I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


FAKTOR PENUBUHAN MALAYSIA

Sunday, November 15, 2009



“Lambat laut Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah terlalu awal untuk saya menyebut untuk cara persefahaman itu dapat dicapai, namun kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan supaya wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat”
Kenyataan ini merupakan titik permulaan bagi pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Hasrat ini telah dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961. Berdasarkan ucapan tersebut, menunjukkan ajakan itu bersifat halus dan tidak bersifat memaksa . Selain mendapat reaksi yang baik, cadangan penubuhan Malaysia juga turut mendapat reaksi yang kurang baik daripada sesetengah pihak yang mengandaikan bahawa penubuhan Malaysia adalah satu penjajahan bentuk baru iaitu neokolinialisme. Seorang penulis mengatakan bahawa inisiatif untuk rancangan tahun 1961 itu datang daripada kerajaan British. Hal ini menunjukkan penubuhan Malaysia bersangkut paut dengan kepentingan British. Apakah faktor yang menyebabkan perlunya penubuhan Malaysia dan kontrovesi yang berlaku akan dikupas dengan lebih lanjut lagi dalam penulisan ini.
POLITIK
Penubuhan Persekutuan Malaysia ini dilihat sebagai batu loncatan kepada Negara-negara tertentu seperti Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei untuk mendapatkan kemerdekaan. Sekiranya ditinjau, Singapura berstatus koloni British. Sementara, Sabah dan Sarawak adalah di bawah naungan atau tanah Jajahan British. Dalam akhbar the People, Singapore People Alliance melaporkan bahawa cara terbaik untuk merdeka ialah melalui penyertaan dalam Malaysia. Sokongan dari British juga jelas menunjukkan persetujuan mereka terhadap penubuhan Malaysia dan secara tidak langsung mudah bagi Singapura, Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan kemerdekaan. Buktinya akhbar The Times, 11 Februari 1988 menyebut “ a tidy solution of British responsibility…” iaitu melaui penubuhan Malaysia, penyelesaian yang cukup kemas dapat dilakukan terhadap tanggungjawab British di kawasan itu.
Faktor penubuhan Malaysia adalah membanteras pengaruh komunis di Tanah Melayu dan Singapura. Menurut Nordin Sopiee, faktor ancaman pengaruh komunis di Singapura menjadi faktor utama yang mendorong pergabungan antara kedua-dua negeri. Pada tahun 1963, kerajaan British telah merancang untuk meminda perlembagaan Singapura dan seterusnya mengadakan pilihan raya. Keadaan ini adalah amat merbahaya sekiranya pilihan raya tersebut dimenangi oleh parti berhaluan kiri Singapura. Hal ini kerana, kemungkinan penglebaran pengaruh komunis akan berlaku di Tanah Melayu daripada Singapura. Kebimbangan ini dapat dilihat dalam penulisan Simanjuntak yang menyatakan bahawa
“Singapura kemudiannya akan menjadi tapak yang kukuh bagi puak berhaluan kiri di mana kegiatan-kegiatan subversif yang berterusan dengan mudah dapat dilancarkan Tanah Melayu dan Wilayah-wilayah Borneo. Ahli-ahli politik Singapura yang condong ke kiri sudah tentu mengalu-alukan perwakilan diplomatik daripada negara-negara blok komunis dan akhirnya melakukan apa yang telah dilakukan oleh Rusia dan Cuba.”
Sekiranya keadaan ini berlaku akan berlakunya perpecahan di antara Tanah Melayu di utara dan Singapura di Selatan. Maka, hubungan Tanah Melayu dengan Singapura akan terjejas baik dari segi politik ataupun ekonomi. Keadaan ini sama dengan situasi Korea Utara dan Korea Selatan. Hal ini dapat disokong melalui kajian Simanjuntak yang menyatakan:
“Perkembangan sedemikian bukan sahaja mencetuskan persengketaan ideologi tetapi juga memutuskan suatu perjuangan bersenjata yang membinasakan antara selatan dan utara Malaya yang menyerupai corak Korea Utara dan Korea Selatan ataupun Vietnam Selatan dengan Vietnam Utara”.
Pengabungan dengan Tanah Melayu merupakan ‘kunci’ kepada Lee Kuan Yew dan partinya iaitu People Action Party (PAP) untuk menjamin kedudukan beliau dan partinya. Sejak tahun 1959, komunis telah merampas pucuk pimpinan PAP yang telah menguasai Singapura dibawah pimpinan Lee Kuan Yew. Akibatnya wujud dua golongan dalam parti tersebut iaitu golongan kanan dan golongan kiri berfahaman komunis (watak yang berlawanan dengan kerajaan dianggap golongan sayap kiri atau watak antagonis). Pada mulanya, Lee Kuan Yew bekerjasama dengan golongan berhaluan kiri dalam partinya tetapi akhirnya pertelingkahan berlaku dan ini membawa kepada kekalahan PAP dalam 2 pilihan raya kecil pada tahun 1961. Kekalahan ini menimbulkan kegusaran di kalangan pemimpin-pemimpin PAP yang berhaluan kanan, lebih-lebih lagi apabila di dapati peratus undi yang diperolehi oleh parti itu merosot daripada 60.7% pada tahun 1959 kepada 36.7% pada tahun 1961. Sekiranya Singapura jatuh ke tangan kuasa komunis bermakna kuasa beliau dan partinya akan hilang. Oleh itu, pergolakkan yang terjadi dalam parti inilah menggesa Lee Kuan Yew untuk bergabung dengan Tanah Melayu. Tambahan pula, Tanah Melayu sememangnya anti-komunis dan mempunyai pengalaman dalam menangani ancaman komunis semasa zaman darurat 1948-1960.
Penyertaan Sarawak dalam Perseketuan Tanah Melayu adalah disebabkan oleh ancaman komunis yang berleluasa di Sarawak. Pengaruh komunis turut berkembang dan mengancam keadaan politik di Sarawak. Di harap melaui penubuhan Malaysia, kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang ancaman komunis.
Selain itu, ancaman dari Indonesia dan Filipina merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Sabah dan Sarawak mahu menganggotai Persekutuan Malaysia. Penduduk Sabah dan Sarawak berasa bimbang, ekoran perluasan kuasa oleh Indonesia terhadap Irian Barat. Setelah menakluk Irian Barat, Indonesia dijangka akan beralih pula kepada negeri-negeri di Borneo. Keadaan semakin merumitkan apabila Indonesia memberi sokongan padu terhadap pemberontakan Brunei yang dicetuskan oleh A. M. Azahari. Beliau berharap dapat membawa Indonesia dan Filipina menyertai konsep Melayu Raya yang berpuasat di Brunei. Oleh itu penyertaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia menjadi titik tolak kepada pemimpin Sarawak mengubah pendirian mereka untuk menyertai Persekutuan Malaysia.
Manakala negeri Sabah pula diancam oleh Filipina. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada Filipina berdasarkan sejarah Kesultanan Sulu. Menurut Filipina, asal pemindahan wilayah Borneo Utara dari Kesultanan Sulu 1978 ( sekarang sebahagian daripada Filipina) adalah dalam bentuk pajak dan bukan jualan. Ini nyata dibuktikan dengan adanya pembayaran tahunan secara tetap oleh Compony kepada Sultan Sulu. Kini sudah sampai masanya, mereka mahu mengambil kembali Sabah. Namun, tuntutan ini ditolak oleh British. Menurut British, dokumen-dokumen dahulu menyatakan Sultan Sulu menyerahkan Sabah buat selama-lamanya kepada British. Oleh itu, Filipina tidak mempunyai hak terhadap Sabah. Walaubagaimanapun, Filipina tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan terus mengancam Sabah. Jadi dapat disimpulkan di sini bahawa penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sedikit sebanyak dapat melindungi negeri daripada ancaman Filipina.
Kemunduran Sabah dan Sarawak juga mejadi salah satu penyebab penyertaan mereka dalam Malaysia. Semasa pemerintahan British, masyarakat peribuminya dalam kemunduran walaupun British sedia ada telah membuat pelbagai perubahan. Walau bagaimanapun, perubahan itu sebenarnya bukanlah untuk masyarakat setempat tetapi hanya semata-mata untuk kepentingan ekonomi British. British dilihat lebih memberi layanan istimewa kepada orang luar. Orang luar lebih mendapat tempat dalam sektor pentadbiran dan pendidikan. Sementara masyarakat setempat terus dalam kemunduran dan tidak berpendidikan. Jesteru itu, adalah perlu untuk memasukkan kedua-dua negeri tersebut dalam persekutuan Malaysia. Hal ini kerana, kebarangkalian mendapat layanan yang baik kepada bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar kerana Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah dalam rumpun yang sama.
Ramai orang berpendapat Singapura tidak boleh berdiri sendiri. Hal ini kerana, Singapura tidak mempunyai ekonomi yang cukup. Selain itu, dari segi keselamatannya kedudukan Singapura mungkin akan terancam kerana Singapura berada pada kedudukan strategik dari segi pertahanan. Sekiranya Singapura merdeka secara bersendirian kemungkinan diancam oleh kuasa besar adalah tinggi umpamanya ancaman kuasa komunis. Disamping itu juga, penyertaan Singapura dalam persekutuan Malaysia turut memberi faedah kepada British. British akan terus mengawal keselamatan Singapura dan kepentingan ekonomi British menerusi perjanjian dengan Persekutuan Tanah Melayu yang akan diperluaskan meliputi Singapura. Dengan galakkan daripada pihak British ini memudahkan lagi kelancaran penubuhan Persekutuan Malaysia.
Kedapatan juga pihak yang menyatakan bahawa penubuhan Malaysia adalah berdasarkan kepentingan British secara langsung. Kepentingan ini dapat dilihat dari segi ekonomi dan politik. Salah satu faktor penubuhan Malaysia adalah menghapuskan ancaman Komunis. British melihat blok komunis sebagai satu ancaman kepadanya. Tambahan lagi Britain merupakan blok barat yang bertentangan dengan blok komunis. Sekiranya negeri-negeri jajahannya jatuh ke tangan blok komunis maka, hal ini sangat memalukan Britain sebagai sebuah kuasa yang besar. Oleh itu, penubuhan Malaysia adalah satu penyelesaiannya. Sekiranya kita tinjau lagi, mengapa ahli-ahli dalam Persekutuan Malaysia terdiri daripada negeri-negeri jajahan British. Hal ini kerana, pemerintah -pemerintahnya adalah pro-barat dan dari segi sejarah mereka pernah berada di bawah naungan British. Hubungan baik dengan British menyebabkan British memberi kepercayaan kepada Tuanku untuk menubuhkan Malaysia. Selain itu, British tidak bimbang kerana selama mereka berada di negeri-negeri tersebut, mereka berjaya mengubah masyarakat tempatan mengikut acuan mereka. Misalnya Tuanku Abdul Rahman pernah mendapat pendidikan di barat dan gaya hidupnya juga seperti barat. Menurut Soekarno Tuanku boleh dianggap boneka British. Oleh itu, sekiranya berlaku sesuatu Malaysia akan menyokong kuat Britain berdasarkan hubungan yang pernah terjalin. Demikianlah, betapa halusnya tindakan British untuk mengekalkan pengaruhnya terhadap negeri-negari jajahannya walaupun sudah mendapat kemerdekaan.

EKONOMI

Perkembangan ekonomi tidak seimbang dalam wilayah-wilayah Borneo, Tanah Melayu dan Singapura. Ekonomi Sabah dan Sarawak masih mundur sedangkan perkembangan ekonomi Tanah Melayu, Singapura dan Brunei sangat memuaskan. Pembentukan Malaysia dapat memberikan faedah ekonomi bersama bagi negeri-negeri anggota Malaysia. Berdasarkan negeri-negeri anggotanya, masing-masing mempunyai potensi sendiri. Misalnya Singapura dengan perdagangan antarabangsa, perusahaan dan pelancongan; Brunei dengan hasil minyaknya; Sabah dan Sarawak dengan hasil hutannya sementara Tanah Melayu dengan hasil galian dan pertaniannya. Dengan kekayaan yang dimiliki ini maka sumber-sumber tersebut boleh dikembangkan untuk keuntungan negeri dan juga kerajaan pusat.

SOSIAL
Apa yang dikatakan keseimbangan kaum itu adalah Tanah Melayu ingin mengimbangkan etnik Melayu dengan bumiputera Sabah dan Sarawak agar wujud kestabilan. Di Singapura didapati majoriti penduduknya ialah Cina. Menurut dikatakan 80% penduduknya bukan Melayu. Hal ini dilihat sebagai satu ancaman ketika penubuhan Malaysia nanti. Tambahan lagi, pemerhati politik telah mengesan tentangan rasmi terhadap Mlaysia. Tentangan itu dilakukan oleh pihak pelampau yang bimbang akan sikap Kuala Lumpur yang anti-komunis. Oleh itu sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga, peribumu Sabah dan Sarawak akan memihak kepada orang Melayu. Kenyatan ini diperkukuhkan lagi dengan kata-kata Simanjuntak bahawa:
“ Sekiranya terjadi perbalahan perkauman yang tegang, penduduk peribumi Borneo berkemungkinan memilih untuk bersekutu dengan orang Melayu yang lebih rapat dari segi keturunan berbanding dengan orang Cina”.
Faktor keseimbangan kaum dan perpaduan ini sebenarnya telah menjadi kontrovesi. Sekiranya benar-benar ingin mewujudkan sebuah Negara yang kuat mengapa tidak kita bergabung dengan Indonesia dan Filipina. Indonesia dan Filipina dikatakan mempunyai warisan dan budaya yang sama dengan Tanah Melayu. Konsep yang sama telah dilaung-laungkan oleh Ahmad Boestaman dan A. M. Zahari. Mengapa kita perlu bergabung dengan negeri-negeri jajahan British sahaja? Adakah ini dikatakan neoklonialisme yang dilancarkan oleh British.

KESIMPULAN
Terdapat pelbagai faktor yang menjadi asas kepada penubuhan persekutuan Malaysia. Penubuhan Malaysia ini dilihat sebagai lubuk untuk merealisasikan kepentingan orang-orang tertentu. Kepentingan ini merangkumi faktor politik, sosial dan ekonomi. Walaupun, ia dikatakan untuk kepentingan sesetengah pihak, tetapi kalau dilihat ia juga turut memberi faedah kepada yang terlibat.
Tindakan menubuhkan gagasan Malaysia ini juga menjadi isu kontrovesi dan mendapat tentangan yang kuat dari dalam dan luar negeri dan salah satunya Konfrontasi Indonesia 1964. Halangan-halangan yang timbul ini telah memberi motivasi dalam merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia dengan usaha yang berterusan. Akhirnya pada September 1963, Persekutuan Malaysia telah direalisasikan.

0 Comments: