I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


KAUM MUDA

Sunday, November 15, 2009

Sehingga awal kurun ke-20, masyarakat Melayu masih lagi hidup dalam keadaan mundur. Menurut Nuhammad Iqbal, kemunduran masyarakat Islam adalah disebabkan mereka hanya mementingkan urusan agama semata-mata dan tidak menghiraukan urusan dunia.[1] Keadaan ini jelas berlaku dalam masyarakat Melayu kita pada masa itu. Keadaan ini telah lama di sedari tetapi hanya dibangkitkan oleh golongan intelektual Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah. Mereka telah ditiupkan kesedaran ketika menuntut di negara Mesir dan mereka sedar bahawa masyarakat Melayu terlalu jauh ketinggalan berbanding umat Islam yang lain.[2] Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda yang turut dikaitkan dengan gerakan Islah[3] Islamiah. Empat orang tokoh kaum muda yang terkenal ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas bin Mohd Taha dan Syeikh Mohd. Salim al- Kalali. Kaum Muda ini telah menjadikan Singapura sebagai pangkalan untuk memperjuangkan cita-cita Islah Islamiyah di Tanah Melayu.[4]

MATLAMAT PERJUANGAN KAUM MUDA

Tujuan Kaum Muda ialah untuk memajukan masyarakat Melayu melalui pengajaran agama Islam yang sebenar dan berdasarkan al-quran dan Hadis. Fungsi utama agama Islam sendiri ialah untuk memimpin pembangunan manusia mengikut garis panduan yang betul dan ke arah yang sebaik-baiknya.[5]Kaum Muda ingin membebaskan Islam daripada amalan-amalan taklid buta serta khurafat dan bidaah yang menghalang kemajuan orang Melayu. Orang Melayu juga diseru supaya menggunakan akal dalam agama mereka seharian Ajaran Islam yang sebenar dapat menyelesaikan masalah-masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh orang Islam termasuklah orang Melayu sendiri. Menurut Muhammad Abduh, umat Islam selamanya tidak akan maju jika masih berpegang teguh pada jumud. Menurut pengamatan beliau, fahaman Jumud dibawa oleh orang-orang luar Arab yang dapat menduduki puncak politik dunia Islam.[6]

Oleh sebab itulah, Kaum Muda amat menitik beratkan pendidikan yang merupakan kunci untuk kesedaran dan kemajuan satu-satu bangsa. Menurut Syeik Tahir Jalaluddin, salah satu cara untuk mengatasi kelemahan orang Melayu ialah dengan cara meninggikan lagi ilmu pengetahuan mereka.[7]Pendidikan baginya merupakan syarat mutlak yang patut dituntut oleh sekalian umat Islam jika mereka hendak maju dan berdiri setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Jika diperhatikan, masyarakat melayu tidak begitu berminat dalam menuntut ilmu pengetahuan kerana mereka masih kuat berpegang pada fikiran kolot iaitu ilmu pengetahuan hanya untuk orang barat dan sekiranya mereka belajar, mereka akan dianggap kafir. Kaum Muda telah menekankan sistem pendidikan agama yang lebih liberal serta pengajaran bahasa Inggeris mata pelajaran moden lain seperti Sains. Pendidikan yang disarankan oleh Kaum Muda melibatkan perseimbangan antara pengetahuan agama dengan pengetahuan keduniaan.[8]

Meskipun orang Melayu merupakan golongan majoriti di Negeri-negeri Melayu,namun pencapaian mereka dalam bidang pendidikan tertinggal jauh berbanding dengan bangsa-bangsa asing yang sudah pun menguasai kehidupan ukhrawi ketika itu.[9]

Dari aspek politik, Kaum Muda memang bersifat anti-penjajah. Kaum Muda sebenarnya bukan merupakan aktivis politik yang sebenar. Ini kerana gerakan ini bercita-cita ingin melihat masyarakat Melayu bangkit untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Syed Syeikh menerusi majalah-majalah pimpinannya mengkritik penjajah British yang disifatkannya menggalakkan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu untuk kegunaan dan kepentingan mereka. Pentadbiran British di Negeri-negeri Melayu telah dikecam oleh Kaum Muda kerana gagal memberikan pendidikan yang cukup dan sepatutnya kepada orang Melayu. Kaum Muda juga telah mengingatkan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu untuk memelihara kepentingan orang Melayu. Mereka digesa untuk menubuhkan persatuan-persatuan bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan ekonomi. Sikap buruk orang Melayu dan kezaliman pemerintahan Melayu turut disentuh oleh Syed Syeikh Al-Hadi dengan tujuan memberi kesedaran akan kesalahan yang dilakukan. [10]

Kaum Muda menerusi Al-Imam telah menasihatkan Raja dan pembesar Melayu supaya mengambil iktibar terhadap kebangkitan orang Cina menentang pemerintahan monarki. Menurutnya, nasib yang sama akan berlaku di kalangan masyarakat Melayu yang ditindas oleh masyarakatnya.[11]

Namun, jika dilihat dari satu sudut, keadaan ini jauh berbeza dalam masyarakat Melayu kita pada masa itu kerana tidak semua yang sedar tentang penindasan dan penghinaan yang mereka terima kerana masih terkongkong dengan pemikiran lama iaitu tidak mahu menerima sebarang perubahan dan tidak berani menentang pemerintah kerana ia dianggap sebagai penderhaka. Orang Melayu terus hidup dalam kemunduran disebabkan sikap mereka itu dan hanya segelintir sahaja orang Melayu yang sedar akan penindasan yang dilakukan oleh golongan pemerintah terhadap orang Melayu dan biasanya mereka terdiri daripada kalangan mereka yang mendapat pendidikan tinggi dan celik huruf.

Menurut Al-Tahtawi, kekuasaan absolut Raja harus dibatasi dengan syariat dan Raja harus bermesyuarat dengan ulama-ulama dan kaum-kaum terpelajar lain seperti doktor, pakar ekonomi dan pakar dalam bidang profesionalisme yang lain. Syariat yang dijadikan panduan haruslah disesuaikan dengan perkembangan moden.[12]Namun, jika diperhatikan, pada masa itu Raja seolah-olah menentukan semua keputusan yang dibuat dan kadang-kadang ia adalah keputusan yang diambil oleh Raja itu sendiri tanpa nasihat daripada sesiapa. Pada masa itu, golongan yang sering dikaitkan dengan Raja ialah golongan pembesar dan juga ulama-ulama.

Kaum Muda juga memperjuangkan kebebasan yang lebih bagi penyertaan kaum wanita dalam hal-hal pendidikan dan juga sosial. Menurut Syed Syeikh Al-Hadi, kaum wanita Islam perlu diberi pendidikan dan diberi pekerjaan yang sesuai dengan tabiat semulajadi mereka dan yang sejajar dengan keperluan agama Islam.[13]

Meskipun sikap dan pendiriannya dikecam oleh masyarakat Islam ketika itu,tetapi beliau tetap tegas dan mempertahankan pendiriannya. Sebenarnya, tujuan utama Syed Syeik Al-Hadi berbuat demikian adalah untuk menggalakkan masyarakat Melayu bersikap kritis dan berwaspada dengan adat-adat lapuk yang masih diamalkan. Apakah amalan-amalan lama seperti melarang anak-anak terutamanya yang perempuan ke sekolah dianggap sesuatu yang wajar sedangkan mereka sedar kehidupan mereka adalah jauh lebih mundur berbanding kaum lain. Sebenarnya, di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kemunduran orang Melayu pada ketika itu bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga mundur dari segi agama sendiri kerana tindakan mereka itu adalah salah dan terkeluar daripada kehendak dan ajaran Islam yang sebenar. Islam adalah agama yang seimbang dari segi kebendaan dan kerohanian atau dengan kata lain, Islam adalah agama kesatuan antara Iman dan amal, dan juga antara kehidupan dunia dan akhirat.[14]

Masyarakat Melayu pada masa itu, lebih menumpukan kepada urusan akhirat berbanding dengan keduniaan dan mungkin sebab itulah mereka tidak kisah hidup dalam kemunduran sedangkan golongan pembesar dan pemerintah pada ketika itu hidup dalam kesenangan dan kemegahan. Menurut Syeikh Tahir Jalaluddin, salah satu faktor penting yang menjadi punca kejatuhan umat Ilam adalah kerana mereka tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenarnya.[15] Mereka telah menyalahgunakan konsep “Qadak dan Qadar”di mana apa sahaja yang berlaku keatas diri mereka dianggap sebagai sesuatu yang telah ditentukan oleh Tuhan. Penyalahtafsiran ini juga dianggap sebagai punca yang menjumudkan keinginan individu Islam itu untuk menjalankan aktiviti memperbaiki hidupnya. Beliau menegaskan bahawa kejayaan manusia di dunia sebenarnya berpunca daripada usaha dan ikhtiarnya sendiri.

Umat Islam seharusnya mengambil nilai-nilai yang baik daripada Tamadun Barat dengan mengetepikan nilai-nilai buruk yang tidak bersesuaian dengan budaya dan ajaran Islam. Sikap menolak sepenuhnya tamadun dan kemajuan Barat tidak akan memajukan bangsa Melayu yang ribuan tahun tertinggal di belakang.[16]Dalam Islam sendiri, tidak pernah melarang umatnya untuk menolak kemajuan selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Orang Melayu di seru supaya menoleh ke negara Jepun. Menurut Kaum Muda, Orang Jepun menerima perubahan atau menjalankan Islah dalam bidang politik, ekonomi dan juga pertahanan, tetapi mereka masih tetap berpegang pada agama yang mereka anuti, malah adat resam yang diamalkan sejak turun temurun tidak sedikitpun terjejas.[17]

Kesimpulannya di sini, agama tidak menjadi masalah dan bukannya penghalang untuk mengejar kemajuan. Semua ini bergantunglah kepada individu itu sendiri dan kita boleh gambarkan masyarakat Melayu pada ketika itu sangat jauh berbeza dengan masyarakat Jepun dalam segenap aspek. Menurut Syeikh Tahir Jalaluddin, keupayaan menguasai bahasa ibunda penjajah sebagai satu prasyarat untuk membolehkan kita mampu beraksi di pentas perjuangan kebebasan dan juga kemerdekaan. Ini adalah amat penting supaya masyarakat kita tidak terus ditindas dan dipergunakan oleh pihak penjajah atau dengan kata lain supaya orang Melayu tidak menjadi pak turut atau tali barut Benggali Putih (pihak British) di bawah dasar “divide and rule”(pecah dan perintah) yang dianggap sebagai taktik pihak penjajah untuk memecahbelahkan orang Melayu demi kepentingan diri mereka.[18]Akibat perlakuan tidak adil penjajah inilah, ummah Melayu terbelakang secara material. Mereka menjauhkan diri daripada kehidupan yang asing dengan tradisi mereka, hidup dipinggir bandar sebagai petani dan nelayan yang sememangnya sinonim dengan kemiskinan. Oleh sebab itu jugalah mereka dituduh sebagai ummah yang pemalas, jumud, statik dan sejenisnya.[19]Oleh sebab itulah, gerakan Islah yang digerakkan oleh Kaum Muda ini dianggap berupaya mengeluarkan ummah daripada kesesatan kejahilan jahiliah menuju kepada pendekata Islam yang sebenar.

PERSENGKETAAN ANTARA KAUM MUDA DAN KAUM TUA.

Perjuangan Kaum Muda telah mendapat tentangan daripada Kaum Tua yang terdiri daripada hierarki agama rasmi, elit Melayu tradisional dan golongan ulama di luar bandar. Kuam Tua melalui akhbar seperti Suara Benar (1932-1933) telah mengutuk kaum Muda sebagai tidak beramal ibadat. Mufti-mufti telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mengutuk idea-idea Kaum Muda sebagai kafir atau kadiani. Kaum Tua telah melarang pemimpin Kaum Muda daripada berkhutbah di beberapa masjid. Penerbitan-penerbita Kaum Muda telah diharamkan di beberapa buah negeri. Kaum Tua telah menentang keras kaum Muda kerana kegiatan-kegiatan dan idea-idea Kaum Muda menggugat kedudukan mereka sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri Melayu. Persengketaan antara Kaum Muda[20] dan Kaum Tua semakin rancak diperkatakan pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an. Kaum Tua mengaitkan Kaum Muda dengan kumpulan Turki Muda yang dasar perjuangannya dianggap menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Menurut Sidek Haji Fadzil, secara jelasnya penggunaan label ini adalah bertujuan bagi merendah-rendahkan perjuangan Kaum Muda, walaupun matlamat perjuangan mereka adalah bagi mengembalikan umat Islam ke jalan yang benar.[21] Sebagai kumpulan yang telah lebih awal mendapat kedudukan dalam masyarakat, Kaum Tua bersama-sama dengan pentadbiran agama di negeri-negeri Melayu dan disokong oleh pentadbiran Inggeris apabila diperlukan, berjaya mengawal kegiatan yang dijalankan oleh Kaum Muda.Di dalam banyak perkara, mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak di dalam masyarakat. Mereka lebih selesa untuk mengurung Islam dalam satu ‘benteng’ tanpa jendela, serta mempertahankan seluruh tradisi yang telah diwarisi oleh nenek moyang tanpa membezakan ajaran Islam yang tulen atau campuran dai pelbagi pengaruh yang lain.

CARA-CARA PERJUANGAN KAUM MUDA

Perjuangan Kaum Muda mula-mula sekali disalurkan melalui majalah Al-Imam yang muncul pada bulan Julai 1906 di Singapura. Namun begitu, penerbitan Al-Imam tidak dapat bertahan lama dan ia dihentikan penerbitannya pada bulan Disember 1908. Tujuan Al-Imam ialah “ untuk mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu (orang Melayu)”. Al-Imam telah menyeru orang Melayu supaya bersatu untuk kepentingan bersama. Majalah ini juga telah membangkitan perkara kemunduran orang Melayu dan penguasaan kehidupan mereka oleh kaum-kaum lain. Dalam aspek sosial, Al-Imam memberi perhatian yang serius dengan mengktirik, mencadangkan dan menganjurkan pelbagai gagasan untuk menempa kemajuan bangsa Melayu.[22] Menurut Abdul Aziz bin Mat Ton, Al-Imam memang menitikberatkan masalah sosial, ekonomi dan politik. Pendapat Kaum Muda juga disiarkan melalui lain-lain akhbar dan majalah seperti Neracha (Singapura, 1911-15), Al- ikhwan (Pulau Pinang, 1926-31), Saudara (Pulau Pinang, 1928-41) dan Idaran Zaman (Pulau Pinang,1925-30). Namun begitu, kegiatan Kaum Muda ini, khususnya dalam berkaitan dengan penerbitan bukanlah bebas daripada sebarang halangan. Jika diperhatikan, Gerakan Islah ataupun penyebaran majalah Al-Imam lebih berjaya meluaskan pengaruh dan perjuangannya di negeri-negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Negeri-negeri ini yang tidak bersultan memudahkan golongan Kaum Muda menyebarkan majalah Al-Imam dengan meluas tanpa mendapat tentangan dan masalah.[23]

Selain itu juga, perjuangan Kaum Muda telah juga telah juga dilaksanakan melaui perbincangan agama di masjid-masjid dan penubuhan madrasah-madrasah (sekolah-sekolah agama). Kaum Muda telah membantu menubuhkan Madrasah al-Ikbal al-Isamiah yang dibuka dengan rasminya pada tahun 1907. Perkara-perkara yang diajarkan di sekolah ini ialah agama Islam, bahasa Arab, Inggeris dan Melayu, Matematik, Geografi, Sejarah, Khutbah dan karang-mengarang. Beberapa madrasah yang lain telah diasaskan oleh Kaum Muda dalam masa yang singkat. Antaranya ialah Madrasah Muhammadiah (Kota Bharu, 1917), Madrasah al-Hadi (Melaka,1917) dan Madrasah al-Diniah (Kampung Lalang di Perak, 1924).

KESIMPULAN

Perjuangan Kaum Muda meliputi pelbagai aspek seperti agama, politik, ekonomi dan juga social. Namun demikian, Kaum Muda telah gagal untuk mewujudkan satu pergerakan dalam tempoh yang lama akibat tentangan hebat daripada Kaum Tua yang masih memegang kesetiaan kebanyakan Orang Melayu. Sejarah telahpun membuktikan bahawa ummah Melayu mengalami keterbelakangan adalah akibat menganut psikologi yang diajarkan imperialisme Barat kepada mereka dan juga adalah disebabkan sikap mereka sendiri yang tidak mahu kepada pembaharuan.[24] Walaupun gerakan Kaum Muda ini mendapat tentangan yang hebat dari pelbagai pihak termasuk Sultan dan ulama-ulama yang lain, namun ia telah berjaya mencetuskan pemikiran dan kesedaran yang positif di kalangan masyarakat Islam terutamanya dalam usaha menentang pengaruh British dan juga memperbaiki taraf hidup mereka.[25] Orang Melayu seharusnya sedar bahawa kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh Barat sehingga ke hari ini adalah berpunca daripada kejayaan dan ilmu orang Islam pada zaman kegemilangnya dahulu.



[1] A.Munir, Sudarsono & S.H. 1994. Aliran Moden Dalam Islam. Jakarta: PT Rineka Cipta. Hlm 166.

[2] http://www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/article.php?storyid=160

[3] Islah di sini bermakna memperbaiki atau membersihkan Islam daripada pemalsuan dan penyelewengan.

[4] Kassim Thukiman.2002. Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Hlm 96.

[5] Mohd Nasir bin Omar. 1986. Tamadun Islam dan Ideologi-idealogi Masa Kini. Selangor: Penerbitan Nadi. Hlm 209.

[6] A.Munir, Sudarsono & S.H. 1994.. Aliran Moden Dalam Islam. Jakarta: PT Rineka Cipta. Hlm 166.

7 Sohaimi Abdul Aziz. 2003. Syeikh Tahir Jalaluddin. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Hlm 21.

8Ibid, 23

[9] Talib Samat.1992. Syed Syeik Al-Hadi ‘Sasterawan Progresif Melayu’. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 49.

[10] Ibid, 52

[11] Kassim Thukiman.2002. Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Hlm 97.

[12]Mohd Nasir bin Omar. 1986. Tamadun Islam dan Ideologi-idealogi Masa Kini. Selangor: Penerbitan Nadi. Hlm 160.

13 Talib Samat. 1992. Syed Syeik Al-Hadi ‘Sasterawan Progresif Melayu’. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 52.

[14] Mohd Nasir bin Omar.1986. Tamadun Islam dan Ideologi-idealogi Masa Kini. Selangor: Penerbitan Nadi. Hlm 204.

[15] Sohaimi Abdul Aziz. 2003. Syeikh Tahir Jalaluddin. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Hlm 19.

[16] Talib Samat.1992. Syed Syeik Al-Hadi ‘Sasterawan Progresif Melayu’. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 51.

17 Kassim Thukiman.2002. Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Hlm 97.

[18] Sohaimi Abdul Aziz. 2003. Syeikh Tahir Jalaluddin. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Hlm 48.

19 Hilmy Bakar Almascaty. 1994. Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Aabd ke-21. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. Hlm 58.

[20] Dalam masyarakat Melayu, panggilan ‘Kaum Muda’ sering bernada sinis. Sebenarnya ia adalah merupakan gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama Tradisional (ulama Kaum Tua)

[21] http://www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/article.php?storyid=160

[22] Kassim Thukiman. 2002. Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Hlm 97.

23 Talib Samat.1992. Syed Syeik Al-Hadi ‘Sasterawan Progresif Melayu’. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 48.

[24] Hilmy Bakar Almascaty. 1994. Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Aabd ke-21. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. Hlm 61.

25 Abdullah Ishak. 1990. Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu). Selangor: Al-Rahmaniah. Hlm 201.

0 Comments: