab dilantik sebagai gabenor Afrika Utara, beliau telah mengingatkan khalifah Sulayman akan jasa-jasa Musa yang telah berjaya menguasai Andalus. Khalifah Sulayman memaafkan Musa Ibn Nusair. Khalifah Sulayman sebelum ini telah membuat tuntutan sebanyak 100,000 dinar daripada Musa Ibn Nusair, tetapi gagal dijelaskan. Musa terpaksa hidup dalam penjara. Musa dikatakan mati di dalam penjara.



5.0 KERJASAMA TARIQ IBN ZIYAD DAN MUSA IBN NUSAIR
Ekspedisi ketenteraan yang dilancarkan oleh dua orang tokoh penting iaitu Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair yang membawa kepada pembukaan dan seterusnya penempatan peradaban Islam di benua Eropah pada awalnya dilakukan secara berasingan iaitu kedua-duanya melalui jalan yang berasingan. Tetapi kemudiannya mereka bertemu di Toledo. Bermula dari situlah mereka berkerjasama melakukan ekspedisis ketenteraan yang mampu menawan beberapa kota di sekitar Andalus dan benua Eropah.
Ketika pertemuan antara Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair di Toledo, terdapat banyak pernyataan tentangnya. Di Toledo, Musa bersama Tariq menghabiskan musim sejuk di sini dan mengatur strategi seterusnya dengan berggabung tenaga untuk menakluki daerah-daerah lain yang belum ditakluki oleh orang Islam. Selain itu juga, ada pendapat yang mengatakan Musa telah mengecam Tariq kerana tidah mematuhi arahannya untuk tidak meneruskan penaklukan sehinggalah beliau datang. Malah, Musa telah memukul Tariq dengan cemeti dan menuntutnya supaya menyerahkan semua harta yang didapati dalam masa menjalankan penaklukan. Beliau berkata kepada Tariq, ’bawa kepadaku semua barang rampasan yang kau ambil dan semua harta karun yang kau temukan’, dan Tariq mematuhi perintah ini serta membawakan semua semua yang telah dirampasnya termasuk meja Sulayman, tetapi meja ini hanya berkaki dua kerana terlebih dahulu kaki ketiganya telah terlebih dahulu diambilnya dan disembunyikan. Hal ini dikatakan kerana beliau telah mengetahui apa yang akan berlaku. Musa mengambil alih pemilikan semua harta karun yang tak ternilai banyaknya tanpa berterima kasih kepada Tariq Ibn Ziyad yang pertama kali mendapatkannya. Tentang mejanya yang diperbuat dari batu zamrud asli namun kurang satu kaki. Melihat keadaan meja tersebut, Musa telah bertanya kepada Tariq apa maknanya semua itu, Tariq menjelaskan bahawa meja itu memang berkeadaan sedemikian sebagaimana ketika beliau menemuinya. Musa percaya dengan kata-kata Tariq dan memerintahkan agar ditempa sebuah kaki tambahan dari emas dan dipasang pada meja itu sebagai ganti kaki meja yang hilang. Tidak memadai dengan itu, Musa turut memenjarakan Tariq ibn Ziyad. semua ini ialah untuk melepaskan rasa dendam dan sakit hatinya. Namun sepanjang berada di dalam penjara Tariq berjaya berhubung dengan Khalifah Al-Walid. Tariq telah mengadu kepada Khalifah tentang apa yang telah dilakukan oleh Musa, lalu khalifah telah mengeluarkan perintah kepada Musa supaya membebaskan Tariq dan dikembalikan jawatannya.
Dikatakan bahawa Tariq Ibn Ziyad menyerahkan semua kekuasaan dan kepimpinan kepada Musa Ibn Nusair di sebuah kota kecil iaitu Talavera.
Permasalahan ini tidaklah sampai menggangu proses penaklukan yang seterusnya. Malah mereka kemudiannya berjaya menawan Saragossa tanpa menghadapi banyak tentangan. Mereka kemudiannya terus mara dan membuka daerah-daerah Huesca, Lerida dan Tarragona. Mereka kemudiannya berpecah dan meneruskan gerakan ke Utara semenanjung Iberia iaitu daerah banjaran Gunung Pyreness. Tariq Ibn Ziyad kemudiannya berjaya menakluki Amaya, Astora dan Leon. Manakala Musa Ibn Nusair tidak kurang hebatnya apabila berjaya pula menawan Alava, Castilla, Asturias dan Gijon.
Ketika kedua pemimpin tentera ini sibuk dengan gerakan penawanan negara kristian itu, mereka dipanggil pulang oleh Khalifah al-Walid Ibn Abdul Malik di Damsyik. Mereka dipanggil pulang kerana khalifah bimbang keselamatan para tentera Islam di sana. Ini kerana penaklukan yang dilakukan oleh Musa Ibn Nusair dan Tariq Ibn Ziyad telah amat jauh dari Damsyik dan afrika Utara sendiri. Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini maka amat sukar khalifah memberi bantuan kepada mereka. Lebih-lebih lagi mereka telah dikelilingi oleh negara-negara kristian yang lain seperti Perancis dan Itali. Musa sendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menakluki Perancis, Itali, Constantionople, Yugoslavia, Bulgaria dan Turki dengan tujuan untuk membuka laluan perdagangan dari Damsyik ke Eropah melalui Constantinople dan Asia Minor. Perkara inilah yang dibimbangi oleh khalifah al-Walid.
Sebenarya Musa tidak berpuas hati dengan penaklukannya di Spain itu sahaja malah berazam hendak meneruskan lagi penaklukannya hingga ke selatan negeri Perancis, dengan harapan akan mara ke arah sebelah Timur menuju ke constantinople (Istanbul) yang sebelumnya pernah dicuba oleh pejuang-pejuang Islam untuk menaklukinya tetapi tidak berjaya. Musa sendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menakluki Perancis, Itali, Constantinople, Yugoslavia, Bulgaria dan Turki dengan tujuan untuk membuka laluan perdagangan dari Damsyik Tujuannya ialah untuk menjadikan seluruh negeri yang ditaklukinya itu bersambung terus dengan ibu negara Islam di Damsyik pada masa itu, dan dengan itu menjadikan seluruh laut Mediteranean dikuasai oleh orang Arab.
Apabila berita itu tiba kepada khalifah, lalu diperintahkan Musa dan Tariq kembali mengadapnya dan diperintahkan berhenti daripada meneruskan rancangannya itu kerana pada pendapatnya rancangan itu akan membahayakan orang Islam. Ini kerana mereka dikelilingi oleh negara-negara kristian yang lain seperti Perancis dan Itali. Cita-cita Musa ini telah menyebabkan khalifah al-Walid menjadi bimbang. Pada mulanya khalifah al-Walid telah menghantar Mugith al-Rumi dan Ali Ibn Rabi’ah untuk membawa perutusan menjemput Musa dan Tariq pulang. Tetapi disebabkan Musa sedang sibuk untuk menyempurnakan ekspedisi penaklukannya, beliau menangguhkan dulu permintaan khalifah untuk pulang. Pada 95H/ 716M, Musa pun berangkat ke Damsyik dan dilantik anaknya Abdullah sebagai Gabenor dan pemerintah di wilayah Afrika. Manakala anaknya Abdul Aziz di Andalusia dan Abdul Malik di Tanjah.
Terdapat perselisihan pendapat tentang sejarawan mengenai masa Musa sampai Damsyik, ada yang mengatakan beliau sampai apabila khalifah al-Walid sedang sakit tenat. Ada pula yang mengatakan bahawa beliau sampai selepas Kahalifah al-Walid meninggal dunia dan Khalifah Sulayman berkuasa. Musa meninggalkan Andalusia membawa Tariq. Setelah menyeberang kembali ke Afrika, beliau berhenti sebentar dan meneruskan perjalanan ke Damaskus iaitu pusat pemerintahan pemimpin kaum mukmin, Al-Walid, khalifah yang berkuasa. Beliau membawa bersamanya semua barang rampasa perang yang diperoleh di Andalusia yang terdiri daripada tiga puluh kantung wang emas dan perak, kalung-kalung yang tidak ternilai harganya, mutiara-mutiara, batu-batu delima, topas, dan zamrud. Di samping itu segala jenis jubah-jubah yang mahal dan pengikutnya adalah seribu seratus orang tawanan perang tawanan yang terdiri daripada lelaki, perempuan dan juga kanak-kanak dengan empat ratus daripadanya adalah lelaki berdarah nigrat.
Tidak jauh dari Damascus, Musa mendapat maklumat bahawa Al-Walid sedang sakit tenat. Dan tidak mempunyai harapan untuk hidup. Musa juga telah menerima sepucuk surat daripada saudara lelaki sekaligus pewaris al-Walid. Sulayman yang memohon Musa menunda keberangkatannya pulang ke Damascus. Namun Musa tidak mengendahkan arahan itu dan mempercepatkan langkahnya untuk pulang ke Damascus bersama rombongannya sebelum kematian Al-walid dengan niat untuk menyerahkan harta rampasan. Namun Musa tidak sempat untuk menyerahkan harta rampasan tersebut disebabkan aL-Walid terlebih dahulu meninggal dunia. Namun ada pendapat menyatakan bahawa Musa Ibn Nusair sempat berjumpa dengan khalifah Al-Walid dan sempat menyerahkan harta rampasan kepada khalifah Al-Walid. Ketika Musa tiba di Damsyik pada 95H/716M, beliau tidak dibenarkan menghadap khalifah Al-Walid yang sedang sakit tenat ketika itu oleh adiknya Sulayman ibn Abdul Malik. Sulayman berhasrat untuk membolot harta yang dibawa oleh Musa namun Musa enggan menyerahkan harta tersebut sehingga beliau bertemu dengan Khalifah al-Walid. Namun, tidak lama kemudian, khalifah wafat dan Sulayman telah menggantikan tempat beliau.

6.0 KESINAMBUNGAN OLEH ABDUL AZIZ BIN MUSA
Musa telah melantik anaknya, Abdul Aziz untuk menjadi gabenor di Andalus untuk menggantikannya. Abdul Aziz meneruskan ekspedisi menawan Pamploa, Barcelona, Gerrona dan Narbonne manakala di bahagian tenggara hingga Malaga dan Elvira pada tahun 94H/715M. Abdul Aziz Bin Musa yang memerintah Andalus menggantikan bapanya telah menjalankan pemerintahanya dengan teratur dan licin. Sebuah majlis khas telah dibentuk unutk membantu pemerintahannya dalam perkara mengenai syariat dan majlis itu juga memberi nasihat kepada khalifah menurut keadaan rakyat negeri.
Abdul Aziz telah mengambil berat tentang kemajuan pertanian dan kemudahan perhubungan dalam negeri. Di samping itu pula dia mengurangkan cukai daripada rakyat yang lama menderita di bawah pemerintahan yang terdahulu daripadanya. Dia menjalankan dasar sama rata antara semua lapisan rakyat, tidak kira agama dan keturunan dan memberi jaminan kepada orang ramai terhadap agama, harta benda, jiwa dan kebebasan mereka. Di samping menggalakkan orang berkahwin dengan orang Andalus dan dia sendiri beristerikan janda Roderic dan kekal dengan agama asalnya. Perbuatan Abdul Aziz Bin Musa mencuba melayani kehendak orang kristian itu menimbulkan kebencian terutama di kalangan musuhnya. Mereka menyampaikan berita jahat kepada khalifah untuk memburuk-burukkan Abdul Aziz. Khalifah yang sememangnya curiga terhadap Abdul Aziz itu mengapi-apikan berita itu kepada askar di Andalus menyebabkan mereka memandang Abdul Aziz seorang yang tidak digemari lalu mereka membunuhnya.
Abdul Aziz bin Musa sempat menjalankan pemerintahan di negeri itu selama dua tahun sahaja. Askar tersebut menggantikan tempat pemerintah yang dibunuh itu dengan melantik Abu Ayyub bin Habib anak saudara kepada Musa Ibn Nusair. Ia menjalankan pemerintahannya dengan adil tetapi tidak lama kemudian dipecat pula kerana perlantikannya itu tidak dipersetujui oleh pemerintah negeri Afrika Utara pada masa itu yang berhak campur tangan dalam urusan melantik pemerintah Andalus. Tempatnya digantikan oleh Al-Hurr bin Abdul-Rahman Al-Thaqafi iaitu pada tahun ke 97 H. Bersamaan 717 M.
Pada 98H/719M, al-Samnh ibn Abdul Malik al-khawlani menjadi gabenor dan bersama-sama tentera Islam telah menakluki negeri-negeri berhampiran pergunungan Pyreness pada 113H/732M dan berjaya menakluki Septamania, Aquitania dan Tolouse pula dikepung tetapi al-Samnh mati ketika bertempur dengan Maharaja Aquitania, Eudos. Setelah itu gabenor-gabenor yang dilantik tidak dapat memberi apa-apa kejayaan dari segi penaklukan sehinggalah perlantikan Abdul Rahman al-Ghafiqi pada tahun 112H/731M. Nama beliau boleh dikatakan sinonim dengan peperangan Battle of Tours/Poitiers atau lebih dikenali sebagai Balat as-Syuhada.
Sebelum menyelusuri kisah Balat as-Syuhada ini, marilah kita mengenali dengan serba ringkas tentang kisah hidup Abdul Rahman Al-Ghafiqi. Nama sebenar beliau adalah Abu Said Abdul Rahman ibn Abdullah ibn Bashir ibn Sarem Al’Aki Al Ghafiqi. Beliau berasal dari kabilah Ghafiq di Yaman. Ketika zaman mudanya, beliau merantau ke Ifriqiya (Tunisia), kemudian ke Maghribi dimana dia mengenali gabenor-gabenor Andalusia. Di situlah bermulanya ketokohan beliau dalam sejarah Islam.
Pada tahun 721M (103H), beliau telah dilantik untuk menjaga kawasan Timur Andalus. Pada ketika itu, gabenor-gabenor Andalusia silih berganti kerana syahid di medan perang. Akhirnya, pada tahun 730M (112H), Khalifah Hisham ibn Al-Malik (Zaman Khilafah Ummaiyah) melantik beliau menjadi gabenor Andalusia. Dengan tanggungjawab yang diberikan, Abdul Rahman mula mengorak langkah untuk membebaskan tanah-tanah disekitar Andalusia daripada jahiliyyah. Dengan tentera dari pelbagai bangsa dan negara, seperti Yaman, Mesir, Palestin, Lubnan, Syria dan Turki, beliau mula memasuki Perancis dari Gaul ke Pergunungan Pyrenees, ke Bordeaux dan seterusnya ke Tours/Poitiers. Disinilah tentera Abdul Rahman bertembung dengan tentera Salib (Franks) yang diketuai oleh Charles Martel.
Peperangan ini berlangsung pada bulan Oktober 1732M (114H). Banyak yang tidak diketahui tentang peperangan ini, seperti jumlah sebenar tentera kedua belah pihak, di mana lokasi perang sebenar, dan berapa hari peperangan ini berlangsung. Tapi apa yang pasti ialah syahidnya Abdul Rahman al-Ghafiqi di medan perang yang membawa kepada kekalahan tentera Islam. Terdapat dua sebab utama iaitu ketika peperangan masih berlangsung, sebahagian besar tentera islam mula rambang mata melihat hasil rampasan perang. Melihat akan kekayaan dunia yang melimpah ruah, fokus mereka telah beralih dari peperangan kepada harta benda dunia. Abdul Rahman terpaksa mundar mandir dari medan peperangan ke kem tentera Islam menggesa tenteranya mengabaikan dahulu hasil rampasan perang itu dan meneruskan peperangan. Tidak ramai yang menyahut seruan Abdul Rahman, dan pada ketika itulah, diceritakan bahawa Abdul Rahman syahid dipanah pihak musuh. Kedua Setelah ketiadaan Abdul Rahman, jeneral-jeneral yang tinggal mula syura akan siapa yang akan menggantikan Abdul Rahman sebagai amir. Oleh kerana tentera Islam terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa, pertelingkahan berlaku tentang siapa yang patut menjadi amir. Masing-masing mahu orang dari bangsanya untuk menggantikan tempat Abdul Rahman. Pertelingkahan ini berterusan sehingga diceritakan bahawa sehingga keesokkan paginya, amir masih belum dilantik, lantas peperangan tidak dapat diteruskan.
Setelah menakluki kota Poiter, tentera Islam bertemu dengan tentera Charles Martel yang membawa kepada peperanga Tours pada tahun 113H/732M yang menyebabkan tentera Islam tewas dan Abdul Rahman terbunuh. Sejarah mencatat nama peperangan ini sebagai Balat al-Shuhada. Peperangan Tours ini amat penting dalam sejarah Islam kerana jika Islam menang, seluruh Eropah berada di tangan orang Islam kerana Charles Martel berkuasa di Eropah pada ketika itu. Beberapa gabenor selepas Abdul Rahman membuat bebrapa ekspedisi ke Perancis atau utara Andalus tetapi gagal lebih-lebih lagi wujud krisis dalaman seperti persaingan antara suku qays dan Kalb(yaman ).


7.0 KESIMPULAN
Penaklukan yang dilakukan oleh Musa ibn Nusair dan Tariq ibn Ziyad sememangnya telah membawa islam sehingga ke Eropah. Dari peristiwa penaklukan inilah membawa kejayaan bagi Bani Umayyah dalam meluaskan wilayah islam terutamanya di Andalusia. Penaklukan ini juga membawa kepada perkembangan agama Islam itu sendiri sehingga ramai penduduk di Andalus yang telah memeluk agama Islam dengan rela hati. Dalam jangka waktu yang singkat sahaja agama Islam telah tersebar luas di kalangan penduduk tempatan Andalus. Sikap toleransi pemerintah Islam serta pergaulan bebas di antara orang-orang Islam dengan Kristian Andalus dengan budaya Arab/Islam. Ramai orang kristian yang menukar nama mereka mengikut nama orang Arab, meniru resepi masakan, bentuk pakaian dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang menukar agama dengan memeluk Islam. Keadaan ini menjadikan bertambahnya bilangan umat Islam. Oleh itu, kedua-dua tokoh memainkan peranan yang penting untuk memulakan pengaliran tamadun Islam dari Timur ke Eropah.

0 Comments: