I made this widget at MyFlashFetish.com.

PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


AL-IMAM: PERINTIS PERSURATKHABARAN MELAYU

Sunday, November 15, 2009

BY MUHAMAD ALI BIN SAMSUDIN

Al-Imam merupakan sebuah majalah tulisan Jawi yang mula terbit pada awal abad ke-20. Majalah ini diterbitkan di Singapura sebanyak 31 keluaran iaitu bermula pada bulan Julai 1906 hingga bulan Disember 1908. (bulan Julai ada dua keluaran) Siapa sebenarnya di sebalik majalah Al-Imam? Jika diteliti dengan mendalam tokoh-tokoh Al-Imam sebenarnya bukanlah daripada golongan Melayu tulin. Terdapat empat tokoh utama yang bersungguh-sungguh menerbitkan majalah Al-Imam. Mereka ini merupakan tokoh reformis Islam yang membawa satu perubahan kepada bangsa Melayu yang sangat ‘layu’ ketika itu. Mereka ialah Sheikh Tahir Jalaludin , Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali.

Mengapa Al-Imam diterbitkan? Adakah hanya untuk mencanangkan tentang berita-berita sensasi? Tujuan sebenarnya Al-Imam ialah untuk mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu (orang Melayu).

Al-Imam sebagai perintis
Al-Imam telah membawa satu wadah perjuangan gerakan reformis Islam di negeri-negeri Melayu. Ramai sejarawan bersetuju bahawa gerakan Islah Islam yang berlaku di negeri-negeri Melayu pada tahun 1906 adalah melalui penerbitan majalah Al-Imam. Al-Imam bukan satu majalah biasa yang mengutarakan isu-isu yang remeh- temeh, tetapi merupakan satu alat untuk menyedarkan masyarakat Melayu yang alpa ketika itu. Justeru Al-Imam selayaknya digelar sebagai perintis persuratkhabaran Melayu. Untuk melihat sejauh mana Al-Imam memainkan peranan sebagai perintis, kita perlu melihat 2 perkara yang penting. Pertama ialah bagaimana Al-Imam memanipulasi isu yang diutarakan iaitu sejauh mana isu yang diutarakan mempengaruhi keseluruhan aspek kehidupan masyarakat dan sejauh mana Al-Imam memberi kesedaran masyarakat tentang masalah mereka.
Pada dasarnya perhatian Al-Imam adalah pada masalah agama. Namun seperti halnya pemikiran Jamaluddin Afgani dan Muhammad Abduh jurnal ini juga menyinggung masalah politik. Al-Imam dalam setiap terbitannya sentiasa menyebutkan sebab-sebab kemunduran umat Islam terutamanya bangsa Melayu, dan mengecam sifat-sifat bangsa Melayu yang terkebelakang, dijajah bangsa lain, pemalas, puas dengan dirinya sendiri dan suka berselisih. Menurut Abd. Aziz Mat Ton, Al-Imam memang menitikberatkan masalah sosial, ekonomi dan politik. Disini dapat disimpulkan bahawa perkara pokok yang cuba diketengahkan adalah mengenai kemunduran orang Melayu ketika itu dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.
Berdasarkan artikel dalam Al-Imam aspek utama kemunduran orang Melayu ialah ekonomi. Orang melayu memang amat tertinggal dalam bidang ekonomi walaupun tinggal dalam negeri sendiri. Kemunduran dalam ekonomi inilah telah meyebabkan mereka mundur dalam semua hal. Orang melayu mundur dalam bidang sosial, mereka juga mundur dalam bidang politik. Mengapa kemunduran ekonomi telah mempengaruhi kesemua aspek lain? Hal ini kerana kuasa ekonomi itu telah menjadi satu senjata yang cukup ampuh. Orang yang menguasai ekonomi adalah orang yang kuat seperti kaum penjajah dan kaum imigran. Tetapi orang Melayu boleh dikatakan menumpang ekonomi orang luar ini. Mereka menumpang kerana bergantung kepada golongan ini. Keruntuhan dalam bidang ini telah menyebabkan minda orang melayu tertutup, seterusnya mereka terus tertinggal dalam semua bidang. Al-Imam cuba mengupas semua masalah ini supaya dapat diatasi. Perkara sosial yang disentuh ialah pendidikan orang Melayu, kemajuan madrasah-madrasah, emansipasi wanita dan perpaduan orang Melayu. Dari awal lagi Al-Imam telah menekankan akan pentingnya pelajaran terutamanya pengetahuan mengenai ilmu sejarah yang menurutnya merupakan sebagai kunci untuk kesedaran dan kemajuan satu-satu bangsa.
Al-Imam memberikan banyak cadangan untuk memajukan pendidikan orang Melayu. Antaranya meminta kerajaan membina sebuah atau lebih sekolah pada tiap-tiap negeri untuk kegunaan anak negeri sahaja. Kerajaan juga mestilah membiayai sekolah-sekolah itu sepenuhnya iaitu gaji gurunya, belanja buku-buku dan keperluan sekolah yang lain. Al-Imam juga mencadangkan sistem sekolah ditukar kepada sistem yang lebih baik iaitu terdapat peringkat-peringkat sekolah yang memudahkan sistem pengajian.
Al-Imam juga menegur bangsa Melayu yang tidak mahu bersatu padu. Menurut Al-Imam apa yang menyebabkan mereka tidak bersatu padu ialah kejahilan mereka dalam memahami kehendak agama Islam yang sebenarnya, dan juga sikap orang Melayu sendiri yang suka sentiasa bergantung kepada usaha-usaha bangsa lain dalam kebanyakkan hal terutamanya mengenai ekonomi. Ini merupakan penyakit bangsa Melayu yang telah menyebabkan mereka tidak bersatu, hasad dengki, dan tamak.
Dari aspek politik pula, Al-Imam memang menyindir pihak penjajah British serta raja-raja dan pembesar Melayu. Mereka diingatkan untuk memelihara kepentingan orang Melayu. Hal ini berkaitan dengan masalah-masalah orang Melayu yang disebutkan tadi. Faktor lain yang menyebabkan melayu mundur ialah sikap raja dan pembesar Melayu yang tidak bertanggungjawab. Mereka hanya mementingkan pangkat dan wang sahaja sehinggakan mereka sanggup menjadi hamba penjajah. Al-Imam menegaskan bahawa, oleh kerana mereka meninggalkan tanggungjawab yang sebenarnya maka telah meninggalkan balak yang menimpa diatas kita dan mendatangkan beberapa tuduhan orang diatas umat kita.
Al-Imam dilihat menyalahkan kedua-dua pihak. Penjajah dikatakan salah kerana mereka hanya menjajah dan mengaut kesemua hasil negeri-negeri Melayu. Manakala raja-raja Melayu disalahkan kerana mereka ini bodoh. Mereka tidak mampu berfikir lebih tinggi sedikit pun daripada kanak-kanak kecil. Mengapa boleh berkata demikian? Hal ini mereka hanya mementingkan kesenangan mereka tanpa memikirkan keadaan rakyat. Mereka sanggup menggadai negeri sendiri seolah-oleh mereka ini tidak tahu membezakan buruk dan baik sesuatu perkara itu. Satu lagi saya ingin tambah ialah sikap raja Melayu yang dikatakan ’berjiwa rakyat’ itu tidak pernah tahu berkorban untuk negara. Yang mereka tahu ialah rakyat yang perlu berkorban untuk negara.
Al-Imam telah mengecam sikap raja Melayu yang begitu suka menggunakan kedudukannya. Menteri telah menggunakan kuasa mereka, kedudukan mereka dan kemudahan yang ada pada mereka dengan sewenang-wenangnya sehingga menganiayai rakyat sendiri. Rasuah pula sudah menjadi perkara biasa dan mereka tidak memikirkan akan akibatnya asalkan wang ringgit banyak saja jadinya. Kecaman Al-Imam mengenai rasuah ini walaupun nampaknya disampaikan secara lembut, sebenarnya kecaman itu adalah merupakan kritikan yang tajam lagi pedas keatas pemerintah Melayu dan secaratidak langsung kepada pihak British.
Seterusnya dalam kecaman-kecaman itu Al-Imam telah menyoal adakah raja-raja Melayu tidak sedar akan apa yang dilakukan oleh orang besar-besarnya serta menteri-menterinya yang semata-mata zalim dan kebanyakkannya a Moncery of Justice. Al-Imam menjelaskan bahawa oleh kerana raja-raja terlalu mewah hidupnya maka tidak sedar akan hal rakyat mereka sendiri, seolah-olah rakyat itu dianggap sebagai orang yang senang seperti mereka juga, padahal yang sebenar-benarnya adalah tidak sekali-kali. Tambahan pula tidak ada sungutan atau aduan daripada rakyat yang secara terus terang dan secara langsung. Lagipun mereka sengaja tidak mahu memahami keadaan sebenar hidup rakyat. Begitulah Al-Imam menggambarkan keadaan raja Melayu dan masyarakat Melayu ketika itu.
Semua yang dihuraikan diatas ialah antara perkara yang diutarakan oleh Al-Imam. Secara kritis, Al-Imam telah mengupas mengenai masalah orang Melayu. Akhbar ini merupakan akhbar melayu pertama yang mengandungi pemikiran yang menyeru kepada perubahan sosial dalam masyarakat dengan memasukkan unsur-unsur politik dalam tulisan yang diterbitkan. Keberanian Al-Imam juga terserlah apabila berani mempertikaikan peranan raja yang hanya pada nama itu sahaja. Berbeza dengan majalah Melayu yang terbit sebelum ini, tidak ada satu asas yang kukuh untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Terdapat banyak majalah dan surat khabar Melayu ang terbit sebelum Al-Imam. Dalam tempoh 30 ahun selepas 1876, terdapat tidak kurang daripada 16 buah surat khabar dan majalah dalam bahasa Melayu yang diterbitkan, tujuh buah di Singapura, lima buah di Pulai Pinang dan empat buah di Perak. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa akhbar lain sebelum Al-Imam memberi sumbangan, tetapi akhbar ini tidak boleh dikatakan perintis. Hal ini kerana isu yang diutarakan tidak memberi kesan yang mendalam kepada masyarakatnya. Al-Imam itu boleh diibaratkan cahaya. Dalam tahun 1906 apabila Al-Imam menuliskan 26 macam faedahnya surat khabar termasuk diantaranya:
Cahaya akal dan gemala fikiran...cermin bagi yang berlaku...dan
Pelayan segala hikmah dan pengingat bagi yang lalai... dan petunjuk
bagi yang sesat...dan penolong orang yang lemah dan penjaga
segala umat... dan permedanan bagi segala perbahathan....

Al-Imam dikatakan perintis kerana mempunyai pengaruh yang kuat kepada masyarakat. Dalam kontek ini pengaruh Al-Imam bukan sahaja terdapat di negeri-negeri Melayu, malah telah tersebar keseluruh Nusantara. Sambutan kepada seruan Al-Imam itu jelas dapat dilihat dari banyaknya wakil pengedar untuk menjadi langganan majalah tersebut. Malah sambutan tersebut memungkinkan Al-Imam di cetak di mabtaahnya sendiri iaitu tiga bulan selepas muncul jilid yang pertama. Melalui mabtaah ini juga Haji Abbas Mohd Taha menerbitkan bukunya yang pertama pada tahun 1906 yang berjudul Kitab Sempurnaan Pelajaran. Begitu juga dengan Syed Sheikh al-Hadi, bukunya Pemeliharaan dan Pelajaran diterbitkan melalui Al-Imam Printing Co. Ltd. Pada tahun 1908. Kesan daripada penerbitan Al-Imam adalah amat besar. Al-Imam mendorong kepada penulisan buku oleh pengarang Melayu. Sambutan hangat juga menunjukkan Al-Imam telah berjaya menyebarkan kritikan dan saranan kaum muda terhadap masyarakat Melayu.
Selain itu majalah atau akhbar sebelum Al-Imam tidak membincangkan masalah orang Melayu secara menyeluruh. Maknanya, masalah mengenai orang Melayu hanyalah dibicarakan secara luaran. Tetapi dalam Al-Imam masalah yang diutarakan ini meliputi semua aspek kehidupan masyarakat. Masyarakat perlu sedar tentang keadaan mereka sebenar. Mereka tidak boleh bergantung kepada orang lain semata-mata. Al-Imam berjaya menyampaikan mesej ini kepada masyarakat Melayu. Jadi inilah perintis yang dimaksudkan. Perintis yang memberikan sumbangan yang besar. Sumbangan yang terkesan dalam masyarakat.
Al-Imam terpaksa diberhentikan selepas 3 tahun iaitu Disember 1908. Tetapi semangat yang dibawakan oleh Al-Imam tidak padam begitu sahaja. Semangat yang dibawakan oleh Al-Imam diteruskan oleh pelopornya dalam beberapa akhbar lain seperti Neraca (1911-1915), al-Ikhwan (1926-1928), dan Saudara (1928-1940). Akhbar Neraca juga diterbitkan di Singapura dan Saudara diterbitkan di Pulau Pinang setelah Syed Sheikh berpindah kesana. Ketiadaan konkongan ketat daripada ulama tua yang wujud di negeri-negeri beraja membolehkan Kaum Muda bergerak bebas di jajahan selat. Walaupun nama Al-Imam telah mati, tetapi al-Imam tetap wujud. Apa yang dibawakan oleh Al-Imam diteruskan oleh akhbar yang terbit selepasnya. Al-Imam juga mempengaruhi tokoh pemikir Melayu seperti Za’ba. Za’ba mula terlibat secara serius dalam penulisan majalah mulai awal 1917. Melalui penulisanya Za’ba juga menggesa orang Melayu mengubah sikap dan tidak mempercayai tafsiran ulama-ulama tua yang menyatakan bahawa meniru orang kafir itu berdosa.
Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah Al-Imam adalah merupakan anak tangga pertama dalam gerakan nasionalis Melayu di negeri-negeri Melayu. Dan adalah kurang tepat kalau kita katakan bahawa skop perjuangannya hanya semata-mata terhad dalam bidang agama sahaja. Sebagai lidah rasmi gerakan nasionalis yang pertama, Al-Imam telah berjasa kerana memberi kesan yang besar dalam perkembangan pemikiran masyarakat Melayu. Al-Imam menjadi perintis kepada persuratkhabaran Melayu kerana Al-Imamlah majalah yang mengerakkan semangat perjuangan orang Melayu.

Konklusi
Timbul pula persoalan adakah akhbar aliran perdana pada hari ini boleh dikatakan berperanan seperti Al-Imam? Kita disajikan dengan perbagai akhbar seperti akhbar Berita Harian, utusan Melayu, Metro dan sebagainya. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat isu-isu yang diutarakan oleh surat khabar pada hari ini. Saya berpendapat jika kita hendak bandingkan antara majalah Al-Imam dan suratkhabar pada hari ini adalah bagai langit dan bumi.
Kita lihat intipati majalah Al-Imam itu dengan surat khabar hari ini. Al-Imam bertujuan menggerakkan gerakan reformis Islam yang dibawa oleh Kaum Muda. Tetapi surat khabar arus perdana pada hari ini lebih kepada alat kerajaan untuk kepentingan politik mereka. Kerajaan telah membeli surat khabar arus perdana pada hari ini. Jadi semua penulisan akhbar ini dikawal oleh kerajaan. Banyak berita yang dipaparkan hanya bertujuan memburukkan pihak pembangkang dan menyebarkan agenda kerajaan. Kuasa akhbar sebenarnya telah berpecah. Kebanyakkan akhbar harian (tidak termasuk akhbar Cina) dimiliki oleh ahli kumpulan yang rapat dengan parti politik yang memerintah, manakala akhbar kecil, bukan harian dimiliki oleh para pengusaha yang tidak semestinya menyokong parti yang memerintah. Hal ini termasuklah media elektronik. Penulis tidak boleh menulis dengan bebas. Sekiranya penulisannya didapati bertentangan dengan kerajaan, maka penulis terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Akhbar hari ini lebih banyak mengutarakan perkara remeh-temeh yang tidak mencambahkan pemikiran. Perkahwinan artis pun boleh dijadikan berita utama. Masyarakat banyak disajikan oleh berita hiburan. Banyak berita tentang jenayah dipaparkan. Sstiap hari ada sahaja berita tentang rompakan, rogol, rasuah dan banyak lagi. Berita tentang kemalangan juga memenuhi dada akhbar hari ini. Setiap hari ada sahaja tragedi yang meragut nyawa. Hal ini jauh berbeza dengan majalah Al-Imam. Selain mengutarakan tentang masalah orang Melayu, Al-Imam juga banyak menyiarkan tentang agama seperti cara untuk sembahyang dan masalah-masalah dalam beragama. Peranan Al-Imam itu lebih menyerlah berbanding akhbar pada hari ini.
Namun kita tidak boleh menyalahkan pihak Akhbar semata-mata. Pada hari ini pihak akhbar ingin bebas untuk menyatakan pendapatnya. Seboleh-boleh ia pun tidak mahu dikawal oleh kerajaan. Sejak awal merdeka lagi pendirian akhbar berbeza dengan pendirian kerajaan. Walaupun kerajaan mendakwa ia percaya kepada kebebasan akhbar tetapi kebebasan itu bermatlamat, iaitu untuk pembangunan negara, untuk menjaga keamanan, keselamatan dan sebagainya.

0 Comments: