I made this widget at MyFlashFetish.com.


PERJUANGAN


BLOG I
NI MENGANDUNGI BAHAN2 BERKAITAN SEJARAH PERADABAN MANUSIA, ISU2 SEMASA, PERBANDINGAN AGAMA DAN APA SAHAJA DALAM LINGKARAN KEHIDUPAN MANUSIA

AP YG AD DLM BLOG MGKIN ANDA TIDAK SETUJU DAN BKN 1 MASALAH JIKA KITA BERBEZA PENDAPAT.


implikasi yang dihadapi oleh Jepun ekoran tercetusnya Perang Rusia Jepun 1904-1905

Sunday, November 15, 2009

Pengenalan
Negara Jepun telah berperang dengan Rusia bagi memastikan bahawa Korea dan Manchuria berada di bawah lingkungan pengaruhnya. Negara Jepun amat berminat terhadap Manchuria yang kaya dengan sumber asli seperti arang batu dan besi. Walaupun iklimnya keterlaluan, tetapi kebanyakan dari kawasan itu banyak mengeluarkan hasil. Dasar Rusia di Timur Jauh mulai suku abad kesembilan belas menitikberatkan perluasan pengaruhnya di Korea dan Manchuria. Rusia berminat untuk mendapatkan sebuah pelabuhan ice-free dan membina jalan keretapi Trans-Siberia di Manchuria. Projek keretapi Trans-Siberia telah dilancarkan pada tahun 1981. Pembinaan jalan keretapi tersebut dari tasik Baikal ke Vladivostok melalui Manchuria dapat menjimatkan perbelanjaan memandangkan ia adalah lebih pendek sebanyak 560 km berbanding jalan Amur (melalui wilayah Rusia). Pembinaan jalan keretapi Trans-Siberia di Manchuria juga akan membolehkan Rusia menguasai perdagangan dan mengukuhkan kedudukannya di wilayah tersebut.
Pada 3 Jun 1896, Negara China telah menandatangi Perjanjian Li-Lobanov yang membenarkan Rusia membina jalan keretapi Trans-Siberia di Manchuria. Pada bulan Mac 1898 pula, Rusia mendapat pajakan selama 25 tahun hujung Selatan Semenanjung Liaotung yang mengandungi Port Athur dan Dairen. Semasa kebangkitan Boxer 1899-1900, Rusia telah mengambil kesempatan untuk menambahkan bilangan tenteranya di Manchuria. Perluasan Pengaruh Rusia di Manchuria telah membimbangkan Negara Jepun. Kerajaan Jepun khuatir bahawa Rusia akan cuba memperluas pula pengaruhnya di Korea. Terdapat kepercayaan yang kuat di kalangan pemimpin Jepun bahawa Rusia harus dihalau keluar dari Korea dan Semenanjung Liaotung. Sebagai langkah persediaan, Jepun menandatangani perikatan Ingeris-Jepun dengan Britain pada 30 Januari 1902. Perikatan Inggeris Jepun merupakan satu pakatan tentera yang mengakui kepentingan-kepentingan khas Britain di Negara China dan Jepun di Korea. Kedua-dua negara bersetuju bersikap neutral sekiranya mana-mana antara mereka terlibat dalam peperangan bagi melindungi kepentingan-kepentingan tersebut. Britain dan Jepun juga bersetuju untuk membantu satu sama lain sekiranya terdapat penglibatan kuasa ketiga dalam peperangan sedemikian. Perikatan tersebut akan berkuatkuasa selama lima tahun.
Peristiwa peperangan
Namun, Rusia dan Jepun gagal menyelesaikan pertikaian-pertikaian tentang kedudukan mereka di Korea dan Manchuria secara perundingan. Negara Jepun seterusnya mengisytiharkan perang ke atas Rusia pada 10 Februari 1904. Namun sejak 8 Februari lagi, angkatan tentera Jepun pimpinan Laksamana Togo Haichachairo telah menyerang secara mengejut angkatan tentera laut Rusia di Port Athur tanpa mengisytiharkan perang terlebih dahulu. Dalam bulan Mei, tentera Jepun telah menyeberangi Sungai Yalu melalui Korea dan tentera Laut pula cuba menawan pengkalan Dairen dan Port Athur. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, Jepun berjaya menghalau keluar tentera darat Korea dan Rusia. Pada 25 Ogos 1904, tentera darat Jepun telah berjaya mengalahkan tentera Rusia dalam pertempuran di Liao-yang di Selatan bandar Mukhden. Angkatan Jepun seterusnya berjaya menawan Port Athur pada 2 Januari 1905 dan Mukhden pada bulan Mac 1905. Pada bulan Mei 1905 pula, Jepun berjaya menghapuskan angkatan laut Baltik Rusia di Selat Tsushima.
Sebab-sebab peperangan
Salah satu faktor berlakunya Perang Rusia Jepun ialah perikatan British-Jepun 1902 di mana pemimpin-pemimpin Meiji menyedari Jepun tidak mempunyai banyak pilihan kecuali berperang dengan Rusia di atas persoalan Korea. Dalam konteks ini, beberapa pemimpin Meiji seperti Yamagata dan Katsura yakin Jepun harus dapatkan sokongan Great Britain bagi pastikan bahawa Britain akan menyokong mereka dalam perjuangan terhadap Rusia. Great Britain yang bimbangkan kemaraan Rusia di Timur Laut Asia telah membuat percubaan mendapatkan sokongan Jerman bagi membendung ancaman Rusia. Menyedari negara Jerman tidak berminat dalam perkara ini, Britain mengalihkan perhatiannya untuk bersekutu dengan Jepun kerana menyedari Jepun boleh menjadi halangan utama kepada perluasan pengaruh di Asia Timur. Britain telah tandatangani satu perjanjian perikatan dengan Jepun.
Perikatan itu menaikkan keyakinan dan imej Jepun kerana ia seolah-olah Britain telah mengiktiraf Jepun sebagai sebuah kuasa dunia. Britain juga akui kepentingan istimewa Jepun di Korea. Tambahan pula, pemimpin-pemimpin Meiji yakin mereka boleh merancang dan seterusnya mengisytiharkan perang menentang Rusia tanpa campurtangan mana-mana kuasa ketiga atau tindakan perikatan.
Perasaan anti Rusia juga merupakan salah satu sebab berlakunya Perang Rusia Jepun. Pada dekad pertama abad ke-20, perasaan anti Rusia memuncak terutama di kalangan persatuan-persatuan ultranasionalis seperti Kokuryukai (Persatuan Naga Hitam). Persatuan ini diasaskan oleh Uchida Ryohei dalam tahun 1902. Beliau telah menyebarkan dasar perluasan Jepun di seberang laut dan mendesak kerajaan Meiji memperluas kawasan Jepun sejauh sungai Amur di Manchuria. Persatuan ini mula terlibat dalam kegiatan lain yang menentang kepentingan Rusia di Manchuria dan Korea. Keadaan ini mendorong Jepun terlibat dalam peperangan ini.
Tentangan terhadap Rusia juga berkaitan dengan Pan Asianisme di kalangan kumpulan-kumpulan tertentu di Jepun. Pada November 1898, persatuan Toa Dobun Kai (Persatuan Kebudayaan Bersama Asia Timur) telah ditubuhkan bertujuan menganjurkan kajian tentang keadaan-keadaan di Korea dan China. Lebih penting lagi untuk membangkitkan semangat Jepun berhubung ‘peranan sebenar Jepun di Asia’. Persatuan ini di sokong ramai pengusaha industri dan ahli-ahli politik menyebarkan ideologi bahawa Jepun mempunyai kewajipan menyelamatkan Asia dari pencerobohan kuasa-kuasa Barat. Persatuan tersebut menganggap perang dengan Rusia sebagai satu peluang untuk memberi pukulan hebat kepada sebuah kuasa Barat yang telah berlaku tidak adil terhadap rakyat Asia.
Angkatan tentera darat dan laut juga memainkan peranan penting. Modenisasi pesat pasukan militari telah mengubah tentera darat dan laut kepada sebuah angkatan yang moden dan berkuasa menjelang akhir abad ke-19. Pasukan tentera Jepun juga amat berdisiplin dan bersemangat patriotik. Pasukan militari Jepun yang sofistikated ini diresapi dengan perasaan patriotik. Mereka berazam menguji kemahiran mereka terhadap Rusia yang diiktiraf salah sebuah kuasa tentera yang terkuat di dunia.
Keinginan untuk menyatukan pelbagai kumpulan pembangkang di Jepun juga menjadi punca berlakunya Perang Rusia Jepun. Arena politik dalam negeri Jepun pula, wujud pergelutan dan pertikaian di antara parti-parti politik dengan kerajaan Meiji. Parti-parti politik di dalam Diet biasanya akan membangkang perbincangan-perbincangan Diet khususnya tentang isu-isu belanjawan dan peruntukan yang diberi kepada tentera darat dan laut. Kerajaan Meiji juga menghadapi isu-isu lain dalam negeri seperti inflasi, cukai-cukai yang tinggi, kos bahan makanan yang meningkat dan lain-lain yang mengakibatkan ketidakpuasan di kalangan rakyat Jepun. Bagi mewujudkan perpaduan, kerajaan Meiji mengalihkan perhatian rakyat Jepun dari isu-isu dalam negeri kepada isu-isu antarabangasa, pemimpin-pemimpin Meiji telah memulakan kempen perang terhadap Rusia. Menjelang Januari 1904, Kerajaan Meiji telah mengikut satu dasar peperangan. Pada 28 Disember, kerajaan telah mengeluarkan satu ordinan darurat Diraja, memberi peruntukan khas bagi perbelanjaan-perbelanjaan tentera.
Kesan peperangan
Politik
1) Mempercepatkan dasar perluasan Jepun.
Pada mulanya Jepun tidak terlalu agresif untuk melakukan perluasan kuasa. Namun perang Rusia Jepun telah menaikkan semangat Jepun untuk menguasai negara lain. Jepun merasakan mereka mampu mengalahkan negara lain yang dianggap kuat setelah berjaya mengalahkan kuasa dunia yang kuat iaitu Rusia. Perang China-Jepun telah membawa Taiwan di bawah kuasa Jepun dan diikuti oleh perang Rusia Jepun yang memperlihatkan perluasan kuasa Jepun di Korea dan juga di Manchuria Selatan. Dasar perluasan kuasa telah membawa Jepun ke Negara China dalam tahun-tahun 1930an dan akhirnya ke Asia Tenggara pada tahun 1942 di mana negara tersebut akhirnya mengalami kekalahan pada tahun 1945. Era Meiji yang berakhir dengan Kematian Maharaja Meiji (Mutsuhito) tahun 1912. Pemerintahan Meiji berjaya membangunkan bidang perindustrian di samping memimpin negara tersebut ke arah imperialisme. Era ini telah menampakkan perubahan-perubahan politik dan sosial yang luar biasa yang telah mempengaruhi kehidupan setiap lapisan rakyat Jepun.
2) Perluasan kuasa Jepun di Sakhalin dan pengambilan Liaotung.
Sebelum ini Rusia telah menguasai Pulau Sakhalin. Pada akhir abad ke-18 pihak Bakufu berasa amat gentar terhadap perluasan kuasa Rusia ke Selatan apabila meluaskan daerahnya hingga ke Sakhalin dan mengugut Pulau Yedo (Hokaido). Namun selepas perang Rusia Jepun, Jepun mendapat kembali Pulau Sakhalin. Kesan yang paling ketara peperangan Rusia Jepun ialah perluasan kuasa Jepun di Sakhalin dan Liaotung. Hal ini termaktub dalam perjanjian Porstmouth iaitu diserahkan kepada Jepun sebahagian daripada Sakhalin yang di sebelah selatan garis Lintang 50. Kepentingan Pulau Sakhalin ialah menambahkan lagi pasaran bagi barang keluaran Jepun. Keunggulan Jepun di Korea mula diiktiraf oleh Rusia (melalui perjanjian Portsmouth) dan kemudian oleh Amerika Syarikat dan Britain. Pada musim luruh 1905, Jepun telah bertindak menjadikan Korea sebuah negara naungan. Ito telah menjadi Residen-Jeneral pertama. Berikutan itu, Jepun menyerang Korea pada bulan Ogos 1910 dan semua hak-hak kedaulatan dipindahkan kepada Maharaja Jepun. Korea menjadi bahagian yang melengkapkan empayar Jepun.
3) Memberi kesempatan kepada Jepun untuk menguasai Manchuria.
Selepas termeterainya perjanjian Portsmouth 1905, Menteri Luar Jepun Komura telah memperolehi persetujuan China untuk memindahkan hak-hak dan kepentingan Rusia di Manchuria Selatan kepada Jepun. Perjanjian Peking itu telah ditandatangani pada 22 Disember 1905 dan telah memberi Jepun kuasa penuh ke atas Manchuria Selatan. Dari segi ekonomi, Manchuria Selatan telah dieksploitasi oleh Jepun. Dari segi strategik Korea menjadi sebuah pusat yang penting bagi pertahanan Jepun dan juga menjadi batu loncatan bagi Jepun untuk meluaskan pengaruhnya di Asia Timur pada masa hadapan. Jepun telah mendirikan banyak pengkalan tentera darat, laut dan udara serta telah membina landasan-landasan keretapi dan jalan raya dengan tujuan memenuhi keperluan militarinya. Kemenangan yang dicapai dalam peperangan ini merupakan perangsang utama kepada perkembangan semangat nasionalisme di Jepun. Jepun berasa bangga dengan hakikat bahawa orang-orang Eropah, Amerika dan Asia mengiktiraf kekuatan tentera Jepun dan bahawa kuasa-kuasa Barat telah memberi Jepun status sebagai sebuah kuasa yang besar. Kejayaan ini mengubah nasionalisme Jepun kepada satu ciri keyakinan yang lebih besar.
4) Kemunculan Jepun sebagai sebuah kuasa besar di Asia Timur.
Walaupun Jepun mencapai kemenangan dalam Perang China Jepun dan kemenangan ini telah membantu menaikkan imej Jepun tetapi kesannya ke atas status Jepun tidaklah begitu penting berbanding kemenangannya ke atas Rusia. Hal Ini disebabkan negara China merupakan sebuah negara yang lemah dalam tahun 1894-95. Ia telah diturunkan kepada status separa kolonial oleh kuasa-kuasa barat. Tetapi kemenangan Jepun ke atas Rusia memberi gambaran berbeza. Rusia selama ini sebenarnya dianggap sebagai sebuah kuasa besar di Asia Timur. Ia juga digolongkan sebagai sebuah kuasa Eropah. Kekalahannya di tangan Jepun dalam tahun 1904-05 bukan sahaja menghacurkan mitos bahawa kuasa-kuasa Barat tidak dapat dikalahkan tetapi turut meninggikan status Jepun sebagai sebuah kuasa besar di Asia Tenggara. Kejayaan Jepun mengalahkan Rusia merupakan kemenangan yang sungguh besar kepada kebangkitan Jepun. Kejayaan Jepun secara tidak langsung diakui sebagai satu kuasa baru di Timur Jauh dan negara-negara Barat terpaksa menerima Jepun sebagai negara yang setaraf dengan mereka. Jepun tidak boleh diketepikan dari arena politik dunia terutama yang berhubung dengan politik Timur Jauh.
Selepas tahun 1910, Korea telah menjadi sumber bahan-bahan mentah dan pasaran yang penting bagi Jepun. Beras, bijirin dan hasil-hasil laut (ikan) dari Korea telah mendapat pasaran yang baik di Jepun. Jepun juga telah mengeksploitasi sumber-sumber Korea dan telah mendirikan industri-industri berasaskan sumber-sumber ini. Penekanan khas diberi kepada pengeluaran alat-alat perang strategik termasuk besi, keluli dan jentera. Lebih 75% pengeluaran perindustrian Korea dimiliki perbadanan-perbadanan Jepun terutama Zaibatsu atau golongan kapitalis yang berkembang menjadi konglomerat-konglomerat besar semasa era Meiji. Kebanyakan keperluan barang-barang pengguna Korea telah dibekalkan oleh Jepun. Korea bersama Taiwan (yang telah diserahkan oleh China kepada Jepun berikutan Perang China Jepun (1894-95) telah diintegrasikan secara sepenuhnya ke dalam empayar Jepun.
5) Fahaman Imperialis.
Perjanjian Porthmouth telah membolehkan Jepun mengambil alih peranan Rusia sebagai kuasa Imperialis. Jepun telah mengambil alih tanggungjawab di Manchuria Selatan dan Korea. Oleh sebab kedudukan Jepun di Rusia tidak boleh dipersoalkan, Jepun telah berusaha secara perlahan-lahan untuk menguasai dan meletakkan Korea di bawah kekuasaan Jepun, terus diperintah oleh Tokyo. Dasar imperialis Jepun tidak dapat disembunyikan lagi apabila Jepun mengambil Korea dalam tahun 1910 atas alasan pembunuhan Ito, residen Jepun di Korea pada tahun 1909. Ito telah dibunuh di stesen Harbin, Manchuria oleh seorang Nasionalis Korea.
6) Kesan kepada kerajaan Meiji.
Apabila perjanjian keamanan tersebut diumumkan, majoriti rakyat Jepun berasa bahawa mereka telah dikhianati kerajaan. Hal ini kerana mereka mengharapkan gantirugi yang besar dari Rusia. Jepun telah menerima 200 juta tael dari China hasil kemenangannya dalam Perang Cina Jepun. Rusuhan dan tunjuk perasaan telah berlaku dan perusuh-perusuh telah membakar serta mermbinasakan lebih 150 pondok polis. Mereka mencederakan dan membunuh lebih dari 1000 orang awam. Disebalik penangkapan yang besar, rakyat yang marah itu telah bangun menentang kepimpinan Perdana Menteri Katsura. Beliau dipaksa letak jawatan pada bulan Januari 1906 dan telah digantikan oleh Saionji seorang pemimpin parti Seiyukai. Di samping itu harus diperhatikan disebalik kebencian yang wujud terhadap kerajaan Katsura, golongan tentera tidak perolehi kuasa di Jepun. Oligarki Meiji terus bergiat di arena politik dalam negeri.
7) Kekacauan politik.
Sungguhpun Jepun mendapat keuntungan hasil daripada peperangan itu, Namun ia tidak dapat melarikan diri daripada kesan negatifnya. Orang-orang Jepun terutamanya golongan-golongan pelampau menunjukkan rasa kurang senang terhadap perjanjian Portsmouth. Orang Jepun yang tidak mengetahui muslihat kerajaan untuk menamatkan peperangan yang menjejaskan ekonomi dan tentera, berasa kecewa dengan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian itu. Mereka tidak puas hati terhadap kerajaan kerana tidak berjaya mendapatkan ganti rugi dari Rusia.
Dengan adanya gantirugi diharapkan dapat mengurangkan beban rakyat dan membiayai pengawasan jalan keretapi di Manchuria. Tunjuk perasaan telah berlaku yang diikuti oleh rusuhan-rusuhan. Tentera terpaksa campurtangan dan undang-undang tentera telah diisytiharkan. Rasa tidak puas hati yang wujud akhirnya membawa kepada penggulingan kerajaan Katsura dalam bulan Januari 1906 diganti oleh Putera Saionji. Beliau memegang jawatan sehingga bulan Julai 1908.
Ekonomi
1) Ekonomi Jepun merosot.
Dalam peperangan ini, Jepun terus berjaya menentang Rusia, tetapi telah mengakibatkan kehilangan sejumlah besar nyawa dan mengosongkan perbendaharaan negara. Perang Rusia Jepun telah menelan belanja sebanyak 1500 juta Yen bagi pihak Jepun. Kos peperangan yang tinggi ini telah membebankan Kerajaan Jepun memandangkan ia tidak menuntut sebarang ganti rugi daripada kerajaan Rusia. Tidak dapat dinafikan ketika berlakunya peperangan ekonomi Jepun benar-benar merosot. Rakyat terpaksa menanggung beban cukai yang banyak demi keselamatan negara.
Namun selepas perang Rusia, Jepun telah memperlihatkan pembangunan industri berat yang menakjubkan khususnya dalam industri pembinaan kapal, industri keluli dan kimia. Selain itu, Jepun juga terlibat dalam perusahaan berat yang lain terutamanya kilang membuat alat-alat senjata dan meningkatkan perusahaan membuat kapal. Jepun sedar ia masih memerlukan alat-alat senjata dari Barat, misalnya kapal terbang dari Britain. Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana untuk menjadi sebuah kuasa imperialis, Jepun hendaklah mengeluarkan sendiri tanpa mengharapkan bantuan asing.
2) Pengeksploitasian ekonomi Korea.
Selepas 1910, Korea telah menjadi sumber bahan-bahan mentah dan pasaran yang penting bagi Jepun. Beras, bijirin dan hasil-hasil laut dari Korea telah mendapat pasaran yang baik di Jepun. Jepun telah eksploitasi sumber-sumber Korea dengan mendirikan industri berasaskan sumber-sumber ini. Penekanan khas diberi kepada pengeluaran alat-alat perang strategik termasuk besi, keluli dan jentera. Lebih 75% pengeluaran perindustrian Korea dimiliki perbadanan Jepun terutama Zaibatsu atau golongan kapitalis yang berkembang menjadi konglomerat besar semasa era Meiji. Kebanyakan keperluan barang-barang pengguna Korea telah dibekalkan oleh Jepun.
Sosial
1) Kerugian sumber-sumber dan tenaga manusia.
Hampir 20,000 rakyat Jepun terkorban. Jepun telah membelanjakan sejumlah 1.5 billion untuk biayai perang. Ini telah mengeringkan sumber-sumber kewangan negara tersebut. Sebenarnya kerajaan Meiji telah menyedari Jepun tidak lagi dapat menanggung pembiayaan perang itu. Oleh itu, kerajaan Jepun telah mengambil daya usaha untuk mewujudkan pendamaian dengan Rusia dalam tahun 1905.
Kerugian golongan petani dan buruh juga meningkat. Petani menanggung beban cukai tinggi (70%) untuk biayai proses pembangunan industri dan modenisasi negara. Petani terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk peralatan, benih dan baja. Bagi menambahkan pendapatan, petani melibatkan diri dalam perusahaan pembiakan ulat sutera. Golongan pekerja menerima kesan yang negatif. Pekerja-pekerja di sektor perindustrian kecil terpaksa bekerja dengan bayaran upah yang kecil. Pekerja terpaksa bekerja lebih berat.
Kesimpulan.
Perang Rusia Jepun tamat dengan termeterainya Perjanjian Porstmouth. Usaha ini diambil oleh Jepun dan bukan oleh Rusia. Namun jika dilihat dengan lebih teliti, peperangan ini menghasilkan kemajuan yang kedua dalam kedudukan Jepun di Asia Timur Jauh. Pada kali ini Jepun mendapat kedudukan yang di Tanah Besar, yang pada suatu masa dahulu telah diperolehinya yang telah menjadi matlamat lebih banyak lagi daripada apa yang difikirkan munasabah oleh negarawannya yang bertanggungjawab pada masa meletusnya perang itu. Dengan mengangkat senjata kerana mempertahankan dirinya daripada pencerobohan kuasa yang lebih besar, ia telah berjaya mengalahkannya dan dari tindakannya itu Rusia hanya dapat bertapak di Utara Manchuria. Dengan disokong dalam masa berunding sebelum perang itu dan juga masa berperang, oleh sekutunya iaitu sebuah kuasa Barat yang kuat, ia telah membuat kajian semula bersama serangan itu dengan memperolehi lebih banyak faedah. Meskipun ada rasa gembira melihat hasil yang dicapai, perubahan itu tidak langsung menciptakan persamaan dalam penghargaan pihak asing kepada Jepun. Dan dunia juga, tidak mempunyai tempat yang lebih mudah bagi Jepun untuk hidup.

0 Comments: